Saturday, December 24

TAHNIAH KEPADA PENERIMA PENGHARGAAN KHAS ANUGERAH MAAL HIJRAH USM 1433


Persatuan Mahasiswa Islam USM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada saudara Musmuliadi bin Kamaruding, 22 yang telah disenaraikan sebagai salah seorang penerima Penghargaan Khas Anugerah Maal Hijrah yang diadakan pada 21 Disember 2011.

Anugerah ini disampaikan oleh Yang Berbahagia Prof. Dato' Omar Osman dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1433H peringkat Universiti Sains Malaysia. Majlis yang diadakan di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia ini dirasmikan oleh oleh TYT Tun Dato' Sri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman Hj. Abbas, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang.

Musmuliadi Kamaruding, HBP/3
Sebanyak tiga kategori di anugerahkan pada kali ini iaitu Penghargaan Khas Anugerah Maal Hijrah, Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah dan Anugerah Tokoh Maal Hijrah. Seramai 21 orang telah dipilih menerima Penghargaan Khas Anugerah Maal Hijrah,manakala bagi Anugerah Kecemerlangan Maal Hijrah dengan memperlihatkan tiga kategori iaitu Sokongan, Akademik dan Pengurusan serta Profesional, seramai 20 orang.
Ditanya mengenai perasaan beliau, Musmuliadi melahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT selepas dimaklumkan terpilih sebagai salah seorang penerima Penghargaan Khas Anugerah Maal Hijrah. “Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Allah sentiasa bersama dengan kita. Terima kasih buat ibu bapa yang banyak mendidik dan sahabat-sahabat sekalian yang banyak membantu”, katanya.

Beliau diwakili oleh Ustaz Mohd Razen bin Rosely untuk menerima anugerah ini kerana beliau kini berada di negeri  kelahiran, Sabah. Anak muda yang bergiat aktif ini  merupakan Exco Pembangunan Insaniah Majlis Perwakilan Pelajar USM sidang 2010/2011, yang juga mantan Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepemimpinan Persatuan Mahasiswa Islam USM 2010/2011. Selain itu, beliau juga pernah menyandang jawatan Exco Sukan Perkumpulan Siswa-Siswi Sabah 2010/2011 dan Exco Kerohanian Kor Sukarelawan Polis USM 2010/2011.

Beliau menambah, “Ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama dengan kita. Semua yg dilakukan haruslah diniatkan kerana Allah SWT. Tegurlah dan peringatkanlah diri ini jika melakukan kesalahan dan kesilapan”. Beliau menerima sijil penghargaan, sebuah jam tangan dan wang bernilai RM 500.00.

Pada sambutan itu, Tun Dato' Sri Utama (Dr.) Hj. Abdul Rahman Hj. Abbas berkenan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah 1433H Universiti Sains Malaysia kepada Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary juga mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia. Persatuan Mahasiswa Islam 2011/2012 mengucapkan setinggi tahniah buat Prof Dzulkifli Abdul Razak.

Tahniah juga ditujukan kepada Musmuliadi bin Kamaruding di atas penganugerahan ini. Semoga beliau tetap istiqomah di dalam perjuangan beliau dan menjadi contoh tauladan kepada mahasiswa-mahasiswi yang lain untuk terus bergerak mencipta kejayaan.


0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...