Sunday, May 22

UCAPAN TAKZIAH DARIPADA PIMPINAN PMIUSM KEPADA ANAK YATIM DAN MANGSA TANAH RUNTUH


Pada 21 Mei 2011 (Sabtu) telah berlaku kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, Selangor pada jam 2.30 petang. Operasi  yang dijalankan oleh pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat. Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi ini dengan penemuan mangsa terakhir pada pukul 5.05 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Azman Ayob ketika memberikan perkembangan terkini mengenai insiden itu berkata mangsa yang terkorban dalam tragedi itu ialah 16 orang manakala sembilan mangsa yang terperangkap selamat. Mangsa yang meninggal dunia di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat. Supt Azman berkata lokasi mangsa yang berada berdekatan antara satu sama lain membantu memudahkan usaha mencari dan menyelamat.

Pasukan mencari dan menyelamat daripada pelbagai agensi bantuan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM), pasukan Smart, tentera 4 Divisyen, Pasukan Gerakan Am (PGA), St John dan Yayasan Amal.


 Menurut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kerajaan negeri juga telah menghantar Misi Bantuan Kemanusiaan Selangor ke tempat kejadian untuk memberi bantuan segera kepada mangsa yang terselamat dan ahli keluarga mereka. Beliau berjanji akan menyumbangkan RM1,000 kepada setiap keluarga yang anak mereka terkorban dalam kejadian ini sebagai tanda prihatin dengan nasib malang yang tidak dijangka ini. Beliau turut mengarahkan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk memastikan kebajikan mereka yang terselamat dijaga.


Sementara itu, Datuk Seri Shahrizat Jalil menyatakan bahawa Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Kampung Gahal, Hulu Langat tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau mana-mana agensi di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Datuk Seri Shahrizat berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan agensi dan kementerian berkaitan dalam masa terdekat untuk mengetahui status rumah anak yatim itu.



Mengulas mengenai tragedi yang berlaku ini, Yang Di-Pertua PMIUSM, Saudara Nor Azam bin Mohamad Tamjis ketika dihubungi mengucapkan takziah kepada mangsa dan juga keluarga mangsa yang terlibat.


“Saya berharap mangsa yang terlibat bersabar terhadap ujian Allah ini dan saya yakin ramai orang akan menyumbang tenaga dan wang  ringgit bagi membantu mangsa dan rumah anak yatim agar kembali pulih." katanya.


Naib Yang Di-Pertua I (Hal Ehwal Siswi), Saudari Nor Atiqah binti Ahmad mengucapkan salam takziah kepada mangsa tragedi tanah runtuh.


“Sesungguhnya tiap yang hidup itu pasti akan merasai kematian, tidak kira walau bagaimanapun cara kematian itu datang, pasti ada sebab Allah jadikannnya. Saya mendoakan semoga roh mereka yang terkorban ditempatkan bersama orang-orang yang beramal soleh,”.

“Saya mengucap takziah kepada mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Hulu Langat, Selangor. Kita melihat ini adalah satu ujian daripada Allah S.W.T kepada hamba-hambaNya. Ucapan terima kasih juga kepada anggota-anggota penyelamat dan juga orang ramai yang telah berusaha untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tersebut. Kita semua bersimpati dengan kejadian yang berlaku. Dengan ini, sama-samalah kita berdoa supaya dipermudahkan segala usaha menyelamat dan juga semoga semua mangsa tabah dan sabar dengan ujian ini.” respon Naib Yang Di-Pertua II PMIUSM, Muhammad Afiq bin Roshide.

Oleh itu, mahasiswa-mahasiswi sekalian, marilah kita bermuhasabah atas kejadian tanah runtuh yang menimpa warga Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa ini. Dalam sepotong hadis, Rasulullah s.a.w bersabda, mafhumnya:


‘Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan muka. "Ada yang bertanya kepada Rasulullah; "Wahai Rasulullah bila hal ini terjadi?" Baginda menjawab; "Apabila telah bermaharajalela bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi-penyanyi wanita’. Hadis Riwayat Ibnu Majah.


Wallahua’lam. – PMIUSM

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...