LAMAN UTAMA

Sunday, November 27

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1433 DARIPADA NYDP PMIUSM

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, dengan limpah kurnia daripada Allah, pada hari ini kita telahpun memasuki tahun 1433 Hijrah dan bermulalah satu lagi tahun baharu dalam kalender Islam. Hal ini pasti memberikan satu erti yang amat besar dalam diri individu Muslim dan semangat hijrah ini perlu sentiasa subur dalam jiwa-jiwa orang Mukmin sebagai satu anjakan untuk menjadi hamba Allah yang lebih taat kepada perintah-Nya tahun demi tahun. Oleh itu, pengertian hijrah perlulah dinilai kembali kerana ia bukan sekadar satu rutin tahunan yang disambut dengan penyampaian tokoh Maal Hijrah sahaja, tetapi ia lebih kepada menghayati semangat perubahan yang diinginkan untuk kemaslahatan diri dan ummah sejagat.


Menelusuri tema Maal Hijrah pada tahun ini, “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah”, kesatuan pemikiran merupakan perkara yang menjadi tunjang kekuatan persaudaraan dalam Islam atau disebut sebagai ukhuwwah Islamiyyah. Sekiranya kita meyemak kembali lembaran sirah Rasulullah s.a.w, baginda sangat menekankan aspek ukhuwwah Islamiyyah yang menuntut kepada keutuhan persaudaraan yang berpaksikan akidah tauhid. Ia terbina daripada tiga asas penting iaitu ta’aruf (saling mengenali), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling memenuhi). Ketiga-tiga asas ini juga merupakan rukun-rukun usrah sepertimana yang ditekankan oleh Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna.

Di samping itu, persefahaman akan memupuk kesegaran hubungan ukhuwwah yang memberi kesinambungan kepada perpaduan antara umat Islam. Ia mewujudkan suasana yang harmoni kerana setiap individu memahami dan menerima kekuatan atau kelemahan, bahkan apa jua keadaan orang lain sehingga membawa kepada ta’awun (saling membantu) dalam ikatan persaudaraan. Sepertimana yang kita ketahui, persefahaman yang diterapkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w dalam kalangan golongan Muhajirin dan golongan Ansar adalah satu contoh persefahaman yang patut kita teladani. Hal ini kerana, ibrah daripada peristiwa hijrah tersebut, maka lahirlah negara Islam pertama iaitu Madinah al-Munawwarah dan seterusnya membawa kepada pembukaan kota Makkah al-Mukarramah. Signifikannya, peristiwa-peristiwa tersebut telah membawa transformasi dalam corak ketamadunan manusia sejagat.

Daripada intipati tema Maal Hijrah 1433 ini, saya menyeru mahasiswa/i Islam untuk menghayati erti hijrah dalam kondisi massa, iaitu mewujudkan persefahaman dengan menambah ilmu pengetahuan, berkongsi dengan rakan-rakan, saling ingat-mengingati sesama kita, melihat perbezaan sebagai satu rahmat dan mencari titik persamaan untuk mencapai kata sepakat. Dalam Surah Al-Maidah ayat 2, Allah berfirman yang mafhum-Nya:

“… hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya…” (Surah Al-Maidah, 5: 2)
        
        Justeru, situasi ini sudah pasti melahirkan kampus yang sejahtera dengan hubungan akrab dalam kalangan mahasiswa dan mencetuskan kesepaduan sebagai anggota sebuah institusi keintelektualan. Akhir kalam, bersempena tahun baharu 1433 Hijrah, saya mewakili saf pimpinan PMIUSM mengucapkan Salam Maal Hijrah kepada rakan-rakan mahasiswa Islam dan bersama-sama kita menghayati tema Maal Hijrah pada tahun ini. Selamat Tahun Baharu Hijrah diucapkan, kullu 'am wa antum bilkhair.

"We Love, We Care"
  
Oleh:
Muhammad Afiq bin Roshide,
Naib Yang Di-Pertua,
Persatuan Mahasiswa Islam USM,
2011/2012

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Arkib

Islam Syumul | | We Love, We Care