![]() |
| Tuanku Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah |
Persatuan Mahasiswa Islam Malaysia Universiti Sains Malaysia merakamkan sembah tahniah dengan penuh takzimnya kepada Tuanku Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atas perlantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke 14 yang baru berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.
Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya bersetuju mengisytiharkan Sultan Abdul Halim sebagai Yang Di-Pertuan Agong yang mana turut mencatat sejarah baru iaitu menjadi Yang Di-Pertuan Agong buat kali yang kedua dalam sejarah pemerintahan baginda. Kali pertama baginda menaiki takhta ialah pada tahun 1970 sehingga ke tahun 1975 iaitu sebagai Yang di-Pertuan Agong yang kelima.
Sultan Abdul Halim diputerakan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, Kedah. Baginda menaiki takhta pada 14 Julai 1958 selepas kemangkatan ayahanda baginda Sultan Badlishah. Lulusan Wadham College Oxford United Kingdom dengan ijazah Sains Sosial dan Pentadbiran Awam, baginda pernah menyertai Perkhidmatan Awam Negeri Kedah dalam tahun 1950an.
Sementara itu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan akhbar dari Jabatan Perdana Menteri. Sultan Muhammad V, 42, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 Sept 2010. Canselor Universiti Malaysia Kelantan itu diputerakan di Kota Baharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969.
Semoga Tuanku Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah dilanjutkan usia dan diberikan kesihatan untuk menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-14. Menjunjung kasih juga PMIUSM persembahkan kepada Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin di atas khidmatnya sebagai DYMM Yang Di-Pertuan Agong ke-13 sejak tahun 2006 sehingga tahun 2011. Semoga Allah memberkati usia Tuanku. Daulat Tuanku.





0 Pandangan Sahabat:
Post a Comment