Ummah Terus Dizalimi, PMIUSM Seru Mahasiswa Prihatin

Meneliti rentetan peristiwa yang berlaku di Syria, kekejaman dan kezaliman berlaku dengan mudah. Umat Islam di seluruh pelosok dunia kebanyakannya seolah-olah berpeluk tubuh daripada bertindak. Kacamata utopia umat Islam melihat kemenangan sukar dan mustahil untuk didapati. Sedang kita yang berkata ini tidak sedar, bahawa kita perlu bertindak.

Ucapan Tahniah dan Syabas Kepada Bakal Mahasiswa yang Mendapat Tawaran ke USM Sidang 2012/2013

Wahai sahabat-sahabat baru yang bakal menempuh alam kampus beberapa bulan lagi, ingatlah bahawa alam kampus ini penuh cabaran dan dugaan. Bagi yang berjaya membawa diri dengan baik, alhamdulillah, teruskan usaha sehingga ke gerbang jaya. Jangan jadikan kebebasan di alam kampus satu tiket untuk anda bersosial lantas melupakan matlamat untuk menuntut ilmu.

Peristiwa Nuzul Quran

17 RAMADHAN- merupakan suatu tarikh penting bagi kita sebagai umat islam kerana pada tarikh inilah berlakunya peristiwa Nuzul Quran.Peristiwa ini sentiasa menjadi iktibar kepada kita kerana dengan peristiwa inilah zaman Jahiliyyah disinari dengan cahaya , kesesatan diganti dengan kebenaran dan umat yang bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah yang Maha Esa.

Kenyataan Rasmi PMIUSM Berkenaan Hedonisme dalam Himpunan Jutaan Belia 2012

Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur tetapi haruslah mengikut batas-batas syariat yang telah ditetapkan. Amalan percampuran lelaki dan perempuan sambil menampilkan artis yang jelas sekali tidak menutup aurat malah melalaikan jiwa muda remaja adalah bercanggah sama sekali dalam syariat Islam.

Organisasi Pimpinan PMIUSM Sidang 2012/2013

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.” : Ali Imran, 104

Sunday, July 31

RAMADHAN: BULAN TARBIYAH



“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Al-Baqarah : 183)

Ahlan-Wasahlan Ya Ramadhan

Setelah setahun telah berlalu, kini kita telah memasuki kembali ke dalam satu bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh orang-orang yang beriman. Bulan dimana setiap amalan-amalan kebaikan dilipat-gandakan oleh Allah kepada hambaNya. Bulan yang membuatkan orang-orang beriman mudah untuk meningkatkan tarbiyyah diri kerana syaitan-syaitan akan diikat oleh Allah di dalam neraka.
Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

Bulan diturunkan Al-Quran

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…” (Al-Baqarah : 185)
Bulan ramadhan juga merupakan bulan Al-Quran diturunkan. Al-Quran merupakan kitab/buku panduan bagi manusia untuk hidup diatas muka bumi ini. Sebuah kereta pasti akan dibekalkan buku manual untuk menerangkan cara menggunakan kereta tersebut. Sebuah televisyen juga turut disertakan buku panduan cara-cara menggunakannya. Begitulah kita manusia sebagai hamba Allah. Pasti juga dibekalkan satu buku panduan untuk kita hidup di dunia ini. Iaitulah Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW menerusi malaikat Jibril yang mana sehingga kini masih terus terpelihara dari sebarang penyelewengan berbanding dengan kitab-kitab lain yang telah Allah turunkan. Firman Allah :
 “Sesungguhnya kamilah yang telah menurunkan az-zikr (Alquran) dansesungguhnya kamilah yang benar-benar akan menjaganya.” (Al-Hijr: 9)

Peristiwa Besar Di Bulan Ramadhan

Setiap kali tiba bulan Ramadhan, “mindset” setiap umat islam sekarang mesti akan memikirkan keletihan,dahaga,lemah tubuh badan dan sebagainya. Tahukah sahabat-sahabat sekalian, sirah nabi Muhammad, sahabat-sahabat nabi,tabi’n dan seterusnya membuktikan bahawa bulan Ramadhan adalah bulan menerima kekuatan diri samada rohani mahupun jasmani. Kita dapat melihat banyak peristiwa-peristiwa besar kebanyakannya berlaku dalam bulan ramadhan. Antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah :

Ramadhan 2H


Perang Badar
Ibnu Hisyam menyatakan perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Perang ini terjadi pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini mengalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.


Ramadhan 5H


Persiapan Perang Khandaq
Persiapan dilakukan dalam bulan Ramadhan dengan menggali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Strategi ini ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Hal ini diusulkan Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaidah setelah pasukan muslimin berjaya memecah belah pasukan musuh.

Ramadhan 8H


Fathul Makkah (Pembukaan Kota Mekah)
Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dalam keadaan berpuasa. Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan.

Ramadhan 9H


Perang Tabuk
Pada tahun 629 M Rasulullah Saw. memutuskan untuk melakukan aksi preventif,yakni ekspedisi ke wilayah tabuk yang berbatasan dengan romawi. Setelah sampai di Tabuk, umat Islam tidak menemukan pasukan Byzantium ataupun sekutunya.


Ramadhan 10H


Ekspedisi Yaman
Rasulullah Saw mengutus pasukan dibawah pimpinan Saidina Ali ra, ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku yang berpengaruh di Yaman langsung menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka solat berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H


Kemenangan tentera Islam di pulau Rhodes.

Ramadhan 92H


Pembebasan Sepanyol
Paglima tentera Islam, Tariq bin Ziyad memimpin 12.000 tentera Islam berhadapan dengan tentera sepanyol berjumlah 90,000 yang diketuai sendiri oleh Raja Frederick. Pada peperangan ini, untuk menambah semangat pasukannya, Tariq bin Ziyad membakarkan kapal-kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Frederick. Beliau berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, apakah mati tenggelam , atau mati syahid.”

Ramadhan 129H


Kemenangan atas Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.


Ramadhan 584H


Pembebasan Palestin
Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia istirahat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam”. Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini terjadi pada pertengahan bulan Ramadhan.


Ramadhan 658H


Perang Ain Jalut
Saat tentera tartar memasuki Baghdad, mereka membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Musibah ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semua kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertemu dengan mereka pada Jumat, 6 September 1260M di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran.

Amalan-Amalan Bulan Ramadhan

Banyak amalan-amalan sunat yang dapat dilakukan dalam bulan ramadhan. Bahkan amalan-amalan yang kita lakukan tersebut akan dilipat-gandakan pahala oleh Allah berbeza dari bulan-bulan yang lain. Antara amalan-amalan tersebut adalah :
1.      1. Mentadabbur Al-Quran dan mengkhatamkannya
2.      2. Berzikir dan Berselawat
3.      3. Bersahur dan melewatkannya
4.      4. Berbuka dan mempercepatkannya
5.      5. Memperbanyakkan berqiamullail
6.      6. Memperbanyakkan amalan bersedekah
7.     7.  Solat sunat tarawikh 

      Berikut adalah contoh antara amalan-amalan yang boleh kita lakukan dalam mentarbiyah(mendidik) diri kita di bulan ramadhan selain banyak lagi yang boleh kita lakukan.

Malam ‘Lailatulqadar’

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
“Sesungguhnya Kami turunkan al-Qur`an itu pada malam al-Qadr.Tahukah engkau apakah malam al-Qadr itu?. Malam al-Qadr itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu para malaikat dan Roh (Jibril) turun dengan perintah Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang telah diputus oleh Allah). Sejahteralah malam itu hingga fajar menyinsing.” (Al-Qadr : 1-5)

Antara perkara yang paling kita perlu rebutkan di bulan Ramadhan adalah malam “Lailatulqadar”. Ini kerana pada malam tersebut, segala amalan yang kita lakukan Allah SWT akan menggadakan pahala sebanyak 1000 bulan atau lebih kurang 83 tahun. Subhanallah, bolehkah kita hidup selama 83 tahun? Belum tentu. Berkenaan waktu sebenar berlakunya ‘Lailatulqadar’ ini, para ulama’ berbeza pendapat. Apa yang penting, kita sama-sama mempertingkatkan amalan kita bermula sekarang, InsyaAllah kita akan bertemu dengan malam tersebut.

Akhir kata, marilah sama-sama kita bersedia untuk mentarbiyah diri kita sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini, dengan banyakkan bertaubat dan mempertingkatkan amalan kita agar Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan paling bermakna dalam hidup. Anggaplah Ramadhan ini mungkin menjadi Ramadhan terakhir buat kita, dan tidak dapat bertemu di Ramadhan akan datang. Semoga kita semua berjaya menempuh universiti Ramadhan ini dengan jayanya.

Wallahua’lam.
~SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK 1432H~



Ditulis oleh:
Mohamad Hafiz bin Mohamad Tahir
Pengerusi Lujnah Tarbiyah dan Kepemimpinan
Persatuan Mahasiswa Islam USM
Sidang 2011/2012

Friday, July 29

KALI INI AKU NAK BERUBAH TAK?

“Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui dengan sempurna
Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlaku
Masa yang pantas berlalu          
Hingga tak terasa pun berada di bulan ramadhan... semula”
(Harapan Ramadhan- Man Bai dan Raihan)

ALLAHUAKBAR...Ramadhan kareem..(ALLAHUAKRAM)....

Assalamualaikum wbt.
Sahabat-sahabat mahasiswa/i sekalian,
Masih ingat lagikah kita pada rangkap lagu di atas? Kadang-kadang kita terlalu asyik mendengar lagu “genre” balada, pop rock, heavy metal, dangdut atau apa-apa sekali pun. tetapi pernah terlintaskah di minda kita untuk menghayati lagu yang mampu memuhasabahkan diri kita?

“hidup hanya sekali, so kita enjoy....”

Naudzubillahi min dzalik..jangan biarkan diri kita terdetik untuk berkata seperti di atas..
Kelaziman umat kini, “tunggulah da tua nanti, baru aku taubat..sekarang ni aku muda lagi..umur panjang lagi..sempat lagi nak taubat..”

ALLAHUAKBAR, parah sungguh umat akhir zaman kini. Walaubagaimanapun, kita masih belum terlambat untuk tunduk sujud bertaubat daripada dosa-dosa yang telah lalu.

“Kasih atau sifat pemaaf ALLAH itu melebihi amarah-NYA”

Usahlah mengeluh pada diri dengan mengatakan “aku banyak dosa, ALLAH takkan maaf punyalah..gerenti tercampak kat neraka lah aku ni..”

Astaghfirullah al-azim..urusan syurga atau neraka itu hak ALLAH.. siapa kita yang layak menentukannya? Sedangkan si pembunuh 99 nyawa + 1 nyawa pun dimasukkan ke dalam syurga oleh ALLAH atas niat dan kesungguhannya yang berkobar-kobar ingin bertaubat di jalan ALLAH..percaya dan yakinlah bahawasanya ALLAH itu MAHA PENGASIH lagi MAHA PENYAYANG.

Jadi di kesempatan itu, moleklah kiranya kita merebut peluang pada bulan Ramadhan ini untuk terus istiqamah berbuat ‘amalan yang baik dan menghindari segala ‘amalan yang buruk..

tangan yang memberi lebaik baik dari yang menerima


Jika kita pernah berbuat dosa atau terkhilaf dengan sesiapa, segerakanlah memohon maaf kepada mereka..biarpun bukan kita yang memulakan masalah, apa salahnya kita yang menghulur tangan dahulu dan memohon kemaafan.. “sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima ATAU tangan yang berada di atas lebih baik daripada tangan yang berada di bawah”
Kepada perokok tegar atau yang baru berjinak-jinak dengan rokok, inilah masanya. Ramadhan merupakan masa latihan yang sangat sesuai untuk praktikal..yakinlah, ALLAH MAHA MENDENGAR isi hati kita..ini perkara baik, lagi mulia di sisi ALLAH..sudah tentu ALLAH perkenan dan permudahkan untuk kita..tetapi bergantung juga kepada kita.. sekiranya, usaha kita hangat-hangat tahi ayam atau sekadar angan-angan mat jenin, sudah tentu ALLAH tidak akan memberi kerana kita bermain-main dengan urusan kehidupan.

Tambahan, seusai solat fardhu, apa salahnya kita duduk sebentar dan menekuni kitabullah..tadabbur ayat-ayat agung daripada ALLAH SWT..pada bulan ini, satu ‘amalan baik yang dilakukan, berlipat kali ganda ganjaran yang ALLAH berikan. Istimewanya kita ummat Muhammad. emm, mengapa perlu bertarik tali lagi?? Go, go, go grab it!

Jika tiba-tiba kita mendengar laungan suara mak di dapur: “ abang/ kakak/ adik, tolong pergi kedai kejap..belikan.....” Apa lagi? Kejarlah pahala yang ALLAH nak bagi melalui ibu kita ini.

Tambahan lagi, sepanjang tempoh berpuasa ini, perbanyakkanlah zikir..sambil-sambil memasak kat dapur, cuci kereta, kemas rumah, jaga adik, tengok televisyen, apa kata kita lazimi zikir..subhanALLAH, nikmat pahala yang ALLAH bagi sangat besar..rugi jika kita tidak merebutnya.

Bulan ini juga kita diuji oleh ALLAH SWT supaya menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa..pada saat ini, kita diminta untuk menahan lapar dan dahaga..mengapa?? dengan menahan diri daripada makan dan minum secara tidak langsung kita akan mampu menahan nafsu kita..oleh sebab yang demikian, pensyariatan puasa ini perlu kita lihat dan hayati sepenuhnya. Bukan sekadar melaksanakan tetapi digalakkan kita mengambil iktibar dan pengajaran yang terkandung di sebalik pensyariatan. Dengan itu, ibadah yang dilakukan akan menjadi lebih khusyuk, tenang dan bersungguh-sungguh.

Rakan-rakan mahasiswi sekalian,

Pada bulan yang penuh barakah ini juga, tidak salah jika kita memulakan satu penghijrahan yang baru seperti contoh memperelok penutupan aurat kita sebagai muslimah. 

Jika sebelum ini, kita tidak berstokin, apa salahnya kita berstokin. 
Jika kita tidak bertudung, apa salahnya kita bertudung. 
Jika memakai baju tidak berlengan panjang, apa salahnya kita berlengan panjang. 
Jika sebelum ini, pakaian kita agak jarang atau ketat, apa kata kita longgar-longgarkan dan tebal-tebalkan pakaian kita. 

Nah, cukup senang perintah ALLAH SWT. ALLAH tidak sewenang-wenangnya menurunkan perintah berkenaan tanpa sebab musabab. Pasti ada makna yang terselindung di sebalik pensyariatan. Selama ini kita mengaku “aku hamba ALLAH dan ummat Nabi Muhammad SAW”..Tetapi sejauh mana kita melaksanakan kewajipan sebagai hamba ALLAH dan ummat Nabi. Jangan sekadar manis di mulut tetapi di hati dan anggota badan tidak selari dengan mulut. Takut-takut akibatnya di akhirat kelak, mulut ini juga yang akan menuntut kewajipan. Naudzubillahi min dzalik.

Sahabat-sahabat mahasiswi khususnya,

Jika kita sudah mempunyai niat. Usah disekat-sekat lagi. Teruskan niat anda dan zahirkan pada pelaksanaan. Jika tidak kuat, pintalah pertolongan daripada mereka yang mampu membantu. Tidak takutkah kita jika tidak berkesempatan melakukan perubahan ini? Andai ini adalah Ramadhan terakhir kita, pasti dan pasti kita akan menyesal tak sudah di alam penantian yang entah apa takdir kita nanti.

Bersama-sama kita ingat-mengingatkan.
Sekian, muhasabah Ramadhan daripada saya untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian.
Selamat menikmati pesta ibadah dan selamat bertemu cinta Tuhan. ALLAHUAKBAR !!!
~Ahlan ya Ramadhan..Ramadhan Kareem...



Ditulis oleh:
Nor Atiqah binti Ahmad
Naib Yang Di-Pertua
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Sains Malaysia
Sidang Akademik 2011/2012


Wednesday, July 13

KERJAYA DAN PENGKHUSUSAN: DILEMA DAN REALITI

Semasa waktu rehat usai memberikan pengisian ceramah di Leeds pada 14 Mac 2009 yang lalu, saya diajukan soalan yang sama dengan soalan oleh beberapa orang pelajar di Imperial College, London tahun lepas dan beberapa tempat ceramah saya yang lain. Oleh kerana, persoalan ini kerap dibangkitkan, saya kira elok untuk saya kongsikan sedikit manfaat buat pembaca lain.
   
Mereka bertanya berkenaan kerjaya dan career selepas tamat belajar.

"Bagaimana ingin menjadi pakar sesuatu bidang sedangkan kita mempunyai banyak minat?"

"Saya dalam bidang perakaunan dan undang-undang, yang mana satukah lebih baik untuk saya jadikan kerjaya?"

"Adakah mesti mendahulukan bidang yang diminati sahaja sedangkan adakalanya ia kurang mendapat tempat dalam industri pekerjaan?'
 
Begitulah serba ringkas bentuk-bentuk soalan mereka.
   
MENYUSUN MINAT DAN PELUANG

Anda perlu menyusun atur minat agar ia boleh diterjemahkan kepada kepakaran dengan kemas dan beransur-ansur.

Sememangnya boleh untuk menjadi pakar dalam semua bidang yang diminati namun senarai panjang minat itu perlu disusun sebaiknya, saya menasihatkan anda agar memilih satu dahulu sebagai induk career. Fokus dan sasaran untuk diri anda menjadi terkehadapan di dalam satu bidang  terlebih dahulu.

Dalam masa sama bidang-bidang lain yang diminati perlu juga sentiasa dikemaskini atau ‘update' dengan maklumat baru di bidang tersebut. Jika tidak mendalam sekalipun, namun perhatian kepadanya perlu ada khususnya bidang yang menduduki tempat kedua dalam senarai panjang anda. Malah beberapa pencapaian dalam bidang minat kedua ketiga dan keempat masih boleh diusahakan serentak ketika anda sedang komited dalam satu bidang yang paling utama.

Saya sememangnya memberikan komitmen kepada bidang muamalat tetapi ia tidaklah sampai menghalang saya menghasilkan karya tulisan, analisa dan ceramah dalam bidang solat, keluarga, isu semasa dan lain-lain isu fiqh. Namun tumpuan utama dan kebanyakan masa dihabiskan untuk mendalami kajian terkini bidang Fiqh Muamalat. Demikianlah.

Ada seorang pelajar yang memberitahu saya, ia minat menjadi penulis novel, tetapi kini dia sedang mengambil jurusan kejuruteraan, dalam masa yang sama ia juga minat perbahasan ilmiah berkenaan Islam.

Tatkala itulah dia perlu mengatur minatnya dan apa yang sedang di hadapannya sekarang. Jika ia benar-benar merasakan minatnya terhadap novel terlalu tinggi. Bagi saya first degree (ijazah pertamanya) mahu tidak mahu perlu diselesaikan terlebih dahulu. Ia penting sebagai back up bagi segala kemungkinan.
 
KEPERLUAN MENJADI SPECIALIST

Selepas kita meletakan satu priority bidang yang ingin dijadikan asas kerjaya, langkah seterusnya adalah mengkaji dan mengetahui cara dan kaedah bagi mencapai target itu. Setiap bidang punyai jalan masing-masing.

Sebagai contoh tadi, seorang pelajar kejuruteraan yang ingin menjadi novelis. Maka jalan untuk menjadi pakar dalam penulisan novel, tentulah seperti berikut :- 
  1. Menggunakan waktu-waktu terluang dan  kosong dengan mengasah bakat penulisan novel, dimulakan dengan penulisan-penulisan mudah di blog sendiri,
  2. Mengenalpasti majalah untuk menghantar karya bagi mengenalpasti kualiti penulisan sudah mencapai standard majalah atau tidak,
  3. Menghantar karya ke ruangan cerpen akhbar,
  4. Menyertai pertandingan cerpen pendek,
  5. Mula menjalin hubungan dengan persatuan penulis dan berhubung dengan penulis-penulis berpengalaman,
  6. Memperbanyakkan bacaan berkenaan teknik tulisan sastera dan kaedah menjadikannya sastera berisi ilmu. Bukan sastera biasa.
  7. Mencari tema cerpen yang masih kurang di dalam pasaran.
  8. Elakkan cerpen cinta remaja muda mudi yang dibuai kelalaian,
  9. Setelah memperolehi keyakinan diri melalui beberapa hasil penulisan yang diterbitkan, bolehlah menjinakkan diri dengan penerbit buku bagi memulakan langkah seterusnya, iaitu membuku sebuah novel..dan begitulah seterusnya.
Panjang lagi langkahnya cuma saya ingin memberikan idea, setiap bidang yang ingin anda jadi pakar di dalamnya memerlukan pengetahuan awal berkenaan : -

* Ilmu asas dan advance yang diperlukan ; kita tidak akan menjadi pakar jika ingin terus melompat dan mempelajari ilmu advance dalam sesuatu bidang sedangkan masih tidak masak berkenaan ilmu asas dan basicnya. Sebagai contoh seorang pakar atau specialist kewangan Islam, patut tahu setiap jenis aqad, elemen haram dalam kewangan, dalilnya, asas sistem perbankan moden, wang, istilah-istilah biasa dalam fiqh muamalat dan kewangan moden. Juga ilmu Usul Fiqh dan Kaedah Fiqhiyyah selain nas-nas utama Al-Quran dan Hadis dalam bidang kewangan. Juga bahasa perantaraan apa yang perlu, bahasa arab, english dan sebagainya.

*  Sumber ilmu dan maklumat ; seorang pakar dan specialist digelar sedemikian kerana mendalam dan jauhnya coverage ilmunya, pengamatan dan pengalamannya dalam bidang tersebut. Justeru, perlu dikenalpasti dari awal apakah sumber ilmu dalam bidang ini, adakah di perpustakaan atau di pasaran?. Di bilik kuliah universiti atau pejabat korporat dan lainnya. 

*  Institusi autoriti ; pakar mestilah mengenalpasti institusi berkaitan dalam bidangnya, jangan pula seorang yang mendakwa pakar daam bidang kewangan Islam tetapi tidak mengetahui apakah itu AAOIFI dan IFSB Ia hanya akan membuka aibnya.

* Buku rujukan utama ; pakar pastinya mampu merujuk dengan berkesan apabila timbul permasalah dalam bidangnya, tatkala itu sebarang buku dan rujukan wajib yang paling berautoriti dalam bidangnya hasil tulisan pakar silam dan semasa perlu diketahui. Dalam Bidang kewagan dan perbankan Islam contohnya, amat penting diketahui buku al-Ma'ayir As-Syar'iyyah oleh AAOIFI dan begitulah dalam bidang yang lain juga pasti adanya buku rujukan utama.

*  Role Model; elok jika anda punyai model dalam mencapai sasaran anda sebagai pakar, dengan demikian lebih mudah untuk diukur tangga kejayaan anda sudah semakin dekat atau sebaliknya.
 
*  Langkah-langkah praktikal ; Buatkan perancangan masa dan langkah praktikal satu demi satu, jangan terlalu ideal dalam merancang, kerana walau sehebat manapun target anda, jangan dilupa cabaran kehidupan di sekeliling masih perlu diberikan masa; isteri atau suami anda, anak, urusan teknikal di rumah dan keluarga, masyarakat setempat dan sebagainya masih punyai hak ke atas diri anda. Jangan abaikan mereka.

Tanpa memastikan checklist di atas telah selesai, seseorang akan sesat di tengah-tengah jalan menyebabkan sasarannya tidak kesampaian, terhenti di tengah jalan, akhirnya tidak pakar dalam semua bidang walaupun banyak bidang yang diminati dan boleh dikuasai.

Justeru itu, jika anda mensasarkan diri menjadi Perdana Menteri sebagai contoh, anda perlulah dari sekarang untuk memahami sistem politik dan terjun dalam bidang politik kepartian. Mengasah bakat dan menunjukkan bakat dalam bidang tersebut. Kerana bidang politik tidak memerlukan apa-apa sijil rasmi untuk menjadi pakar maka ramai orang mampu menjadi pakar dalam bidang ini, termasuk kaki menipu.
Demikian juga dalam bidang-bidang yang lain.

DI MANA KEKUATAN SEORANG SPECIALIST?

Sebagaimana yang saya sebutkan tadi, SESEORANG tidak akan digelar specialist atau pakar tanpa bacaan kitab dan sumber rujukan yang berulang sehingga puluhan atau ratusan kali di dalam bidangnya. 

Terasa malu diri saya bila mengingati kembali, semasa saya menamatkan dua buah buku berkaitan kad kredit dalam Islam ketika di Jordan, saya merasakan sudah boleh berfatwa dalam bidang itu dan telah meliputi majoriti ilmu berkaitannya. Amat tertipulah saya ketika itu.

Saya menyedari keadaan itu hanya setelah pulang ke Malaysia dan berkecimpung dalam bidang kewangan secara aktif dan praktikal. Barulah disedari bahawa terdapat 80 % lagi ilmu dan perbincangan terperinci berhubung hal itu yang  tidak saya ketahui ketika di Jordan. 

Oleh sebab itu, saya menasihati diri dan rakan-rakan agar memberikan pertimbangan lebih kepada panduan seorang specialist yang pakar, kerana kemungkinan panduan dan kalimah yang diberikan kepada anda adalah ringkas dan adakalanya mungkin kelihatan tidak mendalam, namun tanpa anda sedar, panduan itu dikeluarkan hasil cernaan ratusan buah kitab, puluhan kertas kerja, ratusan jam pengamatan, penelitian hujah pihak penyokong dan penolak selama berpuluh jam dan sebagainya. Kerana itulah mereka mampu menjadi pakar dan specialist.

Jika mereka seorang pensyarah universiti, hasil perulangan beratus jam itu, mampu sahaja mereka mengajar di dalam kelas atau menjawab soalan secara spontan dan mudah. Kebolehan itu tidak datang dengan mudah, ia datang dengan ratusan jam pembacaan, pemahaman dan kesimpulan dari puluhan kitab, buku, artikel dan kertas kerja.

Hasil sebab itulah anda perlu sasarkan untuk menjadi pakar dalam satu bidang sahaja terlebih dahulu, kerana anda perlukan ribuan jam untuk mencernakan hampir semua maklumat dalam bidang anda. Hanya selepas sampai satu peringkat barulah tepat untuk seseorang itu mengembangkan kepakaran kepada bidang lain pula.
Walaupun secara kebetulan pandangan pakar itu sama dengan orang biasa, namun asas dan foundation kepada lahirnya pandangan itu adalah tidak sama. 

Dan jangan anda merasakan, apabila seorang pakar menulis dan disertakan sesuatu hujah, maka itulah sahaja hujjah yang dipunyai olehnya dan dijadikan asas dalam kesimpulannya. Pada kebiasaanya apabila seorang pakar menulis kepada orang awam atau bukan kalangan mereka yang takhassus dalam bidang tersebut, ia hanya mengeluar 40 % - 50 % dari buah ilmunya. Bakinya hanya akan dikeluarkan apabila perlu dan di dalam perbincangan sesama pakar. Malah jika dikeluarkan sekalipun, ia mungkin sahaja tidak dapat difahami oleh pembaca awam.

Saya bukan menulis ini untuk anda menghormati pakar secara membuta tuli, kerana bukan semua professor di Universiti itu pakar, bukan juga semua mufti itu reti dan specialist, bukan juga semua tuan guru atau tuan Syeikh itu pakar dalam semua bidang Islam, semua berhak menyaring dan menyemak pendapat individu sebegini. Kerana di zaman ini, ramai professor kangkung, Phd Beli, tuan syeikh sesat, mufti bermazhab wang, ustaz kaki kelentong dan lain-lain. Justeru, bijaklah dalam menapis.

PENGKHUSUSAN SAYA

Saya ada terbaca tulisan sahabat saya, Al-Fadhil Ust Hasrizal Abd Jamil berkenaan ilmu beliau dalam bidang muamalat, dan minatnya yang menjurus ke arah bidang kekeluargaan. Terima kasih atas sangka baiknya untuk mengkategorikan saya sebagai seorang yang specialize di dalam bidang muamalat. Sememangnya itu sasaran utama saya, iaitu specialist bidang Muamalat dan saya masih dalam perjalanan mencapainya, namun bukan itu sahaja, banyak lagi, cuma saya sedang menyusunnya satu demi satu dan bidang kewangan dan muamalat ini berada di bahagian yang teratas sekali buat masa ini.

Berkenaan mengapa saya menjadikannya bidang tumpuan utama dan karier, mungkin terlalu kompleks dan panjang untuk disenaraikan. Namun perlu diingat saya sendiri sebenarnya tidaklah begitu meminati bidang ini pada awalnya, cuma keperluan mendesak serta kekurangan ilmuan Syariah yang pakar dan specialist dalam bidang ini menjadikan saya memaksa diri yang tidak minat untuk menjadi minat.

Jika itu anggapan awal orang ramai dan rakan terhadap anda, ini bermakna anda sedang berada atas jalan yang betul untuk benar-benar menjadi pakar dalam bidang tersebut, malah bidang yang sedang anda sasarkan sudah terlihat jelas oleh rakan-rakan dan masyarakat. Ia suatu tanda yang positif.

Bagi saya, bidang muamalat ini sedang berkembang pesat dan masih di peringkat awal, justeru menceburi bidang ini sekaligus memberikan saya peluang untuk berada di dalam kumpulan hadapan atau lebih bertuah jika mampu menjadi pioneer yang bakal menunjukkan jalan kepada kebaikan dan perkembangan kewangan halal. Nabi s.a.w bersabda :-
من سن في الإسلام سنة حسنة فله أجرها ، وأجر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أجورهم شيء
Erti : "Barangsiapa yang menunjukkan jalan dan mempelopori sesuatu kebaikan, lalu orang mengikutinya, baginya pahala sebagaimana mereka yang melakukannya" (Riwayat Muslim)

DI SAMPING KEBAIKAN AKHIRAT

Pastinya minat seseorang bercabang kepada pelbagai jenis dan bidang. Apa yang lebih penting adalah kebijaksanaan kita untuk memandu minat kita ke arah sesuatu yang mampu dan berpotensi memberikan ruang pahala selain manfaat dunia. Atau sekurang-kurangnya, kita punyai idea untuk mengubah suai kerjaya yang pada asalnya bukan dalam acuan keagamaan kepada paradigma baru yang membantu promosi kebaikan Islam.

Sebagai contoh melalui filem mungkin anda minat menjadi pakar filem, kartun, jurutera, akauntan, doktor, arkitek, petani moden, usahawan, mekanik dan banyak lagi. Benar, banyak kerjaya yang secara sekilas pandang bukan bentuknya seperti pendakwah, namun semua kerjaya masih boleh diniatkan sebagai ibadah, malah lebih dari itu, ia mampu diubah suai sehingga mampu menyumbang sesuatu untuk Islam secara langsung.
Tambahan lagi, seseorang pakar dalam bidang-bidang ini sebenarnya boleh dan tentunya mampu menguasai bidang Islam secara berasingan, menggunakan pengaruh dan pandangan tinggi masyarakat kepada status pakar dalam bidangnya untuk promosi Islam, masih boleh memanfaatkan kecerdasan aqal yang dianugerahi Allah swt yang adakalanya lebih tajam dari sensitiviti seorang ustaz dan lebih teliti dalam pembacaan hukum dan dalil dari seorang yang berlatar belakangkan pengajian agama.

Rancanglah ia sebaiknya, jadikan diri sebagai pakar dalam satu bidang terlebih dahulu dan pastikan ia boleh memberikan manfaat dunia dan akhirat.

Bidang pilihan saya iaitu kewangan Islam. Menurut penilaian saya, ia sesungguhnya membuka peluang pahala dan keredhaan Allah swt kerana usaha memperkembangan kewangan halal, menjauhkan manusia dari riba, gharar dan perjudian, selain itu ia turut menawarkan ganjaran keduniaan yang agak baik. Sebagai contoh, walaupun saya telah menjadi pensyarah (ahli akademik) dan tidak lagi bertugas sebagai full time Islamic banker, namun saya dapat melihat betapa banyaknya peluang kerja dalam bidang ini yang masih terbuka di hadapan mata, walaupun di ketika zaman kegawatan ekonomi ini.

Malah, sepanjang keberadaan saya di United Kingdom atas tujuan menyiapkan PhD, baru 8 bulan saya di sini, tawaran dan peluang kerjaya sepenuh masa atau part time dalam bidang kewangan dan perbankan Islam sentiasa wujud dan datang. Saya ada menerima pelbagai tawaran bertugas di Bahrain, Kuwait, Singapura, Malaysia, Qatar dan Dubai. Tawaran dengan jumlah pendapatan yang amat menarik, sehingga sebuah institusi menawarkan pendapatan sebanyak USD 210,000 setahun sebagai basic salary.  Banyak ?. Nah, jika anda inginkan tawaran yang sama, dewasa ini ia tidak semestinya hanya di fakulti kejuruteraan, kedoktoran dan lain-lain profesion yang sering dianggap berteraskan sains dan teknologi. Justeru, jangan lagi ada yang sentiasa serong pandangan dengan lulusan keagamaan.

Namun, perjalanan mencapai sasaran dan target perlukan displin tegas, justeru saya terpaksa menolak semua tawaran-tawaran kerja sepenuh masa (full time) kerana komitmen kepada sasaran yang telah digariskan. Saya kira, anda turut perlu komit dengan perancangan anda untuk menjadi pakar. Jika asyik terpesong ke sana dan ke sini kerana mengejar tawaran lumayan, matlamat akan asyik tertangguh dan akhirnya terpadam di separuh jalan.

IJAZAH PERTAMA BUKAN PENENTU

Satu lagi fakta yang ingin saya kongsikan, ijazah pertama anda tidak semestinya menentukan anda terhad untuk menjadi pakar dalam bidang tersebut sahaja. Saya sendiri ijazah pertama dari aliran Usuluddin, pengkhususan tafsir dan pentadbiran awam, namun sekarang saya sedang di dalan perjalanan dalam bidang Syariah dan Kewangan Islam.

Bagi saya, ijazah pertama hanyalah pembuka jalan, selanjutnya anda perlu merancang. Mereka yang telah beroleh ijazah pertama sebenarnya telah berjaya membuktikan capability diri untuk mempelajari pelbagai ilmu lain. Namun masih perlukan panduan dan guidance untuk menjadi pakar. Justeru, waktu untuk menentukan bidang apa yang ingin diceburi tidak tertutup oleh ijazah pertama anda. Terutamanya bagi mereka yang ingin menjadi pakar dalam bidang yang lebih terbuka seperti politik, penulisan novel dan cerpen.

Malah seorang lepasan ijazah sains, jurutera dan lainnya mampu menjadi pakar Fiqh Islam, tafsir dan lainnya jika kena cara dan jalannya. Boleh sahaja ia mengambil ilmu dari sijil-sijil rasmi di Universiti atau tidak rasmi di pondok-pondok dan pengajian khusus Islam yang lain. Yang penting bergerak ke hadapan dengan perancangan yang teliti dan dengan ilmu bukan secara sembrono.

Akhir kata, pasakkanlah ayat ini dalam diri di ketika membuat perancangan diri di atas dunia yang sementara ini. Firman Allah swt:-
يأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ( Al-Hasyr : 18 )

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman (www.zaharuddin.net)
16 Mac 2009

Monday, July 4

CARA EFEKTIF TINGGALKAN DOSA


Satu permasalahan yang bersangkutan dengan dosa adalah meninggalkannya. Ya. Ramai yang berhadapan dengan masalah ini. Apakah cara yang terbaik, dan paling berkesan dalam meninggalkan dosa? Mungkin itu satu soalan yang mana jawapannya dinantikan mungkin oleh jutaan manusia yang berhajatkan keredhaan Allah SWT.

Sememangnya, kegusaran terhadap dosa, menandakan keimanan masih lagi punya cahaya.
Maka, dari selaput dosa yang melekit lekat pada jiwa kita, bagaimana hendak keluar daripadanya?
Di sini ada buah idea, untuk sama-sama kita renungkan dan perhatikannya.

Kesilapan utama dalam meninggalkan dosa.

Ramai manusia, apabila berhajat hendak meninggalkan dosa, mereka hanya melihat MENINGGALKAN DOSA semata-mata. Pada saya, ini adalah kesilapan yang fatal dalam meninggalkan dosa.
Maka yang tersemat di dalam kepala, adalah perkara-perkara seperti ‘berhenti, tinggal, jauh,’ dan sewaktu dengannya. Mereka akan perhatikan betapa sukarnya meninggalkan dosa apabila terus disuruh tinggal. Akhirnya, mungkin dapat tinggal beberapa hari, kemudian buat kembali. Ramai yang gagal dalam mendaki ‘gunung ke syurga’, ramainya jatuh kembali.
Jadi bagaimana?

Kebaikan itu, memadamkan keburukan.

Allah SWT berfirman:

“ Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan.” Surah Hud ayat 114.

Silap bagi mereka yang memandang ayat ini dengan maksud berikut: “Buat dosa tak mengapa, asalkan buat baik banyak. Sebab kebaikan-kebaikan kita menghapuskan dosa-dosa kita.”
Salah dan salah.

Ayat ini hakikatnya adalah untuk yang hendak MENINGGALKAN dosa. Bukan alasan untuk yang hendak MEMBUAT LEBIH BANYAK dosa.

Maka jawapan kepada permasalahan di atas, yakni hendak meninggalkan dosa, terkandung di dalam ayat ini. Yakni, buatlah kebaikan. Sesungguhnya kebaikan-kebaikan itu akan memadamkan perasaan ingin melakukan kemungkaran. Hal ini kerana, sifir kehidupan ini mudah, kebaikan dan kejahatan tidak akan dapat bersatu di dalam satu waktu.

Maka kita perhatikan ayat Al-Quran tadi secara penuh:

“Dan dirikanlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.“ Surah Hud ayat 114.

Dan dirikanlah solat. Solat adalah paksi kepada segala kebaikan. Ia adalah tiang agama. Kemudian lihatlah isyarat Allah mengarahkan kita menambah dengan perkara-perkara sunat di dalam firmanNya: dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Kemudian barulah Allah menyebut: Sesungguhnya amal-amal kebajikan itu menghapuskan kejahatan-kejahatan.

Maka, resepi utama dalam hendak menguatkan langkahan kita dalam meninggalkan kejahatan dan dosa adalah dengan melakukan kebaikan!

Balang kehidupan. Pengisiannya.

Sekiranya kita hidup 80 tahun, maka yang ada pada kita hanya 80 tahun. Dan apa yang boleh diisi di dalam 80 tahun adalah hanya 80 tahun. Maka di sini kita melihat satu limitasi. Hendaklah kita menganalogikan kehidupan kita ini ibarat cawan. Jika diisi air, ia akan penuh. Bila penuh, apakah kita akan dapat pula mengisi air yang lain? Tidak.

Begitulah konsepnya meninggalkan dosa. Dengan melakukan kebaikan, kita telah meng’isi’ kehidupan kita. Apakah semasa kita melakukan kebaikan, kita melakukan kejahatan yang hendak kita tinggalkan tadi? Semestinya tidak. Sebab waktu untuk melakukan kejahatan, telah kita isikan dengan melakukan kebaikan.
Maka lihatlah betapa indahnya Allah SWT menyatakan kerugian manusia di dalam Surah Al-’Asr, dan mengecualikan kerugian itu terhadap mereka yang telah berjaya mengisinya dengan baik.

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.“ Surah Al-’Asr ayat 1-3.

Tidakkah anda memerhatikan?

Alihkan perhatian, tambahkan kekuatan.

Semestinya, mengalihkan perhatian dari dosa yang kita lakukan adalah cara yang terbaik. Tetapi kita hendak alihkan perhatian kita kepada apa? Di sinilah perlunya kita memahami akan keperluan mengisi kehidupan dengan kebaikan-kebaikan.

Jangan bohong dengan saya dengan menyatakan: “Aku dah buat banyak benda baik, tapi still ada masa gak nak buat benda jahat ni.”

Bohong dan bohong. Hakikatnya, Allah menciptakan benda baik itu banyak dan melebihi 24 jam sehari jika hendak melaksanakan semua. Hatta ada manusia itu, terpaksa mengorbankan waktu tidurnya kerana hendak melakukan lebih banyak kebaikan.

Maka di manakah waktu melakukan dosa?

Tambahan, sekiranya kita banyak melakukan kebaikan, maka jiwa kita akan terisi, hati kita akan disirami siraman yang menghidupkan peribadi. Kehidupan akan bercahaya, kerana kita berhubungan dengan Ilahi. Kekuatan akan muncul di situ. Kekuatan yang tiada taranya.

Tidakkah anda melihat, hendakkan ketenangan jiwa, apakah yang perlu dilakukan terlebih dahulu?
“Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah, hati-hati akan menjadi tenang.” Surah Ar-Ra’d ayat 28.

Bukankah disebut: “Bahawa dengan mengingati Allah…” Terlebih dahulu?

Penutup: Melangkah hari baru tanpa dosa. Susunlah kehidupanmu!

Allah Maha Penyayang. Walaupun anda dan saya berdosa, anda dan saya masih diizinkanNya hidup sampai ke hari ini. Walaupun anda berdosa, anda masih diizinkan membaca artikel saya ini dan membaca idea saya ini. Walaupun saya berdosa, saya masih diizinkan menulis artikel ini dan diberikan idea ini. Maka sekarang ini, bagaimanakah kita membalas kasih sayang Allah SWT?

Marilah kita melangkah hari baru dengan berusaha mati-matian mengisi kehidupan kita dengan kebaikan. Di situlah waktunya kita meninggalkan kejahatan.

Hakikatnya, bergerak kepada Allah dengan bergerak mengingkariNya itu ibarat satu bergerak ke utara dan satu lagi bergerak ke selatan. Selangkah kita kepada Allah, selangkah kita telah meninggalkan kejahatan. Selangkah kita ke arah kemungkaran, hakikatnya kita telah selangkah meninggalkan Allah SWT.

Tidakkah kita ini manusia yang memerhatikan?

-----
Artikel ditulis oleh Hilal Asyraf, novelis muda, laman web beliau - http://langitilahi.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...