PULAU PINANG 23 Ogos: Jangan salahkan pihak gereja sepenuhnya, tetapi bersikap proaktif dalam melihat kembali usaha kita sebagai umat Islam. Itulah pendirian Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Sains Malaysia (PMIUSM) seperti yang ditegaskan Yang Di-Pertuanya, Saudara Nor Azam Mohd Tamjis, berkenaan isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) keatas majlis thanksgiving atau kesyukuran anjuran sebuah gereja di Selangor yang hangat di media Ramadhan ini.
Kata Nor Azam, isu ini tidak akan timbul sekiranya, kita yakin dengan sistem pembinaan insan muslim di negara ini mampu membina aqidah yang kukuh dan mantap. Namun, yang sebaliknya berlaku kerana kita masih melihat kelompongan dalam pelaksanaan sistem ini sama ada kelemahan di peringkat pelaksananya atau kelemahan sistem itu sendiri. Justeru itu, kita mesti berusaha untuk memantapkan umat Islam kita dengan program-program keilmuan dan pendidikan Islamiyah yang boleh mengukuhkan kekuatan aqidah dan pegangan umat Islam.
Tambah Nor Azam lagi, kebenaran dakwaan ada masyarakat susah menerima sumbangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Baitulmal perlu dilihat dari aspek positif bahawa masih ada kelemahan sistem yang diguna pakai sekarang. Pihak pendakyah melihat ini satu kelemahan kita yang menguntungkan strategi dakyah mereka.
Beliau mengulas isu ini dengan lebih lanjut berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Nu`aim daripada Anas yang bermaksud: “Hampir-hampir kefaqiran itu membawa kepada kekufuran.” Menurutnya, kemiskinan yang membelenggu boleh menyebabkan kekufuran, begitu juga dengan kemewahan yang berlaku turut menyumbang perkara yang sama. Tambahnya lagi, pihak yang telah diamanahkan untuk menguruskan harta zakat dan dana kebajikan seperti JKM dan Baitulmal perlu mengkaji kaedah mengumpul data dan maklumat masyarakat fakir miskin serta memperbaiki sistem pengagihan dana kebajikan kepada masyarakat yang layak menerimanya. Hal ini bagi memastikan supaya tidak wujud golongan yang tercicir yang akhirnya akan dipujuk oleh para pendakyah untuk menerima bantuan dari gereja. Katanya, “Kita tidak risau dengan bantuan kewangan yang pihak gereja berikan, namun yang dirisaukan ialah bimbang tawaran kebendaan akan melemahkan aqidah umat Islam kita yang dihimpit kemiskinan.”
Nor Azam menggesa Baitulmal agar lebih agresif dalam mencari punca masalah mendapatkan bantuan kewangan daripada badan itu oleh mereka yang memerlukan. Paling penting tegasnya, pihak berkenaan perlu mengurangkan birokrasi dalam pengagihan wang zakat ini.
Menurutnya lagi, laporan mengenai pemurtadan melalui institusi gereja tidaklah banyak namun dipolitikkan secara melampau di akhbar. Presiden PMIUSM itu menggesa supaya isu berkaitan aqidah umat Islam tidak dimanipulasikan dan diputarbelit oleh akhbar untuk memberikan kelebihan politik kepada sesuatu pihak sehingga memecahbelahkan perpaduan umat Islam. Kata beliau, “Sedangkan pada hemat saya, ada pihak yang memegang kekuasaan, sudah pun berusaha secara ‘rasmi’ dan konsisten merosakkan aqidah umat Islam di negara ini. Bersiri-siri drama dan filem seram dan tahyul ditayangkan di kaca televisyen yang secara jelas boleh menggugat aqidah para penonton yang rata-ratanya umat Islam.”
Berhubung persoalan merosakkan aqidah, Nor Azam berpendapat terlalu banyak lagi perkara-perkara yang merosakkan aqidah umat Islam di Malaysia. “Program-program hiburan melampau yang melalaikan umat Islam daripada mengenal ALLAH S.W.T terus dihangatkan di seluruh pelosok negara. Apakah ini tidak merosakkan aqidah umat Islam di Malaysia? Tidak hairanlah sekiranya kes-kes jenayah dan gejala sosial bermaharajalela di Malaysia. Apa yang saya maksudkan melalui masalah-masalah diatas ialah saya inginkan proses pembinaan masyarakat Islam di Malaysia perlulah diberi perhatian yang sangat terperinci oleh pihak pemerintah.”





0 Pandangan Sahabat:
Post a Comment