Saturday, December 24

MENGAPA UMAT ISLAM MASIH SANGSI DENGAN HUKUM HUDUD?

         Pandangan Mahasiswa/i Universiti Sains Malaysia tentang Hudud


Baru-baru ini, kita digemparkan dengan dua buah video yang berkisarkan “Sembang Rakyat” di laman YouTube secara terang-terangan menghina hukum hudud. Saya mengecam dan amat kesal di atas sikap pihak yang sanggup merendah-rendahkan hukum Allah hanya kerana perbezaan pandangan politik. Persoalannya, mengapakah mereka tidak mengkaji terlebih dahulu mengenai hukum hudud yang jelas datangnya daripada Allah s.w.t melalui kitab suci Al-Quran? Bagaimanakah perlaksanaannya? Dan sudah pasti apa yang Allah tetapkan kepada hamba-hamba-Nya pasti tersirat berbagai hikmah yang memberi kemaslahatan kepada umat manusia.
            Agama Islam sememangnya sebuah agama yang menyeluruh dalam pelbagai sudut kehidupan insan. Oleh itu, dari aspek perundangan Islam, terdapat tiga jenis hukuman dalam kesalahan jenayah yang dilakukan oleh seseorang Muslim. Antaranya ialah hukuman hudud, qisas (bunuh balas) dan takzir. Segala hukuman ini termaktub dalam kitab suci Al-Quran yang datangnya daripada Pencipta alam semesta ini iaitu Allah s.w.t. serta direkodkan dalam hadis-hadis sahih Nabi Muhammad s.a.w.


Jenayah yang Disabitkan Hukum Hudud

            Antara kesalahan atau jenayah yang dikenakan hukuman hudud ialah berzina, menuduh seseorang melakukan perbuatan zina, meminum minuman keras atau arak, mencuri, merompak, melakukan pemberontakan dan keluar daripada agama Islam atau murtad. Setiap jenayah yang dilakukan seseorang penjenayah perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan sebelum disabit dengan hukuman hudud yang diperjelas di bawah. Justeru, Islam bersifat rasional dan tidak bertindak terburu-buru dalam menjatuhkan hukuman kepada ummatnya.

Hukuman Hudud yang Dijatuhkan bagi Setiap Kesalahan

            Bagi pesalah yang melakukan kesalahan zina, pesalah akan dikenakan hukuman 100 kali sebatan bagi yang belum berkahwin, manakala bagi yang telah berkahwin dikenakan hukuman rejam dengan tanah keras yang digumpal sehinggalah pesalah meninggal dunia. Seterusnya, bagi kesalahan menuduh seseorang yang baik berzina, pesalah akan disabitkan dengan hukuman 80 kali sebatan dan tidak dibenarkan daripada menjadi saksi selama-lamanya. Manakala, Islam telah menetapkan hukuman 40 kali sebatan bagi peminum arak yang meminumnya di hadapan dua orang saksi lelaki atau peminum mengakui perbuatannya itu.
Selain itu, Islam menggariskan hukuman kepada pencuri ialah memotong tangannya yang mempunyai syarat-syarat spesifik sebelum ia dikenakan hukuman. Dengan syarat-syarat yang ditetapkan, tidaklah secara semberono Islam menjatuhkan hukuman sedemikian kepada umatnya. Manakala, bagi perompak pula cara hukum hudud yang diimplementasikan ialah sekiranya rompakannya itu sampai ke tahap membunuh, hendaklah perompak dibunuh dan jika hanya merompak sahaja hendaklah dipotong  tangan dan kakinya secara bersilang iaitu tangan kanan dan kaki kiri dan seterusnya kaki kanan dan tangan kiri bagi kesalahan yang berlaku seterusnya. Sekiranya hanya menganggu ketenteraman awam hendaklah dipenjara.
Islam juga tidak memandang remeh isu keluar daripada agama Islam atau murtad. Hal ini kerana ia berkait rapat dengan pegangan akidah seseorang. Sekiranya seseorang itu murtad, maka perlu dijalankan hukuman bunuh ke atasnya kerana orang yang murtad itu telah mengakui secara terang-terangan bahawa dia telah berpaling tadah daripada agama Islam setelah diberi tempoh untuk bertaubat kepada Allah sebanyak tiga kali atau tiga bulan.
Akhir sekali, kesalahan yang disabitkan hukuman hudud kepada pemberontak kepada kerajaan Islam yang taat kepada perintah Allah dan Rasul-Nya hendaklah diperangi mereka dengan membunuh. Pemberontak yang dimaksudkan ini adalah orang-orang yang melakukan kerosakan harta benda awam dan membunuh orang yang tidak bersalah. Segala yang telah ditetapkan hukuman dalam Islam ini bukan rekaan manusia semata-mata tetapi buktinya disebut di dalam kalam Allah kitab Al-Quran dan hadis Rasul-Nya.

Sebat cara Islam bagi lelaki
Sebat cara Islam bagi wanita
Sebat secara sivil


Perbandingan Hukuman Hudud dengan Hukuman Sivil

Antara spesifikasi hukuman sebat yang dikenakan dalam hukuman sivil adalah rotan yang digunakan terdiri dari berbagai saiz, pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat yang hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja. Justeru, bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat manakala pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada rangka yang dikhaskan dan diikat kedua-dua kaki dan tangannya. Sesetenggah penyebat akan menyebat pesalah dengan cara terus dan ada sesetenggah penyebat akan menyebat dengan cara sentapan. Oleh yang demikian, sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan sehingga pesalah dapat merasakan cebisan kulit tersentap keluar.
Berbeza dengan cara sebatan Islam, panjang rotan tidak melebihi 1.22 meter, tebal tidak melebihi 1.25 sentimeter. Jika pesalah wanita yang hamil, hukuman dilaksanakan selepas dua bulan melahirkan anak. Tambahan, sebatan tidak boleh mengenai muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit. Pesalah lelaki disebat cara berdiri manakala pesalah perempuan disebat dalam keadaan duduk. Sebatan juga dikenakan dengan kekuatan yang sederhana kerana penyebat tidak boleh mengangkat tangannya melebihi kepala. Oleh itu, ia tidak melukakan kulit pesalah. Walaupun hukuman hudud dijalankan di hadapan khalayak ramai, ia sebenarnya memberi pengajaran kepada orang-orang yang memerhatikan proses tersebut supaya tidak melakukan kesalahan yang sama.

 
Kebaikan Hukuman Hudud dari Perspektif Saintifik dan Psikologi

Bagi penzina yang belum berkahwin mereka mempunyai antibodi limfosit T4 yang kuat dan masih bertenaga. Sekiranya seseorang penzina itu dihinggapi HIV selepas penzinaannya, limfosit T4nya akan diserang oleh HIV yang akan menyebabkan sel-sel tersebut musnah. Berdasarkan kajian, perkara ini boleh disembuh melalui penderaan pada badannya bagi merangsang penghasilan sel-sel T4 yang baru. Jika penghidap AIDS sudah berkahwin apabila dihinggapi HIV, sel-sel T4 mereka telah lemah berbanding mereka yang belum berkahwin. Kelemahan ini berpunca daripada sum-sum tulang yang mengalami sedikit hakisan dan kurang menghasilkan antibodi kerana lebih banyak ditumpukan ke arah menghasilkan sperma-sperma yang baru. Penzina jenis ini tidak akan dapat diselamatkan daripada virus HIV dan rejam sehingga mati adalah merupakan penyelesaian terbaik bagi mengelakkan penyebaran penyakit di samping memberikan pengajaran yang menyebabkan orang takut untuk melakukan kesalahan yang sama.
Manakala, dari sudut psikologinya, hukuman memotong tangan bagi pencuri adalah memberikan pemilik barang yang dicuri itu suatu perasaan tenteram dalam jiwanya. Daripada dapatan awam, umum menyatakan perasaan tidak puas hati dengan pencuri yang mungkin sekali telah mencuri barang yang mereka sayangi. Suatu persoalan yang perlu difikirkan, siapakah yang lebih layak dikasihani, si pencuri atau mangsa kes curi yang mungkin kehilangan beribu-ribu ringgit hasil kecurian yang berlaku ke atasnya? Oleh itu, kita seharusnya memikirkan emosi yang dirasai oleh mangsa tersebut dan hudud memberi solusi sebagai mendidik pencuri dan orang di sekelilingnya. Namun, Islam menganjurkan kepada sifat bermaaf-memaafkan yang sekaligus boleh menggugurkan hukuman tersebut kepada si pencuri sekiranya dimaafkan oleh mangsa.
Pasakan akidah yang luhur akan menghasilkan individu muslim yang beriman dan bertaqwa kepada Allah secara konsisten. Hal ini kerana, agama Islam bukanlah suatu agama persinggahan. Sebagai contoh, apabila seseorang itu mahu memeluk Islam, dia menganutinya dan apabila dia membencinya kerana salah fahamnya terhadap ajaran Islam, individu tersebut sewenang-wenangnya ingin keluar daripada agama Islam. Malahan, individu tersebut juga akan mewujudkan gerakan untuk memurtadkan aqidah umat Islam yang lainnya. Justeru, Islam sangat menitik beratkan mengenai isu aqidah seperti ini. Maka, ini sebahagian sebab mengapa Allah memberi hukuman yang dikenakan kepada mereka yang murtad.

Kesimpulan

Sebagai impaknya, perlaksanaan hukum hudud ini telah mengurangkan kadar jenayah di sesebuah negara. Hal ini dibuktikan lagi dengan perlaksanaan hukuman ini di negara Arab Saudi berbanding negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun. Selain itu, hukum hudud hanya dikenakan dikenakan terhadap orang Islam sahaja namun jika orang bukan Islam melakukan kesalahan, mereka diberi pilihan. Mereka akan dikenakan hukuman sivil (takzir) kecuali permintaan mereka untuk dikenakan hukuman hudud kerana sejarah pernah mencatatkannya ketika kegemilangan pemerintahan Islam.
Perkara ini menunjukkan bahawa hukum hudud telah berjaya mendidik manusia supaya takut melakukan jenayah dan kesalahan, tetapi sentiasa mengingati Allah, Penciptanya. Akhir kalam, sekiranya negara Somalia sebuah negara yang mengalami krisis kebuluran pun melaksanakan hukum hudud, mengapa bukan di negara kita? Fahamilah hudud dengan kefahaman yang sebenar dan yakinlah dengannya, kerana akhirnya ia akan berkait dengan aqidah kita sebagai individu Muslim. Wallahua’lam.
“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?” (Surah Ar-Rahman, 55: 13, 16, 18, 21, 23, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42, 45, 47, 49, 51, 53, 55, 57, 59, 61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75 dan  77)




Ulasan oleh:
Mohd Syahmir bin Alias,
Setiausaha Agung,
Persatuan Mahasiswa Islam USM,
2011/2012.

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...