Tuesday, May 17

PERUTUSAN NAIB YANG DI-PERTUA PMIUSM 2011/2012

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum wbt dan salam mahabbah pengikat ukhwah kesucian jiwa yang mendambakan kasih dan rahmat daripada Tuhannya. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para keluarga Baginda serta para sahabat yang gigih menjulang Islam tatkala diancam pelbagai mehnah dan tribulasi oleh pihak musuh. Ayuh merafakkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana atas limpah kurnia-Nya dapat kita menghirup kenikmatan iman dan Islam serta masih diberikan hidayah merasai kelazatan hidup bertuhan berpaksikan anugerah wahyu yang diturunkan kepada Nabi terdahulu.

            Saya kira masih tidak terlambat lagi untuk mengucapkan selamat bercuti dan selamat pulang ke kampung halaman kepada mahasiswa/i Universiti Sains Malaysia. Setelah bertungkus lumus berjuang di medan peperiksaan, kini tiba masanya untuk pulang berbakti kepada keluarga yang sedang menanti setia di rumah. Semoga kepulangan anda membawa seribu satu erti buat ibunda dan ayahanda di rumah. Tunaikan tanggungjawab sebagai anak serta gembirakan hati mereka di saat mereka masih ada di sisi. Kita selaku mahasiswa universiti diharapkan bertindak seiring dengan kebijaksanaan intelektual anugerah Tuhan. Moga resmi kehidupan kita diibaratkan seperti

“makin berisinya padi, makin tunduk ke bumi” bukan seperti lalang yang sentiasa meninggi diri mendongak ke langit.
Diharapkan ilmu yang tersemat di dada dapat digunakan sebaik mungkin serta diaplikasikan kepada masyarakat luar sesuai dengan matlamat universiti yang ingin melahirkan para siswazah yang memberi serta menyumbang kepada yang memerlukan. Kita datang daripada masyarakat, pulang juga kepada masyarakat. Manusia yang terbaik ialah manusia yang memberi manfaat kepada orang lain.

            Kepada rakan-rakan mahasiswi, kita punya agenda besar dalam merangka sistem kehidupan di dunia ini. Pepatah ada mengatakan

“tangan yang menghayun buaian bisa menggegar dunia”.

Hal ini terbukti melalui sirah serikandi Islam Sumayyah binti Khayyath, wanita Islam pertama yang syahid mempertahan keimanannya daripada dirobek musuh Islam. Contoh lain seperti Siti Asiah, isteri firaun. Kelembutan serta pujuk rayu Asiah mampu meleburkan ego seorang suami yang akhirnya menyelamatkan Nabi Musa daripada dibunuh oleh suaminya sendiri. Kasih sayang yang diberikan Asiah kepada Nabi Musa a.s berjaya menjadikan Nabi Musa a.s sebagai seorang yang hebat. Bahkan Asiah sanggup mengorbankan dirinya diseksa dan dibunuh firaun atas tekad imannya yang ingin turut sama menyokong perjuangan Nabi Musa a.s. Kehebatan wanita turut dirakam melalui peristiwa hijrah Nabi SAW iaitu penglibatan Asma’, anak Abu Bakar As-Siddiq. Asma’ bertindak berani menghantar makanan kepada Nabi SAW dan ayahandanya di gua Thur. Asma’ sedar bahaya yang akan menimpanya sama ada mati dibunuh atau diseksa pihak Quraisy. Pada saat ini, Asma’ sedang sarat mengandung dan risiko untuk melahirkan anak adalah tinggi. Boleh jadi Asma’ keguguran atau mati melahirkan anak sewaktu perjalanan. Walau bagaimanapun, ia bukan satu penghalang untuk Asma’ menggalas tugas membantu hijrah Nabi.

            Kekentalan dan kekuatan iman ketiga-tiga serikandi ini memberikan kesedaran kita mahasiswi betapa kita punya peranan yang besar untuk meneroka dan turut sama merangka agenda kehidupan masa hadapan. Tuaian yang baik datangnya daripada benih yang baik. Hal ini dapat dijelaskan melalui kisah-kisah terdahulu. Serikandi-serikandi Islam yang disebutkan tadi merupakan anak orang-orang yang soleh dan solehah. Bila mana, ibu dan bapa terpelihara diri dan imannya, maka anak yang dilahirkan nanti insyaALLAH akan mencontohi sifat ibu dan bapanya. Kita golongan mahasiswi seharusnya bertindak kritis dan praktis dalam merencana kehidupan ini. Kita perlu terlebih dahulu berubah untuk menjadi yang terbaik untuk generasi akan datang. Sekiranya kita pernah mengalami episod hitam dalam diri, ia tidak bermakna kita akan gagal untuk mencorak generasi serta kehidupan masa hadapan kerana ALLAH itu Maha Adil, Maha Pengasih lagi Penyayang. Sekiranya terdetik dalam hati untuk menjadi baik, serta memiliki segala yang baik, ayuh sahabat mahasiswi, teruskan niat anda dan zahirkan niat tersebut.

“ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri yang ingin mengubahnya”.

 Berpeganglah pada kalimah ini dan yakinlah kasih sayang ALLAH bersama dengan kita.

            Untuk memiliki segala ini, kita perlu melakukan satu transformasi yang sihat. Bermula dengan niat, diikuti dengan perbuatan. Selaku seorang wanita, perbaiki serta perhalusi akhlak kita sebagai wanita. Hal ini kerana akhlak mempamerkan peribadi seseorang. Saya yakin lelaki di luar sana ingin memiliki wanita yang memelihara kehormatan diri serta akhlaknya. Oleh itu, sahabat mahasiswiku ayuh persiapkan diri anda untuk mendapatkan redha ALLAH. Setelah akhlak diperhalusi, lihat pada pakaian kita. Sudah cukup menepati syariat ALLAH kah? Setiap apa yang ada pada wanita itu ialah fitnah. Sekiranya kita tidak menjaga maka fitnah yang lebih besar akan terjadi. Andai kata, kita bijak memelihara, fitnah itu tidak akan terjadi.

“Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sahabat-sahabat mahasiswi sekalian,

            Jadi moleklah kiranya, cuti yang panjang ini kita isikan dengan pengisian-pengisian yang mendidik rohani, diri dan jasmani. Pelajari ilmu-ilmu pengurusan diri serta ilmu-ilmu agama untuk mempersiap diri pada masa hadapan. Kini, wanita juga diberikan kepercayaan untuk memimpin sesuai dengan bidang dan kemahirannya. Selaku mahasiswi yang bakal pulang serta berkhidmat kepada masyarakat dan Negara satu hari nanti, rebut serta hargailah peluang yang ada untuk memperbaiki kelemahan diri. Usah sia-siakan harapan serta kepercayaan masyarakat kepada kita. Kepercayaan masyarakat akan lebih utuh kiranya kita melengkapkan diri dengan elemen-elemen penguat serta magnetik seperti memiliki peribadi yang sopan, berpewatakan kemas dan menutup aurat dan akhlak yang mulia. Hal ini sememangnya telah diajarkan dalam agama secara terperinci. Ia berbalik kepada kita sama ada patuh atau tidak pada saranan agama. Solusinya, kembalilah semula kepada ajaran agama yang menitikberatkan konsep “amar makruf nahi mungkar”.  

            Justeru itu, saya suka untuk mengingatkan kembali kepada sahabat-sahabat mahasiswi sekalian, ingatlah kita berupaya menggoncang dunia andai jambatan diri dihubung sentiasa dengan ALLAH SWT. Sekiranya tali hubungan dengan ALLAH dipelihara kemas, insyaALLAH andalah wanita yang hebat di sisi Tuhan.

"We Love, We Care"

Nor Atiqah Ahmad
Naib Yang Di-Pertua
Persatuan Mahasiswa Islam
Universiti Sains Malaysia
Sidang Akademik 2011/2012

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...