DARI MEJA LAJNAH DAKWAH DAN PERHUBUNGAN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
18 MUHARAM 1433 H/14 DISEMBER 2011 M – Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia telah dijemput untuk menghadiri ke Majlis Konvensyen Kepimpinan Dakwah peringkat Pulau Pinang di Kompleks Tabung Haji Pulau Pinang, Bayan Lepas. Kami menghantar empat orang wakil daripada jawatankuasa tertinggi PMIUSM untuk ke majlis konvensyen tersebut. Majlis Konvensyen Kepimpinan Dakwah tersebut dirasmikan oleh Y.B. Dato’ Mansor bin Othman, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Y.B. Tuan Haji Maktar bin Haji Shafee, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Hubungan Seranta Pulau Pinang serta Tuan Haji Ellias bin Haji Zakaria, Yang Di-Pertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
Bentuk pengisian pada konvensyen tersebut adalah pembentangan kertas kerja daripada empat orang individu yang pakar pada topik yang dibentangkan. Empat kertas kerja telah dibentangkan. Antaranya:
- Transformasi Dakwah (oleh: Y.Bhg Dato’ Dr. Siddiq Fadzil, Presiden Kolej Dar Al-Hikmah, Selangor)
- Strategi Menangani Gejala Sosial dan Murtad (oleh: Y.Bhg Dr. Abu Bakar bin Sarpon, Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia)
- Dakwah dan Media (oleh: Tuan Haji Ahmad Azam bin Abdul Rahman, Presiden Future Global Network Foundation)
- Dakwah dan Undang-undang (oleh: Y.Bhg. Profesor Dr. Abdul Aziz bin Bari, mantan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, UIAM)
Kesemua topik yang dibentang dan dibincangkan adalah mengenai isu dakwah di Malaysia yang kelihatan ada beberapa kelopongan yang perlu ditampal dan diisi melalui pengkajian bernas oleh para da’ie. Kesemua pihak kerajaan mahupun NGO, dan tidak terkecuali individu yang cakna pada urusan dakwah seharusnya mengambil inisiatif bagi memastikan gerakan dakwah di Malaysia ini hidup atas dasar keimanan yang teguh kepada Allah s.w.t. tidak kiralah ia berurusan dengan mana-mana aspek kehidupan manusia, sekalipun urusan pendidikan, undang-undang, media, dan sebagainya.
Berdasarkan keseluruhan pembentangan kertas kerja dan persoalan yang dikemukakan oleh hadirin jemputan konvensyen tersebut, Lajnah Dakwah dan Perhubungan Persatuan Mahasiswa Islam USM membawa satu rumusan penuh untuk diperhatikan dan difikir kembali oleh mahasiswa, iaitu:
“MAHASISWA SEHARUSNYA MELIHAT ISU-ISU AGAMA ISLAM SEBAGAI SESUATU YANG BERKAIT RAPAT DENGAN AQIDAH. TANPA AQIDAH YANG KUAT, UMAT ISLAM AKAN JATUH LEMAH. SEKIRANYA SEMUA ISU-ISU AGAMA ISLAM DIPOLEMIKKAN ATAU DIMANIFESTASIKAN SEBAGAI ISU POLITIK ATAU IDEALISME MANA-MANA KUMPULAN YANG BERKEPENTINGAN, WAJARKAH KITA SEBAGAI GOLONGAN INTELEK MEMBIARKAN SAHAJA PERKARA TERSEBUT DIJADIKAN SEBAB PERTIKAMAN. OLEH ITU, PERBINCANGAN BAIK ATAS DASAR MEMPELAJARI ISU TERSEBUT SECARA TELUS DARI AKAR UMBI, DENGAN BERPAKSIKAN AQIDAH YANG MANTAP ADALAH SOLUSI BAIK DAN LEBIH INTELEK.”
OLEH:
SAKINAH BINTI OMAR,
TIMBALAN PENGERUSI LAJNAH DAKWAH DAN PERHUBUNGAN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM USM

12:05 PM
PMIUSM

Posted in:





0 Pandangan Sahabat:
Post a Comment