LAMAN UTAMA

Wednesday, November 9

KENYATAAN RASMI PMIUSM BERKENAAN SEKSUALITI MERDEKA

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia membantah penganjuran Seksualiti Merdeka 2011.  Program ini bertemakan “Queer Without Fear” asasnya adalah untuk menegakkan hak golongan LGBT (lesbian, gay, biseksual, transgender). Program ini dijadualkan untuk berlangsung pada 2 - 13 November 2011 di Kuala Lumpur telah diharamkan oleh pihak berkuasa.



Bantahan adalah untuk memelihara fitrah manusia sekali gus mempertahankan tamadun ummah dari berlakunya kepincangan sosial dan malapetaka hasil kecelaruan jantina. Eloklah kita mengambil pengajaran dari Al-Quran di mana gaya hidup homoseksual kaum Nabi Lut mengundang kemurkaan Allah.


“Dan (Kami juga telah mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) tatkala dia berkata kepada kaumnya: “”Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.” (Al A'raf :80-81)

Jelas apa yang dibawa oleh Seksualiti Merdeka ini bertentangan sama sekali dengan agama Islam. Amalan seks songsang bertentangan dengan perintah Allah, menyalahi hukum alam, tidak sekali menyumbang kepada perkembangan tamadun tetapi membawa mudarat diri. Perjuangan Seksualiti Merdeka merupakan salah guna kepada istilah hak asasi dan kebebasan. Tidak wujud hak asasi manusia yang mutlak kerana dalam Islam kebebasan dan hak asasi mestilah selari dengan syariat Islam kerana syariat memandu umat daripada keruntuhan tamadun.
Namun begitu, kami berpendapat golongan yang LGBT ini haruslah disantuni oleh masyarakat, namun tidak sama sekali membenarkan atau menerima kecelaruan identiti ini sebagai norma masyarakat dan sesuatu yang diterima agama. Masyarakat bersama-sama kerajaan haruslah berperanan membantu kembali golongan ini meluruskan fitrah mereka agar selari dengan apa yang digariskan oleh Islam. Program berskala besar seperti Seksualiti Merdeka tidak boleh diterima kerana seakan mempromosi hal ini secara meluas. Umat Islam haruslah berpegang kepada prinsip nilai-nilai suci dan sama-sama menolak perbuatan songsang LGBT yang keji. Mahasiswa juga harus memandang serius sebarang kecelaruan identiti dan jantina dalam kalangan masyarakat agar dapat mencegah dan merawat gejala di luar tabi’i ini.
Nor Azam Mohammad Tamjis,
Yang Di-Pertua,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Sains Malaysia,
2011/2012

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

 

Arkib

Islam Syumul | | We Love, We Care