Tuesday, August 9

RAMADHAN: BULAN ADAT ATAU BULAN IBADAT?

Bismillah.

“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.”
(Surah al-Baqarah, 2: 183)


 

Alhamdulillah, syukur kita kehadrat Allah SWT dengan keizinanNya dapat kita bertemu lagi dengan bulan Ramadhan Al-Mubarak pada edisi 1432 Hijrah bersamaan 2011 Masihi. Sekali lagi Ramadhan datang mengunjungi kita semua. Kita yakin tetamu yang mulia ini sentiasa dirindui akan kehadirannya. Hembusan bayu Ramadhan kembali mendamaikan dan menyegarkan jiwa-jiwa setiap mukmin yang hidup di atas muka bumi Allah ini.

Bagi individu Muslim yang dahagakan rahmat dan ganjaran yang ditawarkan oleh Allah SWT pada bulan yang penuh barakah ini, sudah semestinya mereka tidak akan melepaskan peluang untuk berlumba-lumba merebut ganjaran dan tawaran yang telah disediakan oleh Allah SWT. Pada bulan ini juga, setiap amalan yang kita lakukan akan dilipatgandakan ganjaran pahala disisi Allah SWT. Beruntunglah bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini.

Namun, apa yang menyedihkan yang berlaku dalam kebanyakkan masyarakat kita pada hari ini ialah sambutan Ramadhan itu lebih menjurus kepada suatu “adat”, bukannya ibadat. Bulan Ramadhan yang sepatutnya menjadi bulan untuk kita mengawal nafsu syahwat dengan berpuasa sebaliknya bertukar menjadi “bulan makanan”  yang penuh dengan pembaziran. Hal ini dapat kita perhatikan ketika mana menjelangnya waktu berbuka. Banyak juadah yang dihidangkan di atas meja makan yang kadangkalanya  tidak termakan oleh kita. Jelaslah telah menjadi suatu pembaziran di bulan puasa yang mulia ini. Seperti yang kita sedia maklum, pembaziran merupakan suatu amalan yang dilarang keras dalam Islam. Orang yang suka membazir pula ibarat saudara kepada syaitan sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Sesungguhnya  orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.”
(Surah al-Isra’, 17: 27)

Maka, bersederhanalah ketika berbuka puasa, dan elakkan pembaziran.
Kita dapati juga ramai yang berduyun-duyun memenuhi masjid-masjid mahupun surau-surau pada minggu-minggu awal Ramadhan. Tapi, sayangnya bilangan ini akan menyusut tiap kali Ramadhan sampai ke pertengahan dan kemuncaknya. Alangkah moleknya sekiranya bilangan jemaah yang datang memenuhi masjid-masjid dan surau-surau sentiasa konsisten sepanjang bulan Ramadhan, dan seterusnya meneruskan berjamaah di bulan-bulan yang lain juga.

 Pada 10 malam terakhir Ramadhan merupakan waktu yang paling penting untuk mendapatkan anugerah lailatulqadar. Tetapi, masjid-masjid dan surau-surau menjadi lengang. Hakikatnya, yang ada hanyalah saf-saf yang dipenuhi oleh golongan tua dan beberapa kerat anak muda yang benar-benar ingin meraih ganjaran yang telah ditawarkan oleh Allah SWT. Maka beruntunglah golongan ini.

Tidak dinafikan, ada antara kita yang sibuk pada minggu-minggu terakhir Ramadhan. Sibuk untuk menyiapkan persediaan untuk menghadapi kedatangan Syawal. Sibuk membuat kuih raya,menjahit langsir,mengemas rumah dan sebagainya. Kita juga ghairah untuk mengunjungi pasar raya, bazaar jualan dan seumpamanya daripada mengunjungi masjid-masjid dan surau-surau. Tidak salah untuk kita bersiap sedia menyambut kedatangan Syawal asalkan kita tidak mengabaikan kelebihan dan keutamaan bulan Ramadhan Al-Mubarak.

Sebaik-baiknya, marilah kita sama-sama untuk memanfaatkan kedatangan bulan Ramadhan ini dengan memperbanyakkan  ibadah kepada Allah SWT. Sepertimana yang sahabat-sahabat tahu, Ramadhan merupakan bulan Al-Qur’an. Allah SWT juga telah memuliakan bulan Ramadhan dengan memilihnya sebagai bulan yang turunnya mukjizat terbesar kepada Nabi Muhammad SAW, iaitu Al-Qur’an sebagaimana firman-Nya:
“Bulan Ramadhan, bulan yang didalamnya diturunkan Al-Qur’an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan menjadi pembeza (di antara yang hak dengan yang bathil..)”
(Surah al-Baqarah, 2: 185)

Allah SWT juga menjelaskan bahawa Al-Qur’an diturunkan pada malam yang penuh kemuliaan dan kesejahteraan, iaitu malam Al-Qadr. Malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam Al-Qadr. Tahukah kami apa kah malam kemuliaan itu? Malam itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah Al-Qadr, 97:1-3)

Turunnya Al-Qur’an pertama kali jatuh pada Lailatul Qadr yang mana merupakan pengkhabaran Allah SWT kepada alam samawi yang dihuni oleh para malaikat berkaitan kemuliaan umat Muhammad.

Bertepatan dengan turunnya Al-Qur’an pada bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam disunnahkan untuk melazimi diri dengan Al-Qur’an. Sentiasa bertadarus disamping mentadabburinya.
‘Abdullah bin ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata:

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril selalu mendatangi beliau pada setiam malam bulan Ramadhan untuk membaca, mengajar, dan menyemak bacaan Al-Quran bersama beliau. Ketika waktu tersebut, Rasulullah SAW lebih dermawan daripada hembusan angin.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Sunnah membaca ini bukan hanya sekadar membaca dan kemudiannya mengkhatamnya sahaja, malah perlu diselitkan dengan penghayatan, kefahaman, tadabbur, serta mempelajarinya.

Maka dengan kesempatan ini, penulis mengajak muslimin muslimat sekalian ambillah peluang yang datang ini untuk kita melazimi al-Quran dan melakukan ibadah-ibadah yang lain. Sekiranya sebelum-sebelum ini kita sering sibuk dengan urusan keduniaan, maka Ramadhanlah bulan untuk kita mencari masa semaksimum mungkin untuk pelaburan saham kita di akhirat kelak.

Oleh itu, marilah kita sama-sama untuk mengikis tanggapan kita bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan berpesta kain dan pakaian, pesta juadah dan makanan, pesta barangan dan jualan murah. Ramadhan merupakan bulan ibadah, bulan Al-Qur’an, bulan untuk bersedekah, bulan yang dilipatkan ganjaran pahala, dan dulan yang di dalamnya terdapat Lailatul Qadr, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Sebagai peringatan dan nasihat terutamanya buat diri penulis serta muslimin muslimat, sahabat-sahabat sekalian, marilah kita sama-sama merebut tawaran yang telah disediakan oleh Allah SWT ini. Sentiasalah membelek al-Qur’an dan tafsirnya, kuatkan hati-hati kita untuk ke masjid-masjid dan surau-surau untuk menunaikan solat berjemaah, tarawih dan sebagainya. Sambutlah Ramadhan dengan penuh keimanan dah sentiasa mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan pahala maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Hadis Riwayat al-Bukhari)

Wallahu a’lam.

-9 RAMADHAN 1432 H BERSAMAAN 9 OGOS 2011-

OLEH:
MUHAMAD IZHAM BIN MUHAMAD JAMIL (ABU MUKHLIS)
SAINS KAJIHAYAT/2

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...