Thursday, February 16

PENDIRIAN PMIUSM MENGENAI KEMELUT DI SYRIA


Negara Syria telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1945 dan telah diperintah secara diktator oleh anak bangsa Syria sendiri iaitu semenjak zaman Hafez al-Assad dan diikuti oleh anaknya Basyar al-Assad. Atas kebangkitan rakyat, Presiden Syria, Basyar al-Assad telah melakukan kekejaman kepada rakyatnya bagi mempertahankan kekuasaannya yang tergugat. Oleh itu, rakyat Syria terpaksa mengharungi krisis yang berlaku tersebut dengan rasa tidak tenang kerana khuatir akan keselamatan mereka.



Kejadian ini adalah ulangan kekejaman yang dilakukan oleh bapa Basyar al-Assad yang telah membunuh kira-kira 40,000 orang rakyat Syria di Hama pada tahun 1982.

Saya mewakili seluruh saf pimpinan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia melahirkan rasa dukacita dan sedih kepada rakyat Syria serta kami mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan oleh pemerintahan Basyar al-Assad yang menzalimi rakyatnya.

PMIUSM juga menyeru kepada seluruh mahasiswa untuk mengadakan solat hajat dan berdoa agar keamanan dapat dicapai di Syria dan rakyatnya dapat hidup aman di bumi kelahiran mereka serta mahasiswa Malaysia yang belajar di Syria dapat belajar dengan aman di sana.

Selain itu, PMIUSM juga menyokong penuh tuntutan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) yang menggesa kerajaan Syria menyelesaikan dengan baik konflik yang berlaku atau segera berundur dari pemerintahan Syria dan menuntut supaya kerajaan Malaysia segera memanggil sidang tergempar Persidangan Negara-negara Islam (OIC) bagi menyelesaikan krisis di Syiria kerana Pertubuhan Negara-negara Bersatu (PBB) melalui Majlis Keselamatannya gagal menyelesaikan kemelut tersebut berikutan dua kuasa veto dunia, Rusia dan China telah memilih untuk menolak draf resolusi Majlis Keselamatan PBB terhadap Syiria. 


Semoga kezaliman dan pertumpahan darah di bumi Syria dapat ditamatkan dengan segera. Semoga penduduk Syria yang berjuang menentang kezaliman dapat ganjaran mati syahid.




Mohamad Afiq b Roshide
Naib Yang Di-Pertua
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Sains Malaysia

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...