Sunday, October 2

DETIK MEMBURU CINTA ALLAH

Untuk bahagia cintailah siapa yang mencintai kita, bukan siapa yang kita cintai. Ini kerana mencintai siapa yang menyintai kita, pasti cinta itu berbalas. Sebaliknya, kita akan menderita sekiranya cinta itu tidak berbalas..kita cinta pada orang yang tidak menyintai kita, Oleh itu, siapa lagi yang paling menyintai kita kalau bukan Allah? Tuhan yang mencipta kita tanpa kita minta, Tuhan yang memberi sebelum kita meminta, Tuhan yang menjaga kita setiap detik dan ketika? Mencintai Allah adalah satu kebahagiaan dan ketenangan.


Namun memang sukar menyintai Allah. Sesuatu yang berharga tentulah payah untuk mendapatkannya. Umpama kaca dan permata... kaca mudah didapati dimana-mana namun permata sukar dicari dan terlalu mahal harganya. Sukarnya mencintai Allah walaupun kita tahu bahawa Dialah yang sewajarnya yang kita cintai. Budi-Nya, kasih sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk dimungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahi-Nya ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita. 

Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya 'sekelumit' jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit luas. Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita. Kenapa sukar benar mencintai-Nya? Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah.
Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya.Mengapa hati sedegil itu? Untuk mengetahui kenapa mari kita bandingkan hati kita dengan fizikal kita. Dalam keadaan badan sihat, kita boleh makan dengan berselera sekali. Hadapkan ayam goreng, asam pedas, tomyam atau apa sahaja masakan yang enak-enak, tentu tekak kita dapat menikmatinya dengan lazat.

Tetapi apa kata kalau kita tiba-tiba jatuh sakit? Demam selsema menimpa. Tekak kita jadi pahit, selera kita jadi sempit. Ketika itu, hidangkanlah makanan selazat manapun, insya Allah tekak kita akan menolaknya. Yang manis terasa pahit. Segala-galanya bertukar menjadi hambar, kelat, dan meloyakan. Kenapa jadi begitu? Apakah makanan itu yang berubah rasa atatu tekak kita yang berubah selera? Tidak, makanan tetap sedap, tetapi bila badan kita sakit, selera kita akan pahit.

Begitulah hati kita apabila tidak mahu mencintai Allah. Bukan kerana cinta Allah itu tidak agung, tidak hebat, tidak indah tetapi hati kita yang sakit. Hati yang sakit tidak akan dapat menikmati keindahan cinta Allah seperti badan yang sakit tidak dapat menikmati kelazatan makanan. Jika perbandingan ini dapat diterima, maka kita boleh mengukur tahap 'kesihatan' hati kita. Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia (termasuk kita) yang 'sakit' hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Bila ketaatan tidak terasa manis dan kejahatan tidak terasa pahit...itu petanda hati kita sakit. Sungguh 'sakit' hati ini lebih buruk n teruk akibatnya daripada sakit fizikal. Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan menderita di akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi 'sakit' hati akibatnya lebih parah. Kita akan menderita selama-lamanya di akhirat.

Mengapa hati kita sakit? Sehingga dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah. Sedangkan cinta Allah itu fitrah dan 'penawar' kepada hati manusia. Anologi begini. katalah, ada seorang anak yang sejak kecilnya lagi sudah dipisahkan daripada ibunya yang sejati. Oleh kerana ada masalah yang tidak dapat dielakkan, anak itu dipelihara oleh ibu angkat. Masa berlalu bertahun-tahun. Hinggalah anak itu mencapai usia dua puluhan. Tiba-tiba si anak mengetahui rahsia yang dia sebenarnya cuma anak angkat sahaja kepada ibunya sekarang. Dia pun mencari ibunya yang sejati. Ibu yang telah mengandungkan dan melahirkannya.


 Maka di hari pertemuan bersejarah itu, si anak pun bertemu dengan ibu sejatinya ditemani oleh ibu angkatnya. Pada ketika itu, siapakah yang lebih dikasihi oleh si anak? Ibu sejati yang telah terpisah sekian lama itukah atau ibu angkatnya yang telah memelihara nya selama ini? Pasti hati si anak akan lebih mengasihi ibu angkat yang telah memeliharanya selama dua puluh tahun berbanding ibu sejati yang baru dikenalinya pada hari pertemuan itu.
Walaupun pada lojik dan dari segi rasionalnya, ibu sejati perlu dikasihi berbanding ibu angkat, tetapi dari segi perasaan si anak tidak lah begitu. Sayang bukan paksaan, sayang bukan pemikiran, tetapi ia soal rasa. Ia datang dengan sendirinya. Kenapa sayang dan cinta si anak tak mahu bertukar walaupun dia patut merasa begitu? Maka begitulah halnya dengan hati kita. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi kita sudah kenal Allah dan mengakui Dialah Tuhan kita.

Firman Allah :
"Bukankah Aku ini Tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab, 'benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi." (Al A'raf : 172)

Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan telah mengakuinya sebagai Rob (Tuhan kita). Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Malangnya ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati itu sebaik sahaja mereka lahir ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita telah diambil oleh 'cinta angkat'.Kita telah terpisah dari Allah.
Siapa yang memisahkan kita daripada cinta Allah? Sedih, yang memisahkan manusia dari cinta Allah kerap kalinya adalah ibu bapa mereka sendiri. Ibu bapa tidak mengenalkannya kepada Allah. konsep didikan yang bertitik tolakkan ."Awaludin makrifatullah". --- "Awal-awal agama ialah mengenal Allah". tidak diberikan. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar. Tidak dibajai dan diari. Akibatnya, kita kenal selain Allah. Maka cinta kita beralih arah. Hakikat ini ditegaskan oleh sabda Nabi saw. : " Tiada seorang bayi pun lahir melainkan dia dilahirkan di atas fitrah . Lalu kedua orang tuanya lah yang menjadikannya Yahudi atau Majusi atau Nasrani, seperti haiwan itu melahirkan haiwan yang sama secara utuh. Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?" ( Riwayat Bukhari)

Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Kekadang oleh corak pendidikan yang diterima. Begitu juga media massa yang didengar dan lihat.Apa lagu yang didengarnya? Apa filem yang ditontonnya? Cinta siapa yang lebih kerap dilihat dan didengarinya? Malang sekali, bukan cinta Allah tetapi cinta selain-Nya . Pancaindera kita sepenuhnya berinteraksi dan berkomunikasi dengan cinta itu sahaja. Dan pada ketika itu manusia yakin sepenuhnya bahawa 'cinta angkat' itulah cinta sejati kita.

Namun, Allah masih dan terus menyayangi kita. Dikurniakan kita dengan berbagai-bagai nikmat untuk kita kembali menyintai-Nya dan semua itu umpama 'panggilan Ilahi' untuk kita kembali kepada cinta-Nya.Dan dengan ini secara automatik akan terbangunlah taqwa. Justeru, sekiranya akhlak masih buruk, kecemerlangan kerja masih rendah, itu tandanya taqwa masih rapuh. Cinta Allah masih jauh!!!

Ditulis oleh:
Noor Aiman Abd Aziz
Pengerusi Lujnah Dakwah & Perhubungan
Persatuan Mahasiswa Islam USM
sidang 2011/2012

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...