![]() |
| Profesor Adnan Hussein, TNC HEPP baru USM |
Persatuan Mahasiswa Islam USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Profesor Adnan Hussein yang baru dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia pada 12 Disember yang lalu. Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM ini dilantik sebagai TNC HEPP USM selama tiga tahun bermula 1 Disember 2011 sehingga 30 November 2014. Jawatan Timbalan Naib Canselor (HEPP) USM kosong sejak 28 September lalu apabila Profesor Dato’ Omar Osman dilantik sebagai Naib Canselor USM.
Mengenai latar belakang akademik beliau, Profesor Adnan berasal dari Kota Bharu mendapat ijazah pertama dalam bidang Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1986 sebelum melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dengan memperolehi M.Sc. (Journalism and Mass Communication), Iowa State University (1989) dan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) (Communication) dari University of Utah (1994).
Ditanya oleh pihak Berita USM tentang perasaannya setelah menerima watikah pelantikannya dari Dato’ Seri Mohd. Khaled Noordin, Menteri Pengajian Tinggi di Putrajaya, Prof. Adnan berkata, beliau menerima tanggungjawab dengan penuh kesedaran terhadap amanah besar yang dipikulnya.
“Terdapat banyak cabaran yang ada sekarang ini dalam persekitaran universiti yang banyak berubah dan berbeza sekarang ini yang memerlukan kita melihat semula peranan universiti dan siswa-siswi seluruhnya bagi memastikan keberkesanan usaha yang dilakukan,”
Tambahnya lagi, universiti perlu melibatkan seramai mungkin mahasiswa-mahasiswi agar dapat mengoptimumkan hasil dalam usaha yang dilakukan oleh universiti selain daripada pembangunan akademik yang sememangnya telah sedia diambil perhatian utama selama ini.
“Saya ingin berusaha untuk memastikan siswa-siswi kita dapat kemahiran insaniah (soft-skill) yang diperlukan untuk membolehkan mereka berjaya pada masa depan,”
Prof. Adnan pernah menjadi guru pada tahun 1980-1982 sebelum menjadi pensyarah di USM pada tahun 1994 dan dilantik sebagai Profesor Madya pada tahun 2002 sebelum kemudiannya dilantik sebagai Profesor mulai Julai 2011. Prof. Adnan Hussein dilantik sebagai Dekan Pusat Pengajian Komunikasi pada Mac 2007.
Prof. Adnan bin Hussein juga adalah seorang pemimpin mahasiswa yang aktif di zaman pengajiannya. Beliau adalah Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa (Umum) UKM, 1984-85, Ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa (Fakulti) UKM, 1983-84, Presiden Persatuan Mahasiswa Komunikasi UKM, 1983-84, Pengerusi Kelab Bolasepak UKM, 1983-84, Kapten Pasukan Bolasepak UKM, 1983-84, wakil Pasukan Bolasepak UKM, 1982-1986, Pengerusi Kumpulan Teater UKM, 1984-85, Presiden Malaysian Student Association, University of Utah, 1991-92 dan Setiausaha Agung Islamic Student Organisation, University of Utah, 1990-91.
Semoga dengan perlantikan ini, USM akan melalui transformasi pengajian tinggi dan peningkatan prestasi ke tahap yang lebih cemerlang sebagai universiti bertaraf dunia. PMIUSM mendoakan kejayaan Prof. Adnan Hussein dalam mengemudi mahasiswa-mahasisiwi ke arah kekuatan rohani, jasmani dan intelek. Insha-Allah.





0 Pandangan Sahabat:
Post a Comment