Persatuan
Mahasiswa Islam USM mengecam penganjuran konsert hiburan yang melampau yang
diadakan di Himpunan Jutaan Belia sempena Hari Belia Negara 2012 (HBN) di
Putrajaya. Setelah diteliti, aturacaranya tidaki membina
intelektualiti, dan lansung tidak membina wawasan dan intergriti dalam diri
belia. Tidak dinafikan terdapat juga segmen-segmen yang bermanfaat yang
diadakan, seperti Modal Insan dan Young Entrepreneur dan juga Konsert Simfoni
Nasyid, namun PMIUSM tetap berpendirian menolak konsert hiburan yang melampau
dari luar negara yang jelas tidak memberikan manfaat kepada belia
khususnya dan masyarakat amnya. Kebanyakan segmen-segmen yang mengisi Hari
Belia Negara ini, hanyalah keseronokan.
Penganjur
sepatutnya mengelakkan peniruan budaya asing secara langsung atau tidak
langsung sepanjang berlangsung Hari Belia Negara untuk menunjukkan keseriusan
penganjur untuk membangunkan jatidiri dan potensi belia tempatan. Negara
kita memerlukan belia yang mampu menggalas amanah dan tanggungjawab yang mempu
mencorakkan negara pada masa hadapan, dan belia sebegini tidak dibentuk melalui
lambakan program hiburan.
Islam tidak
melarang ummatnya untuk berhibur tetapi haruslah mengikut batas-batas syariat
yang telah ditetapkan. Amalan percampuran lelaki dan perempuan sambil
menampilkan artis yang jelas sekali tidak menutup aurat malah melalaikan jiwa
muda remaja adalah bercanggah sama sekali dalam syariat Islam. Terdapat banyak
lagi program yang mampu menghiburkan belia disamping mendidik dan tidak
melanggar batas syariat, seperti program-program motivasi, forum-forum mengulas
isu belia, ruang kaunseling dan sebagainya. Banyak isu yang menyentuh belia
yang perlu diberi kesedaran dan penekanan seperti isu jatidiri, pengurusan
kewangan, kesihatan, perlindungan, kerjaya dan perancangan hidup.
Belia merupakan aset yang amat penting dalam membawa perubahan kepada negara dan dunia.
Sesungguhnya, semangat dan potensi belia itu sentiasa tersimpan untuk
digerakkan demi pembangunan tamadun negara. Potensi anak muda perlu diacukan
kepada perkara-perkara yang baik dan bermanfaat agar tenaga muda tersebut tidak
tersia-sia begitu sahaja.
Dr Yusuf Qaradawi pernah menyatakan: “Bila mana kita hendak melihat bentuk negara pada masa depan, lihatlah generasi belia pada hari ini, kiranya golongan belia pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman sejahtera.”
Wallahualam.





0 Pandangan Sahabat:
Post a Comment