Friday, October 21

MEMBINA KEKUATAN DIRI (MENJAGA BATAS PERGAULAN)

Hubungan yang tidak terjaga dari segi batas pergaulannya bukan sahaja hina dipandangan mata manusia tetapi hina juga dipandangan mata Allah dan seluruh makhluk Allah. Bukan bermaksud muslimin tidak boleh berbual atau bercakap dengan muslimat tetapi dari segi sosial nya iaitu berpegangan tangan, bergaul dan ketawa secara berlebihan, dan seumpamanya tidaklah digalakkan. Dalam sebuah Hadis Rasullullah saw, berkenaan dengan dosa manusia yang berpegangan tangan dan ia tiada ikatan sah atau bukan mahramnya, Rasulullah bersabda, "dosa mereka yang bersentuhan lelaki perempuan yang bukan mahram diibaratkan besi yang dilebur panas dimasukkan kedalam mulut dan keluar melalui lubang dubur nya, maka masih belum terampun dosa bagi manusia lelaki dan perempuan yang bersentuhan itu".
Subhanallah..


Laluilah kehidupan dunia sebagai musafir yang sentiasa merasakan akan kembali kepada Allah. Mulakanlah langkah untuk membuat perubahan dengan berbekalkan dua keyakinan :
1. keyakinan kepada Allah
2. keyakinan kepada diri sendiri

Dua keyakinan ini sangat berkait antara satu sama lain. Yakinlah setiap kita mempunyai potensi untuk menjadi orang yang bertaqwa. Percaya lah kita lebih kuat daripada apa yang kita sangkakan.  Kata Hukama, "Jika kita dapat menguasai diri kita, kita akan dapat menguasai dunia.". Ertinya, dengan menguasai diri kita sendiri, pengaruh kita untuk menguasai orang lain, mengubah keadaan dan mencorak suasana luaran itu akan meningkat. Itulah sebenarnya sifat orang bertaqwa. Yang hati mereka hanya terikat kepada Allah. Ketika Rasulullah menerangkan tentang taqwa, baginda telah bersabda sebagaimana yang dilaporkan oleh Abu Hurairah: "Taqwa itu disini (sambil menunjukkan dadanya)". (Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim).
Takut dan cinta mereka yang bertaqwa hanya kepada Allah. Keyakinan diri mereka sangat tinggi hasil mengingati Allah, detik kematian dan hari Akhirat. Apa yang mereka takutkan jika mereka merasai Allah sentiasa bersama mereka? When Allah is your friend, who is your enemy? Mereka akan terasa ringan nya ujian di dunia apabila mengenangkan azabnya mati. Dan mereka akan yakin dan tabah menghadapi kesusahan hidup di dunia kerana menyedari itulah bekalan untuk hidup di akhirat nanti.

Bagi orang yang bertaqwa, mereka tidak berpegang kepada prinsip 'lihat dahulu baru yakin' tetapi sebaliknya 'yakin dahulu baru lihat'. Dengan keyakinan kepada Allah, syurga, neraka dan lain-lain rukun iman (yang tidak mereka lihat) serta mereka berusaha, bekerja, berjuang di dunia, maka akhirnya mereka akan dapat melihat 'wajah' Allah di dalam syurga di akhirat kelak.

Inilah bentuk keyakinan diri yang sangat luar biasa. Manakala keyakinan yang terhasil oleh sikap 'lihat dahulu baru yakin' adalah keyakinan yang biasa-biasa. Keyakinan diri umat Islam adalah keyakinan yang luar biasa, justeru kita didorong untuk beribadah dan berjuang semasa hidup kerana mengharapkan pertemuan dengan Allah dan syurga selepas mati. Firman Allah : "Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang tetap dan yakin."
 (Surah al-Hijr 15 : 99)

Para muttaqin umpama ikan yang tidak akan masin dengan kemasinan laut. Jadilah seperti ikan di laut masin, walaupun turun kedarat, laut yang masin masih tidak dapat mempengaruhinya. Janganlah jadi seperti sesumpah, kemana sahaja akan sentiasa berubah. Sebab itu ingin ditegaskan bahawa keyakinan kepada diri sendiri sangat berkait dengan keyakinan kepada Allah. Maksudnya, siapa yang lebih kuat keyakinan kepada Allah, maka dialah yang paling kuat keyakinannya terhadap diri sendiri!!

Siapakah orang yang paling kuat? Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergusti, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mengawal diri mereka ketika marah." (al-Bukhari) Sayyidina Umar Ibn Khattab pernah berkata, "Kalau meminum segelas air yang dingin ketika kehausan yang amat sangat boleh menjatuhkan maruahku nescaya aku tidak akan meminumnya." Umar Ibn Aziz pernah berkata: "Aku tidak akan bercakap ketika aku terlalu ingin bercakap.  Sebaliknya aku bercakap apabila aku terlalu berat untuk bercakap."

Hukama pula berkata, "Kuasai diri kamu, nescaya kamu akan dapat menguasai dunia ini."  Rahsia kejayaan 'orang besar' itu terletak kepada kemampuan mereka menguasai diri sendiri. Dan dengan itu barulah mereka berjaya mengubah, mempengaruhi dan memimpin orang lain. Ini mengingat kita kepada satu ungkapan berbunyi : "Jangan kamu marah jika orang lain tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki jika kamu sendiri tidak berubah sepertimana yang kamu kehendaki"  

Tegasnya, 'kekuatan' dalam diri ialah apabila kita dapat melakukan sesuatu yang perlu dilakukan dan meninggalkan sesuatu yang tidak perlu dilakukan. Kita ingin kuat. Kuat dalam erti kata lain dapat menentukan arah hidup dan jalan hidup kita sendiri. Kuat untuk menghadapi rintangan dan akhirnya meraih kejayaan. Kuat untuk mengakui kesalahan dan memperbaikinya.Perubahan bermula dengan diri sendiri.  Jangan harapkan keluarga, masyarakat, organisasi dan negara kita akan berubah (berhijrah) sekiranya diri kita sendiri tidak berubah terlebih dahulu. Langkah perubahan mestilah bermula dengan ilmu. Terangi hati yang gelap dengan cahaya ilmu. Namun, ilmu yang bersih tidak boleh masuk melalui hati yang kotor. Oleh itu bersih kan hati kita, supaya ilmu yang bermanfaat akan masuk melalui hati yang bersih. Dengan ilmu kita dapat mengetahui sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna dan nama-Nya yang baik dan mulia. Ingat, ilmu wahyu akan menerangi hati, manakala ilmu dunia akan menerangi kehidupan.  Hakikatnya ubat hati ialah ilmu-ilmu yang diambil dari Al-Quran.

Dari sana, susuli langkah seterusnya. Ilmu itu iman, amal adalah makmumnya. Mulalah amal latihan-latihan asas teras untuk merawat hati. Ubat hati ialah dengan zikrullah- ingat Allah. Dan cara mengingati Allah yang paling utama ialah dengan mendirikan solat. Solat lima waktu adalah silah (penghubung) antara hamba dengan Tuhan. Fahami makna bacaan, hayati erti gerakan dan resapkan rasa-rasa daripada segala gerakan dan bacaan itu kedalam hati. Walau susah sungguh, tetapi paksalah diri bersungguh-sungguh.

Sedangkan bisa boleh jadi biasa apabila dilazimi. Apatah lagi 'penawar' yang datang daripada Allah. Al- Quran dan solat tentulah akan lebih mudah kita biasakan apabila dlazimkan. Ingatlah solat itu penawar. Walaupun sukar kita merasakan kemanisannya di peringkat awal, tetapi kemanisannya pasti akan datang juga jika kita berterusan mengamalkannya. Ingat selalu kata-kata mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. No pain no gain. Sedangkan merebut cinta makhluk pun susah, apatah lagi mencari cinta Allah. Tentulah lebih sukar. Tidak ada jalan yang mudah, itulah jalannya. Jalan mujahadah.

Seperti sakit fizikal yang perlu ada pantang larangnya, begitulah juga 'sakit hati' yang ada pantang larangnya. Makan ubat tidak boleh diiringi oleh makan 'racun'. Maksudnya, apalah ertinya kalau kita rajin makan ubat penyakit darah tinggi, jika kita terus makan daging, garam dan lemak secara berlebihan? Begitulah halnya dengan usaha penyembuhan 'sakit hati', ada pantang larangnya juga. Kita perlu 'berpantang' daripada perkara-perkara yang boleh menyuburkan nafsu. Misalnya, melihat, mendengar, atau terlibat secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas, program hiburan yang merangsang kan nafsu, filem-filem lucah, dan lain-lain suasana yang boleh menyuburkan hawa nafsu.

Sebaik-baiknya carilah kawan seia sekata. Bentuk kumpulan kecil yang mempunyai satu fikiran, satu tujuan dan satu rasa--yakni sama-sama ingin mencari cinta Allah. Bila sudah ada perkumpulan, rangkalah program-program yang baik. Program yang positif boleh dibentuk sebagai alternatif kepada program yang negatif. Membaca,dan mengkaji buku-buku agama, meningkatkan ilmu fardhu ain, mendengar kuliah tafsir, mendengar nasyid-nasyid atau lagu-lagu yang baik, program riadah, sukan dan rehlah yang islamik adalah program-program soleh yang telah diatur.

 Ini adalah penebat kepada idea-idea nakal dan jahat yang boleh menggoda kita. Kita ada kawan, ada aktiviti dan akhirnya boleh terbentuklah suasana dan persekitaran yang soleh. Masa lapang kita akan terisi. Ingat, musuh orang muda adalah 'masa lapang'. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menegaskan bahawa nikmat yang sering memperdayakan manusia ialah masa lapang dan kesihatan tubuh badan.

Justeru mengapa kita tidak manfaatkan suasana ini untuk melatih diri seterusnya mampu mengawalnya? Saiyidina Ali pernah berpesan, "Beramallah ketika di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi hanya ada amalan (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada amal (akhirat)."

Ditulis oleh:
Noor Aiman Ab. Aziz,
Pengerusi,
Lujnah Dakwah & Perhubungan,
PMIUSM 2011/2012.

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...