Persatuan Mahasiswa Islam USM merasa masih belum terlambat untuk pihak PMIUSM mengecam penerbitan video “Musim Hudud” dan “Lagi Hudud Pas” yang hangat diperkatakan dan ianya disiarkan di laman YouTube. Video-video tersebut secara terang-terangan memperlekehkan serta mempermain-mainkan hukum hudud. Umum sepatutnya mengetahui bahawa hukum hudud adalah suatu ketetapan daripada Allah s.w.t dan ianya bukan suatu ketetapan milik mana-mana individu mahupun parti politik. Dalam Surah Al-Baqarah ayat 229 Allah berfirman mafhumnya:
“… yang demikian itu batasan-batasan (hudud) Allah, maka janganlah kamu melampauinya. Dan barangsiapa melampaui (melanggar) batas-batas Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang berbuat kezaliman”
Kami berpendirian video ini merupakan sebuah jenayah terhadap hukum Allah. Meremehkan hukum Allah merupakan satu jenayah terhadap agama. Selain itu, pihak penerbitan “Sembang Rakyat” ini juga telah memberi gambaran yang buruk mengenai syariat Islam kepada orang-orang bukan Islam. Malah, kekeliruan dalam kalangan orang Islam juga akan timbul terutama Muslim yang masih belum jelas tentang pensyariatan hudud. Berbeza pandangan politik bukanlah suatu menjadi masalah. Namun, jangan sesekali hukum Allah dipertikaikan kerana kejahilan dan kurang ilmu terhadapnya.
Justeru, pihak kami mendesak semua yang terlibat dalam pembikinan video-video tersebut memohon maaf secara terbuka dan menyarankan mereka bertaubatlah kembali kepada Allah. Hal ini kerana, menghina dan mempermain-mainkan hukum Allah adalah sesuatu yang membawa kepada kekufuran. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 44 dan 46, mafhumnya:
“… dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim… (44) … dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” (46)
Tiada jalan lain yang lebih baik bagi penulis skrip, pelakon dan seluruh krew penerbitan video tersebut selain memohon maaf secara terbuka kerana tindakan mereka yang menimbulkan kemarahan umat Islam dan bertaubat kerana mempersendakan hukum Allah.
Pihak PMIUSM juga memuji tindakan Solidariti Muslim Prihatin yang menyiarkan sebuah video untuk melakukan pemurnian semula terhadap hukum hudud yang bertajuk “Oley!”. Semoga dengan pemurnian tersebut, masyarakat Malaysia amnya dan mahasiswa khususnya memahami pensyariatan hukuman hudud tersebut. Semoga segala persepsi negatif yang ditaburkan mencapai respon positif daripada segenap lapisan masyarakat.

6:50 PM
PMIUSM


Posted in:





0 Pandangan Sahabat:
Post a Comment