Monday, May 30

AKU, 3 GOL BARCA DAN SUBAIDAH SG.DUA

Artikel Oleh :

YDP Persatuan Mahasiswa Islam USM
Nor Azam Mohamad Tamjis
B. Sc. Ed.
School Of Educational StudiesUniversiti Sains Malaysia






29 Mei 2011, jam menunjukkan pukul 3.10 pagi. Seawal pagi-pagi buta ini, kebiasaannya kedai mamak 24-jam pasti kurang pelanggan, jalan raya lengang dan lorong-lorong dipaut sepi. Namun pagi ini gegak gempita sorakan penyokong Manchester United yang berjersi putih pada pagi ini mengejutkan aku. Ketika itu aku kelewatan kira-kira 20 minit dari permulaan perlawanan baru sahaja sampai di hadapan Restoran Subaidah Sg. Dua. 

Fenomena UEFA Champions League (UCL) begitu mengujakan seluruh dunia, begitu juga di sini, apa lagi ‘team’ yang bermain pada malam ini bukan calang-calang, Barcelona (Barca) selaku Juara Spanish Premier League dan juga Manchester United (MU) selaku Juara EPL bagi tahun 2011 ini. Melihat keadaan restoran yang cukup sesak, aku dan rakan yang turut serta beralih ‘selera’ ke beberapa restoran lain. Hampa, semua restoran yang membuka siaran ESPN tersebut dipenuhi pelanggan dengan sesak sekali. Kami merupakan peminat setia Barca cukup risau dengan momentum MU yang menjaringkan gol sebentar tadi. Namun, semua perasaan tersebut mulai reda sehinggalah kami berjaya menemui ‘port baik’ di tepi jalan sebuah restoran untuk melihat siaran langsung ‘final’ UCL tersebut. Setelah mengambil posisi yang agak baik, kami menonton perlawanan yang sangat rancak tersebut. Barca yang diikat 1-1 dengan MU ketika itu kelihatan cukup bertenaga menyerang untuk menyumbat gol di gawang MU. Pelbagai strategi yang kreatif disempurnakan dengan teknik ‘passing’ yang pantas dan bersahaja daripada ‘player’ Barca. MU yang ketika awal permainan kelihatan cergas, kini lesu hampir keseluruhan separuh masa kedua. Hasil daripada kesempurnaan permainan Barca, 2 gol berjaya disumbat ke gawang MU menjadikan mereka juara berganda pada malam itu. Barca mengekalkan kejuaraan UCL dengan mengalahkan MU 3-1. Antara penjaring gol bagi Barca ialah P.Rodriguez(Pedro), Lionel Messi dan David Villa. Rooney pula penjaring tunggal bagi MU pada perlawanan ini. 

LIVE THE LESSON OR LIVE THE PASSION

Sepanjang penelitian terhadap gelagat kebanyakan peminat yang sedang teruja menonton siaran langsung perlawanan final tersebut, saya simpulkan kepada dua perkara yang perlu disedarkan ke dalam diri kita. Melihat perlawanan antara Barca dan MU pada pagi ini sekadar pelengkap hiburan hari ini atau sebagai pengajaran dalam hidup? Kalau dalam siaran ESPN selalu diwar-warkan satu ‘trademark’ iaitu ‘live the passion’. Dalam penulisan saya pula ingin menambah kita mesti ‘live the lesson’ pula. Apakah itu ‘live the lesson’ dan ‘live the passion’? ‘Live the lesson’ bermaksud kita menghidupkan pengajaran sesuatu perkara itu dengan cara kita sendiri praktikkan dalam kehidupan kita dan juga kongsikan (share) kepada orang lain. ‘Live the passion’ pula bermaksud kita hidupkan keghairahan diri kita untuk meraikan sesuatu yang kita lakukan.  

Hebatnya perlawanan bola pada awal pagi ini kerana dapat menyatukan pelbagai orang dari pelbagai latar belakang bangsa, agama dan taraf sosial. Namun begitu, saya kurang gembira kerana kesatuan pada awal pagi ini adalah kesatuan yang sangat rapuh. Kerana apa? Satu-satunya kerana kesatuan pada keinginan untuk ‘live the passion’, hidupkan keghairahan dalam diri masing-masing. Sedangkan ghairah ini satu perasaan dan  akan berakhir selain boleh menutup pandangan yang hakiki mengenai pengajaran sebenar di sebalik sesuatu perkara.

Ada yang sangat ghairah menonton perlawanan :
“Best la match pagi tadi, gler r Barca mmg tip-top”, ujar seorang penyokong Barca.
MU kalah, tapi cantik la tengok gol-gol match tadi, berbaloi la membuta pagi-pagi buta ni”, luah seorang peminat MU.

Ada juga yang hampir mencetuskan ketegangan antara penyokong pagi tadi :
Aku tak puas hati la dengan mamat penyokong Barca kat hujung tu, kalau suka sangat Barca menang pun janganlah sampai kutuk Rooney botak tengah”, seorang penyokong MU meluahkan kekesalannya.

Apakah kesudahannya jika penghayatan pada ‘live the passion? Paling kurang pun, bangun pagi subuh gajah, kena leter dengan mak atau isteri, mata merah ketika kerja(di Kelantan, Kedah dan Terengganu) dan berbual kosong di warung mengenai kemenagan Barca(maksimum bertahan 2 hari). Hal ini melalui pemerhatian saya pada awal pagi ini ketika ‘khusyuk’ menonton perlawanan tersebut. Saya menilai, betapa penghayatan kepada ‘live the passion’ menimbulkan suatu kesatuan yang rapuh dan juga kesan yang tidak memberi impak positif dalam jangka masa yang lama. Hal ini kerana keghairahan tersebut hanya untuk hiburan, bukan untuk sesuatu yang lebih bernilai pada diri masing-masing iaitu ambil pengajaran. Lebih buruk lagi, mentaliti sebegini boleh mencetuskan perkara-perkara negatif untuk berlaku. Ya! Boleh sahaja untuk menonton perlawanan bola dan saya juga ingin mengajak menonton menggunakan penghayatan ‘live the lesson’.

‘Live The Lesson’

Justeru, penghayatan pada ‘live the lesson’ membantu kita mengambil isi penting sesuatu perkara dan dapat dipraktikkan dalam kehidupan serta berkesan buat jangka masa yang panjang. Ramai yang boleh mencungkil pengajaran, tetapi tidak ramai yang boleh mengamalkan pengajaran yang ditemui, juga lebih sedikit orang yang istiqamah(consistent) dalam mempraktikkan pengajaran yang diperolehi. ‘Live the lesson’ bukan sahaja digunakan dalam menonton perlawanan bola sepak, bahkan perlu digunakan dalam pandangan kehidupan kita. Apakah pengajaran yang kita peroleh sepanjang waktu menonton perlawanan awal pagi tadi? 

  1. Semangat kerjasama dan kepercayaan. (Teamwork and trusting each other)
Kerjasama yang ditunjukkan melalui tiap-tiap pemain yang sentiasa menghantar bola kepada rakan-rakan sepasukan mereka. Mereka percaya rakan-rakan sepasukan boleh menjaga bola yang dihantar dengan baik sekali. Hal ini disebabkan kepercayaan yang berjaya dibina terhadap satu sama lain. Barca menguasai lebih 65% ‘ball posession’ sepanjang perlawanan, bermaksud mereka menguasai perlawanan. Tidak hairanlah sekiranya Barca mampu melancarkan serangan bertali arus bila-bila masa ke kubu MU.


"Dan tolong menolonglah kamu dalam mengerjakan kebajikan…
(Al-Ma'idah : 2)

Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa tolong-menolong dan bekerjasama satu sama lain dalam hal kebaikan. Diceritakan dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w bahawa pelbagai kisah mengenai tolong-menolong dan kerjasama. Semasa penghijrahan umat Islam ke Yathrib, golongan Muhajirin diberi pertolongan dan kerjasama oleh golongan Ansar. Nabi Muhammad s.a.w membina ukhwah sesama Muhajirin dan Ansar lantas menanamkan sifat kepercayan dalam diri mereka kepada satu sama lain. Mereka bersama-sama membina Islam di Yathrib yang kemudiannya ditukar kepada Madinah Al-Munawwarah yang menyaksikan Kerajaan Islam pertama di dunia tertubuh di sana.

  1. Bijak dalam berstrategi.
Semua pemain daripada pasukan Barca mahupun MU sebenarnya  bijak. Namun begitu, dalam perlawanan ini membuktikan dalam kalangan pemain yang bijak ini, siapa yang lebih bijak mengangkat pasukan yang bijak dalam berstrategi. Strategi Barca yang menguasai ‘ball posession’ dan juga menguasai bahagian tengah, sayap kanan dan sayap kiri padang mempermudah mereka melancarkan serangan ke bek MU. MU juga kadang-kala menyengat dengan ‘counter-attack’ mereka. Namun begitu, strategi tersebut kurang bijak dalam menghadapi bek Barca yang cukup ampuh dibarisi Pique, Puyol, Abidal dan juga Daniel Alves.

Dalam sirah Nabi Muhammad s.a.w, kita sudah dikenalkan kisah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ke Yathrib. Nabi Muhammad s.a.w yang ketika itu tahu bahawa dirinya sedang diburu (wanted list) oleh pemuka-pemuka Quraisy dan bakal dibunuh dalam perancangan mereka. Nabi Muhammad s.a.w sangat berstrategi dalam memastikan survival Islam ketika itu yang dipimpin Baginda sendiri. Baginda faham bahawa sekiranya dirinya terkorban akibat tidak berusaha dan berstrategi, akan memberi impak buruk pada survival Islam. Para sahabat telah berhimpun di Yathrib, menantikan ketibaan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda merencana beberapa sosok tokoh yang membantu melancarkan strategi Baginda untuk berhijrah ke Yathrib. Abu Bakar As-Siddiq sebagai ‘partner’ yang siap sedia, Ali bin Abu Talib menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w, Asma’ bt Abu Bakar yang sarat mengandung sebagai penghantar makanan dan Amru bin Fuhairah sebagai penghilang jejak. Boleh sahaja Baginda Rasulullah s.a.w menggunakan mukjizat bagi menyelamatkan dirinya untuk sampai ke Yathrib. Namun begitu, kisah penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w ini menjadi suruhan bagi umat Islam untuk menjadi strategis dalam kehidupan.

  1. Berdisiplin
Kedua-dua pasukan tetap dalam disiplin permainan bola sepak walaupun dalam keadaan yang cukup penuh dengan provokasi, boleh sahaja mereka bergaduh. Namun begitu, profesionalisme pemain Barca dan MU yang bertaraf ‘World Class’ menghindarkan daripada berlakunya perkara tersebut.
Profesionalisme sebagai seorang Muslim mengkehendaki kita menjadi individu yang berdisiplin. Syariat Islam menyediakan suatu jalan hidup yang penuh berdisiplin bagi Muslim. Sebagai contoh, solat fardhu mendisiplinkan kita untuk menjadi seorang yang menepati masa melalui ketepatan solat di awal waktu, menunaikan janji dan kata-kata dalam bacaan solat yang difahami, fokus dalam pekerjaan melalui kekhusyukan solat dan lain-lain lagi. Aturan kehidupan sebegini menjamin kesejahteraan hidup seseorang manusia itu.

“Azam, apa yang kau mengelamun ni. Tengok tv tapi macam melayang semacam je. Barca dah 3 gol weh”, tegur Afiq memotong lamunan.

“Aa? Aku tengah tengoklah ni”, balasku ringkas.

Dalam hatiku berbisik, jom teruskan ‘Live the lesson’!

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...