Ummah Terus Dizalimi, PMIUSM Seru Mahasiswa Prihatin

Meneliti rentetan peristiwa yang berlaku di Syria, kekejaman dan kezaliman berlaku dengan mudah. Umat Islam di seluruh pelosok dunia kebanyakannya seolah-olah berpeluk tubuh daripada bertindak. Kacamata utopia umat Islam melihat kemenangan sukar dan mustahil untuk didapati. Sedang kita yang berkata ini tidak sedar, bahawa kita perlu bertindak.

Ucapan Tahniah dan Syabas Kepada Bakal Mahasiswa yang Mendapat Tawaran ke USM Sidang 2012/2013

Wahai sahabat-sahabat baru yang bakal menempuh alam kampus beberapa bulan lagi, ingatlah bahawa alam kampus ini penuh cabaran dan dugaan. Bagi yang berjaya membawa diri dengan baik, alhamdulillah, teruskan usaha sehingga ke gerbang jaya. Jangan jadikan kebebasan di alam kampus satu tiket untuk anda bersosial lantas melupakan matlamat untuk menuntut ilmu.

Peristiwa Nuzul Quran

17 RAMADHAN- merupakan suatu tarikh penting bagi kita sebagai umat islam kerana pada tarikh inilah berlakunya peristiwa Nuzul Quran.Peristiwa ini sentiasa menjadi iktibar kepada kita kerana dengan peristiwa inilah zaman Jahiliyyah disinari dengan cahaya , kesesatan diganti dengan kebenaran dan umat yang bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah yang Maha Esa.

Kenyataan Rasmi PMIUSM Berkenaan Hedonisme dalam Himpunan Jutaan Belia 2012

Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur tetapi haruslah mengikut batas-batas syariat yang telah ditetapkan. Amalan percampuran lelaki dan perempuan sambil menampilkan artis yang jelas sekali tidak menutup aurat malah melalaikan jiwa muda remaja adalah bercanggah sama sekali dalam syariat Islam.

Organisasi Pimpinan PMIUSM Sidang 2012/2013

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.” : Ali Imran, 104

Friday, October 21

MEMBINA KEKUATAN DIRI (MENJAGA BATAS PERGAULAN)

Hubungan yang tidak terjaga dari segi batas pergaulannya bukan sahaja hina dipandangan mata manusia tetapi hina juga dipandangan mata Allah dan seluruh makhluk Allah. Bukan bermaksud muslimin tidak boleh berbual atau bercakap dengan muslimat tetapi dari segi sosial nya iaitu berpegangan tangan, bergaul dan ketawa secara berlebihan, dan seumpamanya tidaklah digalakkan. Dalam sebuah Hadis Rasullullah saw, berkenaan dengan dosa manusia yang berpegangan tangan dan ia tiada ikatan sah atau bukan mahramnya, Rasulullah bersabda, "dosa mereka yang bersentuhan lelaki perempuan yang bukan mahram diibaratkan besi yang dilebur panas dimasukkan kedalam mulut dan keluar melalui lubang dubur nya, maka masih belum terampun dosa bagi manusia lelaki dan perempuan yang bersentuhan itu".
Subhanallah..


Laluilah kehidupan dunia sebagai musafir yang sentiasa merasakan akan kembali kepada Allah. Mulakanlah langkah untuk membuat perubahan dengan berbekalkan dua keyakinan :
1. keyakinan kepada Allah
2. keyakinan kepada diri sendiri

Dua keyakinan ini sangat berkait antara satu sama lain. Yakinlah setiap kita mempunyai potensi untuk menjadi orang yang bertaqwa. Percaya lah kita lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan.  Kata Hukama, "Jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia.". Ertinya, dengan menguasai diri kita sendiri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, mengubah keadaan dan mencorak suasana luaran itu akan meningkat. Itulah sebenarnya sifat orang bertaqwa. Yang hati mereka hanya terikat kepada Allah. Ketika Rasulullah menerangkan tentang taqwa, baginda telah bersabda sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah: "Taqwa itu disini (sambil menunjukkan dadanya)". (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim).
Takut dan cinta mereka yang bertaqwa hanya kepada Allah. Keyakinan diri mereka sangat tinggi hasil mengingati Allah, detik kematian dan hari Akhirat. Apa yang mereka takutkan jika mereka merasai Allah sentiasa bersama mereka? When Allah is your friend, who is your enemy? Mereka akan terasa ringan nya ujian di dunia apabila mengenangkan azabnya mati. Dan mereka akan yakin dan tabah menghadapi kesusahan hidup di dunia kerana menyedari itulah bekalan untuk hidup di akhirat nanti.

Bagi orang yang bertaqwa, mereka tidak berpegang kepada prinsip 'lihat dahulu baru yakin' tetapi sebaliknya 'yakin dahulu baru lihat'. Dengan keyakinan kepada Allah, syurga, neraka dan lain-lain rukun iman (yang tidak mereka lihat) serta mereka berusaha, bekerja, berjuang di dunia, maka akhirnya mereka akan dapat melihat 'wajah' Allah di dalam syurga di akhirat kelak.

Inilah bentuk keyakinan diri yang sangat luar biasa. Manakala keyakinan yang terhasil oleh sikap 'lihat dahulu baru yakin' adalah keyakinan yang biasa-biasa. Keyakinan diri umat Islam adalah keyakinan yang luar biasa, justeru kita didorong untuk beribadah dan berjuang semasa hidup kerana mengharapkan pertemuan dengan Allah dan syurga selepas mati. Firman Allah : "Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang tetap dan yakin."
 (Surah al-Hijr 15 : 99)

Para muttaqin umpama ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Jadilah seperti ikan di laut masin, walaupun turun kedarat, laut yang masin masih tidak dapat mempengaruhinya. Janganlah jadi seperti sesumpah, kemana sahaja akan sentiasa berubah. Sebab itu ingin ditegaskan bahawa keyakinan kepada diri sendiri sangat berkait dengan keyakinan kepada Allah. Maksudnya, siapa yang lebih kuat keyakinan kepada Allah, maka dialah yang paling kuat keyakinannya terhadap diri sendiri!!

Siapakah orang yang paling kuat? Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergusti, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mengawal diri mereka ketika marah." (al-Bukhari) Sayyidina Umar Ibn Khattab pernah berkata, "Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku nescaya aku tidak akan meminumnya." Umar Ibn Aziz pernah berkata: "Aku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap.  Sebaliknya aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap."

Hukama pula berkata, "Kuasai diri kamu, nescaya kamu akan dapat menguasai dunia ini."  Rahsia kejayaan 'orang besar' itu terletak kepada kemampuan mereka menguasai diri sendiri. Dan dengan itu barulah mereka berjaya mengubah, mempengaruhi dan memimpin orang lain. Ini mengingat kita kepada satu ungkapan berbunyi : "Jangan kamu marah jika orang lain tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki jika kamu sendiri tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki"  

Tegasnya, 'kekuatan' dalam diri ialah apabila kita dapat melakukan sesuatu yang perlu dilakukan dan meninggalkan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kita ingin kuat. Kuat dalam erti kata lain dapat menentukan arah hidup dan jalan hidup kita sendiri. Kuat untuk menghadapi rintangan dan akhirnya meraih kejayaan. Kuat untuk mengakui kesalahan dan memperbaikinya.Perubahan bermula dengan diri sendiri.  Jangan harapkan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara kita akan berubah (berhijrah) sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu. Langkah perubahan mestilah bermula dengan ilmu. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Namun, ilmu yang bersih tidak boleh masuk melalui hati yang kotor. Oleh itu bersih kan hati kita, supaya ilmu yang bermanfaat akan masuk melalui hati yang bersih. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan.  Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil dari Al-Quran.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu itu iman, amal adalah makmumnya. Mulalah amal latihan-latihan asas teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah dengan zikrullah- ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah dengan mendirikan solat. Solat lima waktu adalah silah (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dan bacaan itu kedalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri bersungguh-sungguh.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi. Apatah lagi 'penawar' yang datang daripada Allah. Al- Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila dlazimkan. Ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasakan kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti akan datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingat selalu kata-kata mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apatah lagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih sukar. Tidak ada jalan yang mudah, itulah jalannya. Jalan mujahadah.

Seperti sakit fizikal yang perlu ada pantang larangnya, begitulah juga 'sakit hati' yang ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi oleh makan 'racun'. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan 'sakit hati', ada pantang larangnya juga. Kita perlu 'berpantang' daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar, atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang kan nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu.

Sebaik-baiknya carilah kawan seia sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa--yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah. Bila sudah ada perkumpulan, rangkalah program-program yang baik. Program yang positif boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca,dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang islamik adalah program-program soleh yang telah diatur.

 Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya boleh terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah 'masa lapang'. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menegaskan bahawa nikmat yang sering memperdayakan manusia ialah masa lapang dan kesihatan tubuh badan.

Justeru mengapa kita tidak manfaatkan suasana ini untuk melatih diri seterusnya mampu mengawalnya? Saiyidina Ali pernah berpesan, "Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada amal (akhirat)."

Ditulis oleh:
Noor Aiman Ab. Aziz,
Pengerusi,
Lujnah Dakwah & Perhubungan,
PMIUSM 2011/2012.

Tuesday, October 4

KENYATAAN YDP PMIUSM BERHUBUNG ISU FLYERS KEBAJIKAN BERUNSUR AGAMA LAIN

Pagi tadi (30 September 2011) saya telah berbincang dan berkongsi pandangan dengan Penolong Pengarah Pusat Islam. Dalam perbincangan tersebut saya ingin tekankan beberapa perkara kepada semua mahasiswa dan mahasiswi di USM. Menurutnya, edaran juga sampai di kawasan Pusat Islam, mungkin ada perancangan untuk menakut-nakutkan/menggugat peranan badan Islam di sini dalam menjaga kebajikan muslim. Seluruh warga USM diminta agar sentiasa waspada atas sebarang penyebaran kertas 'flyers' berkaitan menawarkan kebajikan, dalam pada masa yang sama mempromosikan agama lain. Dalam pada masa yang sama kami sepakat bahawa, badan-badan Islam yang terlibat di sini seperti Pusat Islam USM dan PMIUSM tidak menghalang usaha-usaha kebajikan yang ingin dijalankan oleh badan-badan NGO dan persatuan non muslim, malahan sangat meraikan. Pada masa yang sama, apabila melibatkan komuniti muslim sebagai 'target group' utk 'charity work', diminta pihak-pihak yang terbabit menjalankan kerjasama terus berhubung dengan badan-badan Islam di sini. Jika benar niat untuk membantu kebajikan, sila tunjukkannya melalui kerjasama dengan badan-badan induk komuniti Muslim, kerana badan-badan induk ini yang lebih arif situasi masyarakat Muslim di bawahnya. Kita khuatir, jika kerjasama tidak berlaku, pihak-pihak terbabit sebenarnya hanyalah memperalatkan nama kebajikan sebagai zahir, dibelakangnya terletak agenda penyebaran fahaman agama yang bertentangan dengan fahaman Islam.

NOR AZAM MOHAMAD TAMJIS
YANG DI-PERTUA
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM USM
SIDANG 2011/2012

Sunday, October 2

DETIK MEMBURU CINTA ALLAH

Untuk bahagia cintailah siapa yang mencintai kita, bukan siapa yang kita cintai. Ini kerana mencintai siapa yang menyintai kita, pasti cinta itu berbalas. Sebaliknya, kita akan menderita sekiranya cinta itu tidak berbalas..kita cinta pada orang yang tidak menyintai kita, Oleh itu, siapa lagi yang paling menyintai kita kalau bukan Allah? Tuhan yang mencipta kita tanpa kita minta, Tuhan yang memberi sebelum kita meminta, Tuhan yang menjaga kita setiap detik dan ketika? Mencintai Allah adalah satu kebahagiaan dan ketenangan.


Namun memang sukar menyintai Allah. Sesuatu yang berharga tentulah payah untuk mendapatkannya. Umpama kaca dan permata... kaca mudah didapati dimana-mana namun permata sukar dicari dan terlalu mahal harganya. Sukarnya mencintai Allah walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya yang kita cintai. Budi-Nya, kasih sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahi-Nya ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita. 

Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya 'sekelumit' jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit luas. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita. Kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah.
Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.Mengapa hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa mari kita bandingkan hati kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu tekak kita dapat menikmatinya dengan lazat.

Tetapi apa kata kalau kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa. Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat manapun, insya Allah tekak kita akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat, dan meloyakan. Kenapa jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atatu tekak kita yang berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap, tetapi bila badan kita sakit, selera kita akan pahit.

Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah tetapi hati kita yang sakit. Hati yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap 'kesihatan' hati kita. Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang 'sakit' hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Bila ketaatan tidak terasa manis dan kejahatan tidak terasa pahit...itu petanda hati kita sakit. Sungguh 'sakit' hati ini lebih buruk n teruk akibatnya daripada sakit fizikal. Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi 'sakit' hati akibatnya lebih parah. Kita akan menderita selama-lamanya di akhirat.

Mengapa hati kita sakit? Sehingga dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah. Sedangkan cinta Allah itu fitrah dan 'penawar' kepada hati manusia. Anologi begini. katalah, ada seorang anak yang sejak kecilnya lagi sudah dipisahkan daripada ibunya yang sejati. Oleh kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, anak itu dipelihara oleh ibu angkat. Masa berlalu bertahun-tahun. Hinggalah anak itu mencapai usia dua puluhan. Tiba-tiba si anak mengetahui rahsia yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja kepada ibunya sekarang. Dia pun mencari ibunya yang sejati. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya.


 Maka di hari pertemuan bersejarah itu, si anak pun bertemu dengan ibu sejatinya ditemani oleh ibu angkatnya. Pada ketika itu, siapakah yang lebih dikasihi oleh si anak? Ibu sejati yang telah terpisah sekian lama itukah atau ibu angkatnya yang telah memelihara nya selama ini? Pasti hati si anak akan lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selama dua puluh tahun berbanding ibu sejati yang baru dikenalinya pada hari pertemuan itu.
Walaupun pada lojik dan dari segi rasionalnya, ibu sejati perlu dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan si anak tidak lah begitu. Sayang bukan paksaan, sayang bukan pemikiran, tetapi ia soal rasa. Ia datang dengan sendirinya. Kenapa sayang dan cinta si anak tak mahu bertukar walaupun dia patut merasa begitu? Maka begitulah halnya dengan hati kita. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita.

Firman Allah :
"Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab, 'benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Al A'raf : 172)

Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Malangnya ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh 'cinta angkat'.Kita telah terpisah dari Allah.
Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia dari cinta Allah kerap kalinya adalah ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa tidak mengenalkannya kepada Allah. konsep didikan yang bertitik tolakkan ."Awaludin makrifatullah". --- "Awal-awal agama ialah mengenal Allah". tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diari. Akibatnya, kita kenal selain Allah. Maka cinta kita beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw. : " Tiada seorang bayi pun lahir melainkan dia dilahirkan di atas fitrah . Lalu kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi atau Majusi atau Nasrani, seperti haiwan itu melahirkan haiwan yang sama secara utuh. Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?" ( Riwayat Bukhari)

Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Kekadang oleh corak pendidikan yang diterima. Begitu juga media massa yang didengar dan lihat.Apa lagu yang didengarnya? Apa filem yang ditontonnya? Cinta siapa yang lebih kerap dilihat dan didengarinya? Malang sekali, bukan cinta Allah tetapi cinta selain-Nya . Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa 'cinta angkat' itulah cinta sejati kita.

Namun, Allah masih dan terus menyayangi kita. Dikurniakan kita dengan berbagai-bagai nikmat untuk kita kembali menyintai-Nya dan semua itu umpama 'panggilan Ilahi' untuk kita kembali kepada cinta-Nya.Dan dengan ini secara automatik akan terbangunlah taqwa. Justeru, sekiranya akhlak masih buruk, kecemerlangan kerja masih rendah, itu tandanya taqwa masih rapuh. Cinta Allah masih jauh!!!

Ditulis oleh:
Noor Aiman Abd Aziz
Pengerusi Lujnah Dakwah & Perhubungan
Persatuan Mahasiswa Islam USM
sidang 2011/2012

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...