Ummah Terus Dizalimi, PMIUSM Seru Mahasiswa Prihatin

Meneliti rentetan peristiwa yang berlaku di Syria, kekejaman dan kezaliman berlaku dengan mudah. Umat Islam di seluruh pelosok dunia kebanyakannya seolah-olah berpeluk tubuh daripada bertindak. Kacamata utopia umat Islam melihat kemenangan sukar dan mustahil untuk didapati. Sedang kita yang berkata ini tidak sedar, bahawa kita perlu bertindak.

Ucapan Tahniah dan Syabas Kepada Bakal Mahasiswa yang Mendapat Tawaran ke USM Sidang 2012/2013

Wahai sahabat-sahabat baru yang bakal menempuh alam kampus beberapa bulan lagi, ingatlah bahawa alam kampus ini penuh cabaran dan dugaan. Bagi yang berjaya membawa diri dengan baik, alhamdulillah, teruskan usaha sehingga ke gerbang jaya. Jangan jadikan kebebasan di alam kampus satu tiket untuk anda bersosial lantas melupakan matlamat untuk menuntut ilmu.

Peristiwa Nuzul Quran

17 RAMADHAN- merupakan suatu tarikh penting bagi kita sebagai umat islam kerana pada tarikh inilah berlakunya peristiwa Nuzul Quran.Peristiwa ini sentiasa menjadi iktibar kepada kita kerana dengan peristiwa inilah zaman Jahiliyyah disinari dengan cahaya , kesesatan diganti dengan kebenaran dan umat yang bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah yang Maha Esa.

Kenyataan Rasmi PMIUSM Berkenaan Hedonisme dalam Himpunan Jutaan Belia 2012

Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur tetapi haruslah mengikut batas-batas syariat yang telah ditetapkan. Amalan percampuran lelaki dan perempuan sambil menampilkan artis yang jelas sekali tidak menutup aurat malah melalaikan jiwa muda remaja adalah bercanggah sama sekali dalam syariat Islam.

Organisasi Pimpinan PMIUSM Sidang 2012/2013

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.” : Ali Imran, 104

Wednesday, June 29

SIRAH DAN IBRAH PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ [SIRI IV - AKHIR]


Ikhlas daripada PMIUSM
Tiada alasan untuk menolak hakikat peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w bersama-sama dengan roh dan jasadnya sekali kerana baginda telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah s.w.t. Sekalipun peristiwa Israk dan Mikraj itu adalah perkara luar biasa di sisi akal manusia tetapi bagi Allah s.w.t yang Maha Berkuasa, maka Dia boleh melakukan apa jua perkara yang dianggap pelik menjadi perkara biasa dan tiada yang mustahil bagi-Nya.

Sekiranya peristiwa Israk dan Mikraj itu sekadar mimpi Nabi Muhammad s.a.w pergi ke Bait al-Maqdis dan juga mimpi naik ke langit ketujuh, maka kaum musyrikin Makkah tidak akan marah dan mempersenda baginda kerana mimpi adalah perkara biasa bagi semua orang. Bilamana kafir Quraisy menentang habis-habisan dan berusaha mati-matian menyangkal peristiwa Israk dan Mikraj yang berlaku dengan roh dan juga jasad Nabi Muhammad s.a.w, hal ini bererti dengan sendirinya mereka mengakui bahawa baginda telah diIsrak dan diMikrajkan dengan roh dan jasadnya sekali. Oleh kerana mimpi bukanlah suatu yang luar biasa, ia tidak akan menyebabkan orang bersengketa mempertikaikan jika ada orang yang mendakwa sedemikian rupa.

Sekiranya Nabi Muhammad s.a.w itu sekadar mimpi naik ke langit sahaja maka tidak ada mustahaknya orang-orang kafir Quraisy mencabar baginda untuk membuktikan kebenaran ceritanya dengan menanyakan baginda berkenaan rupabentuk Masjid al-Aqsa serta jumlah pintu dan tiangnya dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan masjid tersebut.

Pertanyaan kafir Quraisy mengenai keadaan rupabentuk Masjid al-Aqsa dengan tujuan untuk memerangkap Nabi Muhammad s.a.w kerana mereka yakin seratus peratus bahawa baginda tidak pernah menjejakkan kaki ke Bait al-Maqdis. Sebaliknya apabila semua pertanyaan telah dijawab dengan betul maka mereka menjadi panik dan bingung. Mereka tahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w sebelum peristiwa ini sememangnya tidak pernah pergi ke Bait al-Maqdis tetapi mereka hairan bagaimana baginda boleh menjawab semua pertanyaan berhubung Masjid al-Aqsa itu dengan tepat. Mereka telah hilang punca dan mereka terpaksa membuat tuduhan bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang ahli sihir.

Sememangnya tiada dalam ingatan Nabi Muhamamd s.a.w tentang rupabentuk Masjid al-Aqsa kerana baginda sekadar dibawa singgah sebentar oleh Malaikat Jibril a.s untuk menunaikan solat dua rakaat. Walau bagaimanapun, Allah Taala tidak akan membiarkan Rasul-Nya terperangkap dalam percaturan jahat puak musyrikin Makkah yang cuba hendak memalukan baginda. Allah Taala mendatangkan Masjid al-Aqsa ke hadapan Nabi Muhammad s.a.w (dengan membuka hijab penglihatan baginda) ketika ingin menjawab soalan mereka. Justeru, Nabi Muhammad s.a.w dapat melihat Masjid al-Aqsa dengan jelas sehingga mudah untuk baginda menjawab semua pertanyaan puak musyrikin.

Orang kafir quraisy Makkah masih tidak mempercayai peristiwa itu, malahan memperolok-olokkan baginda sesetelahnya bercerita kepada mereka dan ramai di kalangan umat Islam ketika itu murtad kerana tidak mempercayai peristiwa Israk Mikraj baginda s.a.w dalam tempoh masa yang singkat berlakunya dan tidak masuk akal. Tinggallah segelintir umat Islam yang keimanan mereka tinggi dan teguh yang membenarkan serta mempercayai peristiwa yang dialami oleh baginda s.a.w.

Kesimpulannya, peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diulang siar setiap kali 27 Rejab menjelang tiba. Apa yang lebih penting adalah kita hendaklah menghayati ibrah (pengajaran) di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara sebaliknya. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah s.w.t dan takut akan kekuasaan-Nya.

Pensyariatan kefardhuan solat lima waktu sehari semalam merupakan pensyariatan secara langsung daripada Allah s.w.t kepada Rasulullah s.a.w berbanding pensyariatan Islam yang lain dengan perantaraan Malaikat Jibril a.s dan sebagainya. Pensyariatan solat secara langsung daripada Allah sekali gus mengangkat martabat dan nilai solat di sisi Allah. Solat adalah tiang agama, sesiapa mendirikan solat maka dia mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa meninggalkan solat bermakna meruntuhkan agama.

Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim ibarat sungai mengalir di depan rumah yang kita mandi lima kali sehari bagi membersihkan diri. Ini perumpamaan dibuat Rasulullah bagi menggambarkan kelebihan solat.

Peristiwa Israk dan Mikraj sebenarnya mengukuhkan kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, kini dan akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan serta keagungan Allah. Orang yang beriman akan terus beriman dan makin bertambah kukuhlah iman mereka. Manakala orang yang tidak beriman akan terus kufur bersama kekufuran mereka. Semuanya telah dibentangkan di depan mata.

Begitulah penghayatan menyeluruh seharusnya difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah Israk dan Mikraj. Ia bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadat secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji untuk meraih keredaan Ilahi serta kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat. Wallahua’lam.

||TAMAT||
 
Sumber: http://www.pmram.org/v2/ (Kitab Jam’ul-Fawaaid), http://buluh.iluvislam.com/, http://www.masjidnegara.gov.my/portal/, http://www.islamituindah.my/

SIRAH DAN IBRAH PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ [SIRI III]

Masjid Al-Aqsa, Palestin
Setibanya di Masjid Al-Aqsa, Rasulullah s.a.w turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan seluruh para nabi dan rasul untuk mengerjakan solat dua rakaat. Selepas itu, Rasulullah s.a.w terasa dahaga, lalu dibawa Malaikat Jibrail a.s dua gelas yang berisi arak dan susu. Baginda memilih susu lalu diminumnya. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Sepanjang perjalanan Mikraj Rasulullah s.a.w, baginda ditemani oleh Malaikat Jibrail a.s dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu ialah didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Baginda naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah):

Petala Langit, Sistem Suria
1. Langit Pertama: Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk iaitu penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa a.s dan Nabi Yahya a.s.

3. Langit Ketiga: Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s naik langit ketiga, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Yusuf a.s.

4. Langit Keempat: Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s naik langit keempat, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Idris a.s.

5. Langit Kelima: Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Harun a.s yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israel.

6. Langit Keenam: Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan para nabi. Seterusnya bertemu dengan Nabi Musa a.s. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s naik langit kelima, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah a.s yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur di hadapan beberapa kaumnya. Nabi Ibrahim a.s bersabda, “Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah umat yang terakhir dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu la haula wa la quwwata illa billah”. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim a.s bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu suhanallah, walhahamdulillah, wa la ilah illa allah, wallahu akbar, wa la haula wa la quwwata illa billahil ‘aliyyil azim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah s.a.w dan Malaikat Jibrail a.s masuk ke dalam Baitul Makmur dan mengerjakan solat (Baitul Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” pada dahan pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah s.a.w menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu. Antaranya, sungai air yang tidak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah; buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah; unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah s.a.w dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus menyusur ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik pennjaganya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini pada pucuk pokok Sidratul Muntaha. Rasulullah s.a.w masuk ke dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul Qudus dan Hadhrat Rabbul Arbab lalu dapat menyaksikan Allah s.w.t dengan mata kepala baginda, lantas sujud dan bermunajat kepada Allah s.w.t. Selesai munajat, maka Rasulullah s.a.w telah menerima perintah Allah Taala iaitu perintah melakukan ibadat solat untuk seluruh umatnya sebanyak 50 waktu sehari semalam.

Sebaik sahaja menerima perintah tersebut tanpa banyak bicara baginda dan Malaikat Jibril a.s bersiap sedia untuk turun ke bumi. Pada masa inilah baginda bertemu dengan Nabi Musa a.s yang bertanyakan hal itu kepada baginda. Setelah mendengar penjelasan Nabi Muhammad s.a.w maka Nabi Musa a.s berkata: “Kembalilah kepada Tuhanmu dan mintalah sedikit keringanan kerana bilangan tersebut tidak akan terdaya dilakukan oleh umatmu.”

Nabi Muhammad s.a.w dan Jibril kembali mengadap Allah Taala. Jumlah bilangan waktu solat telah dikurangkan kepada 40 waktu. Apabila berjumpa Nabi Musa a.s kemudiannya maka Nabi Musa a.s meminta baginda kembali menemui Tuhan untuk meminta dikurangkan lagi jumlah tersebut. Setelah beberapa kali Nabi Muhammad s.a.w berulang alik menemui Allah Taala dan pada akhirnya Allah Taala telah mengurangkan bilangan solat fardu tersebut menjadi 5 waktu sahaja.

Masjid Al-Haram, Makkah
Apabila kembali semula maka Nabi Musa a.s masih merasakan umat Nabi Muhammad s.a.w masih tidak terdaya untuk melakukannya dengan bilangan 5 waktu itu. Nabi Muhammad s.a.w menyatakan bahawa beliau tidak akan mengadap Allah Taala lagi untuk meminta-Nya mengurangkan bilangan solat itu kerana baginda merasa malu untuk berdepan dengan Allah Taala. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah s.w.t memperkenankan untuk memfardhu solat lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Setelah daripada itu, Rasulullah s.a.w turun ke langit dunia semula dan seterusnya turun ke Baitul Maqdis. Lalu menunggang Buraq untuk pulang ke Makkah Al-Mukarramah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini, baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi bukti peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu. Wallahu'alam.

||Bersambung ke siri akhir…||

Tuesday, June 28

SIRAH DAN IBRAH PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ [SIRI II]

Bulan Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram dalam kalendar Islam. Firman Allah s.w.t, mafhum-Nya:

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus…” (Surah At-Taubah, 9: 36)

Selain Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram, Rejab merupakan salah satu daripada bulan-bulan mulia, dimana diharamkan pertumpahan darah padanya. Juga sebagaimana bulan-bulan Islam yang lain, bulan Rejab dihiasi dengan ukiran peristiwa-peristiwa perjuangan Rasulullah dan umat Islam. Bulan Rejab menjadi saksi kepada  Hijrah pertama ke Habsyah, peristiwa Israk Mikraj, Perang Tabuk, pembukaan semula Baitul Maqdis oleh Salahuddin Al-Ayubi dan beberapa peristiwa yang lain.

Tanggal 27 Rejab setahun sebelum hijrah Rasulullah s.a.w ke Madinah Al-Munawwarah mencatatkan peristiwa penting dalam kerasulan baginda s.a.w iaitu perjalanan Israk Mikraj. Israk membawa pengertian perjalanan nabi Muhammad s.a.w pada malam hari dengan menuggang Buraq bermula dari Masjid Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis, Palestin. Firman Allah Taala bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah menperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjid al-Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin) yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah al-Isra’, 17: 1).

Manakala Mikraj membawa maksud naiknya nabi Muhammad s.a.w ke langit dari Masjid Al-Aqsa ke Sidratul Muntaha. Firman Allah Taala bermaksud:

“Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi di sisi "Sidratul-Muntaha" yang di sisinya terletak Syurga "Jannatul-Makwa". (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa "Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya) dan tidak pula melampaui batas. Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.”  (Surah an-Najm, 53: 13-18).

Kesimpulannya, peristiwa Israk Mikraj adalah sebagai satu perjalanan sepantas kelajuan cahaya (3.00×108 m s-1) Nabi Muhammad s.a.w pada malam hari di atas kehendak dan keizinan Allah Taala dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa dan kemudian naik ke langit sampai ke Sidrat al-Muntaha bahkan menembusi tujuh lapis langit lalu kembali semula ke Makkah pada malam yang sama.

Sepanjang perjalanan Israk Rasulullah s.a.w ditemani oleh Malaikat Jibrail a.s dan di antara peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang perjalanan itu:

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka, apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tetapi ditambah lagi kayu yang lain.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tetapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w tidak menghiraukannya.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke hari tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu.
Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

||Bersambung…||

SIRAH DAN IBRAH PERISTIWA ISRAK DAN MIKRAJ [SIRI I]

Hari ini ialah tanggal 26 Rejab 1432H dan malam ini setelah berlabuhnya senja menghampiri waktu Maghrib, maka satu lagi tarikh penting yang berlaku padanya sebuah peristiwa bersejarah dalam kalendar umat Islam. Mungkin ramai yang terlupa akannya jika dibandingkan dengan Maal Hijrah dan Maulidur Rasul yang sememangnya telah menjadi cuti umum di negara ini. Barangkali bagi sesetengah negeri yang mengumumkan hari 27 Rejab ini sebagai cuti umum, barulah kita tahu yang ianya hari Israk dan Mikraj. Peristiwa ini berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 daripada kerasulan Nabi Muhammad s.a.w menurut jumhur ulama.

Mungkin terdapat percanggahan pendapat dari sudut tarikh, namun, apa yang lebih penting adalah peristiwa ini benar-benar berlaku kepada Rasulullah s.a.w kerana ia ada dinyatakan oleh Al-Quran dan diceritakan sendiri oleh Rasulullah s.a.w dalam hadis baginda yang telah diriwayatkan oleh para ulama dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara peristiwa yang paling istimewa dan luar biasa dalam hidup baginda s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w telah menjadi undangan Allah s.w.t dari Makkah ke Baitul Maqdis dan seterusnya ke Sidratul Muntaha, baginda telah dimuliakan dengan pertemuan langsung dengan Allah s.w.t, pada tempat yang mana malaikat sendiri tidak dapat hadir.

Sungguhpun peristiwa luar biasa Israk dan Mikraj yang terjadi itu nampak mustahil untuk dijangkau oleh pemikiran manusia, namun selaku umat Islam, maka wajib bagi kita mempercayai dan meyakini bahawa Israk dan Mikraj yang ditempuhi serta dialami oleh Nabi Muhammad s.a.w adalah benar dan berlaku dengan roh dan jasadnya sekali. Imam Nawawi menyatakan bahawa perkara sebenar yang telah disepakati para ulama dan begitu juga para sahabat bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah diIsrak dan diMikrajkan oleh Allah Taala dengan roh dan jasadnya sekali.

Israk dan Mikraj adalah dua peristiwa yang amat besar dan luar biasa yang dialami oleh Nabi Muhammad S.A.W. dan dianggap sebagai satu penganugerahan yang tinggi nilainya dari segi kerohanian. Kedua-dua peristiwa itu adalah kurnia Allah Taala kepada baginda untuk memperlihatkan tanda-tanda keagungan dan kekuasaanNya. Segala-galanya boleh berlaku dengan kehendak dan kekuasaan Allah Taala selaku Pencipta dan Pentadbir alam semesta. Firman Allah s.w.t, mafhum-Nya:

“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Al-Isra’,17: 1)

Luka kehilangan Abi Talib dan Khadijah masih merah di hati, tatkala Rasulallah dengan penuh harapan memilih untuk berdakwah ke Thoif. Alangkah sedihnya hati tatkala menerima layanan yang tidak berperikemanusiaan oleh penduduk Thoif. Betapa jelasnya Rasulullah s.a.w akan tugas yang dipikulnya. Beliau hanya penyampai dan Allah jualah pemberi hidayah. Para malaikat dan seluruh alam berkongsi kesedihan Rasulullah s.a.w, sehinggakan malaikat menawarkan untuk membinasakan penduduk Thoif.

Inilah suasana berlakunya peristiwa Isra dan Mikraj. Tatkala muslimin bersedih dan tertanya-tanya adakah masih ada sinar harapan untuk dakwah ini. Allah telah memilih masa yang paling sesuai untuk menyeru kekasih-Nya. Pertemuan dengan Allah s.w.t telah mengubati kesedihan Rasulullah s.a.w. dan memberi semangat baru kepada baginda.

Umat Islam telah dihadiahkan dengan kewajipan menunaikan solat lima waktu sehari semalam. Allah berfirman dalam Surah An-Nisa ayat 103 yang bermaksud: “… Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” Kewajipan utama yang bakal menjadi rahsia perpaduan dan kekuatan ummat Islam. Betapa pentingnya solat sehinggakan Rasulullah s.a.w sendiri naik ke langit untuk menerimanya, dan bukan melalui perantaraan Jibril seperti kewajipan-kewajipan yang lain.

Peristiwa Israk dan Mikraj juga menjadi petanda bahawa Islam akan menerajui tampuk pemerintahan dunia satu masa nanti. Dengan menyebut Masjidilharam dalam ayat pertama surah Al-Isra’, Allah telah menjanjikan Makkah untuk muslimin, sedangkan Kaabah ketika itu dipenuhi berhala. Perjalanan Rasulullah s.a.w yang aman dari Makkah ke Palestin juga menjadi tanda bahawa Islam akan menguasai tanah diantara kedua-duanya. Perjalanan Rasulullah s.a.w ke Baitul Maqdis menjadi petanda akan kepentingan dan ketuanan bumi Palestin kepada umat Islam. Bumi yang menjadi rebutan dan sentiasa bergelojak ini akan hanya aman apabila orang-orang Islam kembali memerintahnya.

||Bersambung...||

WANITA, KITA INI PERMATA


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum.

Kita insan terpilih
Disebut dalam al-Quran dengan mulia
Jagailah peluang itu sebaiknya.

ALHAMDULILLAH. Mari kita ucapkan kalimah syukur ini berkali-kali, biar ia bergema di dalam hati. Bersyukur kerana satu rahmat besar diizin-Nya turun pada kita iaitu dilahirkan sebagai insan beragama Islam. Islam adalah agama yang sebenar-benarnya. Bukan agama berasaskan nenek moyang yang diwarisi secara turun-temurun, tetapi lahir dalam agama ini adalah rahmat. Ingatlah bahawa meneruskan agama ini adalah kemuliaan. Memupuk agama ini di dalam jiwa adalah jihad paling besar.
                         
Kita seorang perempuan. Kita juga beragama Islam. Maka kita semestinya seorang muslimah. Tetapi, penulis yakin pasti ada yang membantah. Katanya, aku tidak warak jadi tidak layak digelar muslimah. Eh, jangan begitu wahai insan bergelar wanita. Muslimah itu perkataan Arab. Maksudnya tidak lain tidak bukan, perempuan beragama Islam. Oleh itu, perkataan muslimah ini tiada kaitan pun dengan warak atau tidak warak. Yang membezakan ialah perkataan mukminah. Mukminah ini maksudnya perempuan yang beriman dan warak. Sesungguhnya, watak mukminah inilah yang belum layak disandang oleh ramai perempuan. 

Penulis menyatakan seperti ini tidak bererti penulis adalah wanita mukminah kerana penulis sedar bukan mudah untuk mencapai tahap mukminah. Namun, sebagai hamba Allah, kita mestilah saling berpesan-pesan yang mana akan memberi kesedaran kepada insan sekeliling kita dan diri kita sendiri.

Wahai kaum hawa, wahai insan bergelar wanita…

Kita ini dilahirkan istimewa. Jangan sesekali kita merasakan kita ini insan yang lemah. Jangan sesekali kita merendahkan martabat kita. Sedarlah, kita mempunyai pelbagai keistimewaan yang mana jika dipelihara dengan rapi, pastinya kita akan bahagia.

Penulis selalu berfikir dengan suasana pada zaman sekarang yang amat menakutkan. Penulis bukanlah insan yang sempurna, juga tidak lari daripada kesalahan. Namun, penulis bimbang  melihat keadaan remaja-remaja perempuan di luar sana. Pergaulan bebas, seks bebas dan hiburan terlampau kini dipandang bagaikan syurga. Aneh. Semua itu tampak indah padahal disebaliknya menunjukkan tanda-tanda kehancuran. Betapa nafsu menghiaskan semua jenis hiburan yang sedang dinikmati ini hingga ia bagaikan kemestian yang wajib dinikmati oleh gadis di usia remaja.

Sedarlah, fitrah kita tidak begitu. Kita dilahirkan sebagai seorang muslimah, berfitrah suci dan berjiwa murni. Kita berhak menikmati  jalan Islam yang  terbentang  luas berbanding jalan nafsu yang sempit dihujungnya. Penulis akui, bukan mudah menjadi baik. Menjadi baik memerlukan pengorbanan. Tetapi tidak mengapa, jangan berputus asa. Percayalah setiap kebaikan yang kita lakukan, pasti akan ada balasan kebaikan juga yang akan kita peroleh. Pokok pangkalnya, kita yang bergelar gadis, wanita, mestilah tabah dan kuat menghadapi pelbagai cabaran diluar sana. Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan-hasutan yang boleh menghancurkan kita. Ingatlah wahai insan bergelar wanita, kita ini permata. Permata yang jika dijaga rapi pasti tidak akan rosak. Permata yang pastinya menjadi rebutan ramai jika dijaga dengan baik. Jangan sesekali berputus asa.

Oleh hal yang demikian, jagalah diri. Bentenglah diri. Jangan sesekali rendahkan martabatmu, wahai wanita. Dirimu terlalu berharga. Percayalah Allah sentiasa bersamamu. Walau seperit mana ujian datang, jangan sesekali berputus-asa. Serahkan hatimu pada yang Esa. Tidak rugi, percayalah.

Akhir sekali, dalam apa jua keadaanmu, berjalanlah mendekati Allah, pasti Allah ‘berlari’ mendekatimu. Jagalah Allah dalam setiap masa, pasti Allah menjagamu setiap masa. Ingatlah Allah begitu hampir denganmu. Hayatilah Islam kerana Islam itu indah.  Penulis sayangkan anda yang bergelar wanita dan gadis. Penulis  cuma insan biasa yang ingin mengajak anda semua dan diri penulis juga.

Wallahu’alam.

Penulis adalah:
Nurul 'Atiqah binti Mohd Arif
Pengerusi Hal Ehwal Siswi (HELWI)
Persatuan Mahasiswa Islam USM
Sidang Akademik 2011/2012


Monday, June 27

PMIUSM UCAP TAHNIAH KEPADA QARIAH CILIK MALAYSIA

PMIUSM mengucapkan sekalung tahniah buat adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi,12, kerana telah terpilih sebagai wakil tunggal Malaysia ke Majlis Tilawah Al-Quran Kanak-kanak Peringkat Antarabangsa di Qatar. Beliau yang terpilih di antara tiga peserta ke peringkat akhir pertandingan itu yang akan berlangsung pada bulan Ramadan ini.

Bapanya Nurunnajmi Yaacob, 40, memberitahu bahawa Nurussyahamah Taqiah melepasi pemilihan di peringkat awal yang berlangsung di Doha pada 22 Jun lalu yang turut disertai 63 kanak-kanak lain dari seluruh dunia. Beliau berkata anaknya akan ke Doha lagi Ramadan nanti bagi menyertai peringkat akhir dengan dua lagi peserta yang tidak dinyatakan dari negara mana.

Nurussyahamah Taqiah merupakan pelajar Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh, Terengganu, ditemani bapanya, yang merupakan guru di Sekolah Kebangsaan Seri Payong, Hulu Besut, untuk menyertai pertandingan anjuran Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dan saluran kanak-kanak stesen televisyen, Al-Jazeera.

Pemilihan Nurussyahamah Taqiah itu merupakan satu kejayaan selepas dia lulus dua ujian saringan yang diadakan oleh kerajaan Qatar sebelum ini melibatkan 4,000 kanak-kanak dari seluruh dunia, 49 daripadanya dari Malaysia. Sebelum berjaya ke Doha, Nurussyahamah Taqiah menjalani saringan pertama pada Februari lalu bersama 49 kanak-kanak dari seluruh negara, dan terpilih antara tiga yang berjaya melepasi ujian berkenaan. Beliau menjalani sekali lagi ujian dalam bulan April lalu dan dipilih mewakili negara bersama 63 kanak-kanak lain dari seluruh dunia.

Sebagai persediaan ke peringkat akhir itu nanti, Nurunnajmi dan isterinya, Sauzan Ibrahim, tenaga pengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, membawa anaknya itu berguru dengan johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa 1999 Che Yahya Che Daud dari Bachok, Kelantan.

Nurussyahamah Taqiah pernah menjadi johan membaca Al-Quran J-Qaf peringkat negeri pada tahun 2007 dan 2008 serta tiga kali mewakili Terengganu ke pertandingan peringkat kebangsaan sekolah-sekolah Malaysia dan pernah menjadi naib johan.

Justeru, PMIUSM mendoakan kejayaan adik Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi di dalam pertandingan tersebut Ogos ini. Semoga lebih ramai permata-permata Generasi Al-Quran lahir dari bumi Malaysia tercinta ini. "We Love, We Care".

Sumber berita: http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/index.php

Sunday, June 26

GELARAN BAGI SI MATI

Gelaran bagi si mati, seperti Allahyarham, Almarhum dan sebagainya, merupakan gelaran-gelaran yang sangat sinonim dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Terdapat juga beberapa gelaran lain yang kita gunakan ke atas para ulama', seperti asy-syahid, al-hafiz dan sebagainya.



01. Allahyarham vs Allahyarhamah

Merupakan sebaik-baik gelaran yang kita gunakan. Allahyarham bermaksud 'Allah merahmatinya', atau secara teknikalnya, 'mudah-mudahan Allah merahmati rohnya'.

Adapun gelaran 'Allahyarhamah', maka ia merupakan gelaran yang penulis dapati amat lucu sekali. Ini kerana perkataan Allahyarham itu adalah kata kerja, maka mana mungkin kata kerja kita berikan sifat lelaki dan wanita?

Dengan mengatakan Allahyarhamah, samalah seperti kita mengatakan 'muhammad menulis', dan 'Aisyah menulisah'. Atau 'Ali pergi ke kedai', dan 'Fatimah pergiah ke kedai'.

02. Al-marhum

Merupakan gelaran yang tidak berapa sesuai kita gunakan ke atas si mati. Ini kerana, al-marhum bermaksud 'dia telah mendapat rahmat Allah', atau secara teknikalnya 'secara pasti Allah telah merahmatinya', sedangkan hak mutlak untuk merahmati atau menyeksa seseorang insan bukanlah hak kita. Itu adalah hak Allah semata-mata, jika Dia hendak merahmatinya, Dia akan merahmatinya, dan jika Dia berkehendak untuk menyeksanya, Dia akan menyeksanya sebagaimana yang Dia Mahu. Kerana itu penulis katakan, gelaran Allahyarham adalah yang terbaik, kerana ini merupakan doa kita, 'mudah-mudahan Allah akan merahmatinya'.

Perlu diingatkan juga, gelaran ini merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh golongan ahli hadis. Adapun gelaran yang menunjukkan seseorang itu secara pasti mendapat rahmat, hanyalah gelaran yang kita guna pakai ke atas:
  1. Para rasul
  2. Sahabat Rasulullah S.A.W.
03. Arwah

Seperti kita selalu gunakan, 'arwah aki', 'arwah atuk' dan sebagainya. Penulis ingin nyatakan di sini, bahawa perkataan arwah itu merupakan kata jama', atau plural bagi 'roh'. Maka bila kita katakan 'arwah aki', bermaksud 'roh-roh aki'. Jelas itu tidaklah bertepatan dengan maksud yang ingin kita gunakan.

04. Asy-Syahid

Gelaran yang kerap kita gunakan ke atas para ulama' yang kita anggap mati syahid di jalan Allah. Seperti penulis nyatakan di atas, gelaran yang berupa bentuk 'secara pasti' ini, di dalam ertikata ini, 'secara pasti dia telah mati syahid', merupakan gelaran yang tidak berapa disukai oleh para ahli hadis.

Ini kerana, memang betul kita mengharapkan beliau mati syahid namun untuk mengatakan secara pasti dia mati syahid, itu bukanlah hak kita. Malah, itu adalah hak Allah semata-mata.

Walaupun pada mata kasar kita dia mati syahid, namun isi hatinya yang sebenar di saat kematiannya dan juga niatnya ketika mati merupakan pengetahuan Allah semata-mata, tiada seorang pun dalam kalangan makhluk-Nya yang mengetahui secara mutlak akan isi hati makhluk yang lain.

Menurut penulis, gelaran yang terbaik ialah Allahyarham, sama jugalah dalam kes tadi.

05. Rahimahullahu taa'la

Seperti selalu kita gunakan 'Imam Abu Hanifah rahimahullah', 'Imam Malik rahimahullah', dan seterusnya. Gelaran ini merupakan setaraf dengan Allahyarham, cuma didatangkan di dalam bentuk perkataan yang lain sedikit. Ertinya juga sama, iaitu 'Allah merahmatinya', atau teknikalnya 'mudah-mudahan Allah merahmatinya'.

06. 'Alaihis salaam

Merupakan gelaran khas bagi para Nabi dan Rasul, dan gelaran ini bermaksud 'kesejahteraan ke atasnya'. Ini merupakan pegangan ahli sunnah wal jamaah, apabila menyebut mana-mana Nabi dan Rasul, kita sertakan dengan ungkapan alaihissalam.

Adapun puak Syiah Imamiah akan menyebut perkataan ini setiap kali menyebut nama imam-imam mereka, seperti Ja'far As-Saadiq alaihissalaam dan sebagainya. Ini kerana, mereka menganggap imam-imam mereka bersifat maksum, yang mana pegangan ini bercanggah dengan al-Quran dan sunnah yang sahih.

07. Radiyallahu 'anhu

Gelaran yang khas kita gunakan kepada para sahabat baginda Rasulullah S.A.W. Gelaran ini bermaksud 'Allah telah redha kepada mereka (untuk mereka masuk Syurga)', atau dengan kata lain, syurga itu merupakan janji Allah kepada mereka, di atas keimanan dan pertolongan mereka ke atas Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W.

08. Al-Hafiz

Ini bukanlah gelaran yang digunakan bagi si mati, cuma penulis memasukkan di sini untuk menilai serba-sedikit konteks penggunaannya.

Dalam masyarakat kita, al-hafiz digunakan bagi mereka yang menghafal al-Quran secara keseluruhannya. Penggunaan ini tidaklah salah kerana dapat memberi kefahaman kepada orang ramai.

Tetapi hakikatnya, al-hafiz merupakan gelaran bagi mereka yang menghafal 300,000 hadis berserta sanadnya, seperti Imam Bukhari, Muslim, Ibnu Katsir, Ibnu Hajar dan lain-lain. Ini merupakan penggunaan gelaran al-hafiz yang tepat seperti terkandung di dalam buku-buku akademik.

Sesungguhnya gelaran-gelaran yang kita gunakan ini, mempunyai maksud-maksud yang tersendiri, yang mana jika kita lihat secara teliti, terdapat unsur aqidah di dalamnya.

Seperti juga di dalam penggunaan 'almarhum', berkait rapat dengan hak Allah, dan juga batas hak kita sebagai makhluk dalam menentukan siapakah yang mendapat rahmat, dan siapa pula yang mendapat azab seksa Allah.

Mudah-mudahan selepas ini, kita akan menggunakan gelaran yang berpatutan kepada si mati. Kerana gelaran yang patut itu, bukan sahaja sesuai dengan aqidah Muslim kita, malahan ianya juga merupakan doa yang baik bagi si mati, terutamanya mereka yang kita kasihi.

Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Wallahua'lam...

Oleh: Ustaz Mohd Azri bin Mohd Nasaruddin
sumber asal: http://www.iluvislam.com/tazkirah/dakwah/2564.html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...