LAMAN UTAMA

Sunday, December 18

SEMURNI JALINAN UKHUWAH PMIUSM & RMUTP



Tanggal 17 Disember 2011, sebuah kunjungan bersejarah yang diterima oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) daripada barisan pimpinan dan ahli Rakan Masjid Universiti Teknologi Petronas (RMUTP) telah memberi satu suntikan semangat dalam kerjasama dakwah dan tarbiyah dengan perkongsian yang dilakukan di antara kedua-dua buah gerakan mahasiswa Islam kampus.

Program yang berlangsung selama setengah hari ini menjadi wadah kepada para pimpinan PMIUSM dan RMUTP berkongsi tentang perancangan aktiviti dan pengurusan organisasi di samping berkongsi kaedah terbaik dalam menyelesaikan masalah yang wujud sama ada di dalam organisasi sendiri dan juga lajnah-lajnah. Walau masa agak terhad, namun masa yang ada dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pimpinan PMIUSM dan RMUTP agar dapat memberi impak yang maksimum terhadap pengurusan organisasi serta strategi penyebaran dakwahdan islah di dalam kampus masing-masing. 

Selesai sesi diskusi dan perkongsian, pimpinan PMIUSM serta pimpinan dan ahli RMUTP berkesempatan melawat tapak Karnival BioP Town 2.4 yang diadakan di Padang Kawad, sebelum berangkat pulang. Delegasi kepimpinan RMUTP yang ke-12 yang diketuai oleh Presiden, Saudara Mohamad Hafizi bin Zakria memuji keindahan landskap dan fasiliti di USM berikutan lawatan ringkas di sekitar kampus USM induk.

Selain itu, PMIUSM sidang 2011/2012 melalui Yang Di-Pertua, Saudara Nor Azam bin Mohamad Tamjis meraikan ziarah bermakna daripada RMUTP yang merupakan entiti besar gerakan mahasiswa Islam di Universiti Teknologi Petronas. Diharapkan pertemuan ini, memberi ruang lingkup pemikiran yang berbeza di mana sesebuah agensi Islam itu tidak boleh hanya memandang dari satu sudut yang sama di dalam pengurusan organisasi dan strategi penyebaran dakwah, tetapi mencari pelbagai alternatif, skema dan modul terkini yang menepati kehendak masyarakat kampus.

Walau pertemuan ini singkat, semoga ukhuwah yang dibina tidak terhenti sampai di sini. Di harapkan ilmu yang telah dikongsi berfungsi sebagai pemangkin paksi dakwah yang bakal memacu jihad di jalan Allah. InsyaAllah. Sayidina Ali pernah berpesan,"kebatilan yang terancang boleh mengalahkan kebenaran yang tidak terancang."

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Arkib

Islam Syumul | | We Love, We Care