Thursday, September 8

TAHNIAH PELAJAR BARU APEX 2011/2012


PULAU PINANG 8 SEPTEMBER - 6hb September 2011 merupaka tarikh keramat bagi pelajar baru yang mendaftar sebagai mahasiswa/i Universiti Sains Malaysia. Kesesakan lalulintas dengan pelbagai kenderaan dari seluruh pelosok Malaysia yang berlaku di dalam USM menunjukkan semangat pelajar-pelajar baru yang ingin mendaftar bagi sidang akademik 2011/2012. Mereka yang hadir bersama keluarga tercinta menggalas seribu harapan keluarga untuk meneruskan ilmu dalam jangka masa yang panjang. 'Kemeriahan' yang berlaku pada tarikh ini akan diingati setiap pelajar yang akan memulakan pengajian mereka di sini.

Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Islam USM ketika dihubungi tadi mengucapkan selamat datang ke USM kepada penuntut tahun satu bagi sidang akademik 2011/2012. Beliau juga mengucapkan selamat menyambut kedatangan bulan Syawal yang mulia serta selamat menyambut Hari Malaysia pada 16 september ini. Nor Azam juga berpesan kepada seluruh mahasiswa/i untuk bersama-sama mengikhlaskan niat dalam menuntut ilmu dan menggapai cita-cita di USM. “Jadilah kita seperti resam padi semakin berisi, semakin tunduk. Ilmu dituntut semata-mata mendekatkan diri kepada Allah. Tanda berkat Ilmu yang kita tuntut ini apabila semakin kita berilmu, semakin kita tunduk dan patuh kepada Allah.” Tambahnya lagi, mahasiswa baru merupakan ahli keluarga Persatuan Mahasiswa Islam di USM, oleh itu sama-samalah kita saling mengingati dan menghormati tanpa mengira usia dan pangkat. Sehubungan dengan itu, beliau mengajak semua untuk mendekatkan diri kepada Allah, mendalami ilmu agama, sentiasa mendampingi orang-orang berilmu dan soleh, sentiasa membaca dan memahami Al-Quran dan memperbaiki amalan wajib serta memperbanyak amalan sunat.

Naib Yang Di-Pertua Persatuan Mahasiswa Islam, Nor Atiqah Ahmad ketika dihubungi, mengalu-alukan kedatangan pelajar APEX pengambilan sesi 2011/2012. Mewakili pimpinan siswi PMIUSM, Nor Atiqah berbesar hati menerima ahli keluarga baru. Beliau berharap mahasiswa/i baru datang dengan seribu harapan pulang dengan segunung kejayaan. “Kepada sahabat mahasiswi yang baru mendaftar, anda merupakan aset yang bernilai, timba ilmu sebanyak yang mungkin di kampus agar dapat berbakti sebaiknya kepada masyarakat apabila selesai bergraduasi kelak.”

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...