Muhammad Nuruddin Bashah
Setiausaha TERAS Cawangan Perak
http://munawwarah.blogdrive.com/
Banyak media Eropah dan Amerika Syarikat kini berbincang soal timbunan defisit belanjawan negara-negara besar antarabangsa. Malah istilah baru iaitu preskripsi ekonomi mulai kedengaran dibincangkan secara jujur dan terbuka. Hal ini jelas menunjukkan keresahan dan kegawatan sebenar ekonomi dunia tanpa mampu diselindungi lagi.
Berbincang soal preskripsi ekonomi, secara umum kita tidak boleh melarikan diri daripada menyentuh soal mencari alternatif baru, atau menampilkan model ekonomi baru untuk diikuti. Model baru bermaksud keluar dari rangka kerja lama dan semestinya bersifat ‘penyelamat’ dan rahmat untuk negara dan rakyat amnya.
Dunia kini sudah dikenali ramai sebagai pengikut setia model ekonomi AS. Malah sistem utama ekonomi iaitu matawang juga dipelopori oleh dolar Amerika walaupun ada pengecualian kepada beberapa negara besar lain. Dunia dwipolar telah bertukar kepada unipolar sejak kejatuhan Warsaw Pact 1991, dan sejak itu bermula sudah penguasaan hampir 100% AS terhadap ekonomi dunia.
Menurut Zulkifli Salleh (Dewan Ekonomi, November 2009), dunia kini mulai giat merenung dan bekerja ke arah membina model ekonomi baru apabila melihat kegagalan ekonomi yang ditunjangi oleh Amerika Syarikat. Kegagalan ini terserlah apabila beberapa negara besar dunia diramalkan merudum tahap defisit pada tahun 2014. Berdasarkan ramalan, hutang kasar kepada KDNK pda tahun 2014 bagi Amerika Syarikat ialah 106.7 %, Australia 16.6%, Britain 87.8% manakala Jepun sebanyak 234.2%. Walaupun China mengalami pertumbuhan ekonomi besar sebanyak 7.6% pada tahun 2010, namun begitu Bank Dunia menjelaskan defisit belanjawan China adalah sebanyak 4.9% di mana ia meningkat 3% daripaada ramalan asal China sendiri.
Walaupun tanpa menunggu tahun 2014, defisit belanjawan AS telah meningkat sehingga Ben Bernanke telah memberi amaran kepada Kongres dan Rumah Putih berkenaan hutang negara yang kian menimbun jika sikap meminjam AS berterusan untuk menyelesaikan masalah secara jangka pendek melalui stimulus berterusan. Keseimbangan fiskal dan percaya dengan kemampanannya adalah formula untuk menyelamatkan ekonomi AS menurut Bernanke yang juga merupakan bekas penasihat majlis Ekonomi Amerika semasa pentadbiran G.W Bush.
Mari bersama perhatikan bagaimana model ini dapat menyelamatkan ekonomi AS sebelum ini. Selepas Kemelesetan Besar pada 1930-an, AS cuba memperkukuhkan ekonominya dengan berbelanja secara berlebihan atau memotong cukai agar para pengguna berbelanja lebih juga, serta memupuk pertumbuhan pesat dalam bekalan wang yang turut menggalakkan peningkatan perbelanjaan. Pada 1970-an, masalah ekonomi akibat kerugian perang Vietnam, kenaikan harga besar terutamanya bagi bekalan tenaga, menyebabkan kegusaran akan berlakunya inflasi. Oleh itu, kepimpinan kerajaan memberi tumpuan kepada pengawalan inflasi dengan mengehadkan perbelanjaan.
Cadangan-cadangan langkah terbaik untuk menstabilkan ekonomi banyak berubah dari 1960-an hingga 1990-an. Pada 1960-an, kerajaan AS amat mempercayai dasar fiskal dalam bentuk manipulasi pendapatan kerajaan untuk mempengaruhi ekonomi. Disebabkan perbelanjaan dan cukai dikawal oleh presiden dan Kongres Amerika Syarikat, pegawai-pegawai terpilih ini memainkan peranan utama dalam menentukan hala tuju ekonomi negara. Keyakinan terhadap dasar fiskal sebagai pengawal kegiatan ekonomi mudah terjejas oleh inflasi tinggi, pengangguran tinggi dan kurangan (defisit) belanjawan kerajaan yang besar, sehingga diatasi oleh dasar kewangan.
Setakat maklumat tahun daripada Monthly Budget Review yang boleh ditinjau di laman www.cbo.gov, hutang AS sendiri adalah berjumlah $12 trillion (November 2009) iaitu 83% daripada KDNK. Hasil negara pula hanya $2.106 trilion (2009) berbanding perbelanjaan negara sebanyak $3.515 trilion (2009)
Model ekonomi bebas Amerika juga ternyata gagal apabila sistem wang kertas fiatnya juga kian malap. Dahulu selepas Perang Vietnam, AS telah menggunakan preskripsi baru ekonominya untuk keluar dari tambatan emas kerana inflasi tanpa kawalan semasa perang. Akan tetapi usaha ini hanya menyaksikan pula kebimbangan negara lain terhadap keupayaan AS membaiki defisit belanjawan yang kian bertambah sejak 1970an lagi. Ia juga menyaksikan kemerosotan sandaran emas pada Dolar AS daripada 55% kepada 22% sahaja. Terciptanya wang fiat (kertas) sejak Amerika keluar daripada sistem Bretton Woods adalah untuk mengembalikan sokongan dunia kepada Dolar AS pada waktu itu. Namun begitu preskripsi ekonomi ini hanya mengakibatkan ketidaktentuan dan perubahan mendadak kadar pertukaran mata wang. Tambahan pula ia mencacatkan kewangan dunia serta menambahkan ketidakstabilan terhadap sistem pasaran bebas yang sudah sedia kelam kabut.
Jika AS percaya dengan preskripsi model ekonomi berasaskan wang kertas fiat, China telah terlebih awal menyedari kelemahan dan kegagalan akibat menggunakan mata wang fiat yang tidak bersandarkan emas. Zaman Dinasti Tang 800M telah mengalami pengalaman inflasi teruk akibat pengeluaran wang yang begitu mudah.
Ternyata keputusan AS untuk keluar daripada tambatan emas adalah model yang salah dan kini ia semakin diperbincangkan. Lantaran itu dunia Islam kini mula berbahas asal kekuatan ekonomi dunia sejak zaman berzaman iaitu emas. Emas yang merupakan logam tidak reaktif, amat kekal sifatnya, tiada susut nilai malah ia telah berabad lamanya menjadi simbol ekonomi ketamadunana dunia. Cuma AS apabila menjuarai matawang kertas sejak era Presiden Nixon 1971, mulai menampilkan minyak sebagai pengganti emas, malah digelar pula sebagai emas hitam. Perang demi perang yang dicetus oleh AS dan sekutunya ternyata untuk mengheret dunia bersama bergelut dalam dunia rakus petroleum.
Model ekonomi kapitalis tradisional telah lama meletakkan penilaian kekuatan ekonomi negara melalui tahap KDNK masing-masing. Lantaran itu cetusan dunia Eropah untuk keluar dari perlumbaan KDNK cuba dipelopori oleh Perdana Menteri Britain Blair dan Presiden Perancis iaitu Nocholas Sarkozy. Sarkozy kian lantang berbincang cara untuk menggantikan US Dolar sebagai mata wang rujukan dunia. Perancis yang sememangnya ketinggalan dalam pertumbuhan KDNK sejak tahun 1982 hanya beroleh 2.1% setahun berbanding AS sebanyak 3.3%, kini ingin menjuarai kaedah model baru ekonomi yanag membelakangkan KDNK sebagai indikator kekuatan ekonomi negara. Sarkozy juga tidak percaya dengan kaedah berjimat cermat untuk mengawal defisit tahunannya, serta bertindak untuk tidak meningkatkan cukai. Beliau percaya dengan teknik perlaburan berterusan kerana yakin dengan kemampanana jangka panjang. Secara umumnya teknik dan model ini amat berisiko dan ternyata beliau berjiwa besar untuk mencipta pemikiran tengah sebegini.
Terdapat juga pemikiran model ekonomi yang yakin bahawa defisit belanjawan dan pertumbuhan malap KDNK hanya perlu diatasi dengan ‘mendiamkan diri’ tanpa perlukan stimulus tertentu. Pemikiran ini antaranya didokongi oleh John Tamany editor Real Clear Markets yang percaya bahawa krisis dan defisit akan hilang dengan sendirinya. Lord Thomas Macaulay ahli sejarah British abad ke-19 berpendapat jika defisit atau kemurungan ekonomi berlaku, selalunya kemuflisan akan diramalkan berlaku. Namun saban dekad yang berlaku masih tinggal defisit akan tetapi tiada rekod muflis dicatat dalam sejarah.
Obama selaku ketua Rumah Putih juga percaya dengan beralih kepada langkah berjimat cermat dalam masa yang terdekat hanya akan membantutkan proses pemulihan. Model AS setakat sekarang adalah meneruskan proses rangsangan ekonomi selain meningkatkan defisit dari tahun ke tahun. Model ekonomi 1937 telah menunjukkan bukti bahawa berjimat dalam masa yang terlalu singkat akan mengakibatkan kemelesetan dalam kemelesetan pada tahun tersebut.
Keluaran dalam negara kasar (KDNK) sesebuah negara adalah satu cara untuk mengukur ekonomi nasional. KDNK bermaksud jumlah nilai pasaran keseluruhan barang dan perkhidmatan terakhir yang dikeluarkan dalam sesebuah negara pada masa tertentu (lazimnya dalam tahun kalendar). Jika umat Islam bersetuju untuk menerima model Sarkozy yang menolak KDNK sebagai kayu ukur ekonomi negara, umat Islam perlu kemukakan pula model ekonomi Islam yang menjadi alternatif kepada keresahan dunia kini. Malah isu kemampanan fiskal yang selalu diperdebatkan perlu dinilai dari aspek ekonomi Islam.
Kini umat Islam perlu optimis untuk memiliki model ekonomi baru berteraskan Islam untuk antarabangsa. Model ekonomi berteraskan Islam antarabangsa perlu berasaskan prinsip menolak keraguan dan mengembalikan keyakinan dan kepercayaan sesama masyarakat. Instrumen yang sangat penting dalam perekonomian Islam adalah sistem mata wang dinar dan dirham. Hal ini mengingat bahawa sistem moneteri dalam Islam adalah berasaskan emas dan perak. Diterapkannya sistem perdagangan dengan menggunakan emas dan perak dalam mata wang dinar (Gold dinar) dan dirham dalam kekhilafahan Islam telah membuktikan terkawalnya angka inflasi.
Inflasi sesungguhnya merupakan suatu kemudaratan ekonomi dan paranoid bagi setiap pemikir model ekonomi lama mahupun model baru. Hal ini adalah disebabkan dengan terjadinya inflasi, telah berlaku sebuah fenomena yang signifikan terhadap meningkatnya kemiskinan masyarakat. Dengan demikian, maka penerapan sistem mata wang dinar dan dirham secara luas, akan turut mengurangi tahap inflasi yang selama ini terus membayangi sistem perekonomian semua negara. Ini adalah akibat penerapan sistem ekonomi konvensional (kapitalisme) yang menggunakan wang kertas (fiat money) yang tidak terkawal. Wang kertas inilah riba yang selama ini beredar dalam dunia antarabangsa dan tidak terkecuali dunia Islam.
Islam sangat mencela ekonomi berasaskan riba dan menghalalkan jual beli nyata yang jauh dari syak dan keraguan. Hal ini dengan tegas difirmankan Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 275 yang berbunyi Allah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Hal ini memerlukan umat Islam kembali berkiblatkan dinar Islam sebagai teras model ekonomi Islam dunia.
Dalam ekonomi Islam, jumlah wang yang beredar bukanlah pembolehubah yang dapat ditentukan begitu saja oleh pemerintah sebagai pembolehubah eksogen. Dalam ekonomi Islam, jumlah wang yang beredar ditentukan di dalam perekonomian sebagai pembolehubah endogen, iaitu ditentukan kerana banyaknya permintaan wang di sektor komoditi nyata atau dengan kata lain, jumlah wang yang beredar sama banyaknya dengan nilai barang dan perkhidmatan dalam perekonomian. Tiada kes wang lebih daripada komoditi atau komoditi melebihi wang yang dikeluarkan.
Dalam ekonomi Islam, sektor kewangan mengikuti pertumbuhan sektor barang nyata (komoditi), inilah perbezaan konsep ekonomi Islam dengan ekonomi konvensional, iaitu ekonomi konvensional, jelas memisahkan antara sektor kewangan dan sektor barang nyata. Akibat pemisahan itu, ekonomi dunia dilanda krisis. Hal ini kerana, ahli ekonomi tidak lagi menggunakan wang untuk kepentingan jual beli material, tetapi untuk kepentingan spekulasi mata wang. Spekulasi inilah yang dapat menggoncang ekonomi berbagai negara, khususnya negara yang kondisi politiknya tidak stabil. Akibat spekulasi itu, jumlah wang yang beredar sangat tidak seimbang dengan jumlah komoditi sebenar.
Penasihat kewangan Barat, Dan Taylor, mempunyai keyakinan bahawa sistem kewangan dan perbankan Islam mempunyai keunggulan sistem yang lebih baik berbanding dengan sistem kewangan Barat yang berasaskan riba. Krisis kewangan yang sedang dihadapai oleh negara-negara Barat seperti AS dan Britain memberikan kekuatan secara langsung dan tidak langsung kepada sistem perbankan Islam yang berdasarkan syariah.
Sistem kapitalis yang saat ini banyak diamalkan telah menunjukkan kegagalan dengan mengakibatkan terjadinya krisis ekonomi. Sistem ekonomi Islam sebagai pilihan alternatif mulai dikaji untuk diterapkan sebagai sistem perekonomian yang baru. Sistem ekonomi Islam mempunyai perbezaan yang mendasar dengan sistem ekonomi yang lain, di mana dalam sistem ekonomi Islam terdapat nilai moral dan nilai ibadah dalam setiap kegiatannya.
Prinsip ekonomi Islam adalah, kebebasan individu, hak terhadap harta, kesamaan sosial, seselamatan sosial, larangan menumpuk kekayaan, larangan terhadap institusi anti-sosial serta kebajikan individu dalam masyarakat.
Dasar kemampanan fiskal adalah antara model ekonomi AS dan dunia barat umumnya. Dasar pengurusan fiskal secara umumnya difaham sebagai langkah-langkah pemerintah untuk membuat perubahan ekonomi. Perubahan dalam sistem cukai atau perbelanjaannya dengan maksud untuk mangatasi masalah-masalah ekonomi yang dihadapi (Sukirno, 1995:170).
Dasar fiskal dalam model ekonomi berteraskan Islam dijalankan bertujuan mengutip hasil negara dan membelanjakan hasil tersebut untuk memaksimumkan kebajikan ekonomi dan kebajikan rohani rakyatnya. Kebajikan rohani merupakan kebajikan yang paling utama dalam sesebuah negara Islam disamping kebajikan ekonomi. Gabungan kedua-dua kebajikan ini akan melahirkan Al-Falah iaitu kejayaan di dunia dan akhirat.
Nik Mustafa Nik Hasan (IKIM 2009) percaya bahawa model ekonomi Islam juga optimis dengan dasar kemampanan fiskal melalui syariat zakat untuk mengurangkan defisit belanjawan sekaligus memperkasakan ekonomi. Melalui perlaksanaan zakat, semangatnya akan menjadi panduan kepada pemerintah dalam menggubal dasar fiskal negara. Dasar fiskal dan kewangan yang mantap, akan menghala kepada kestabilan ekonomi (mencapai guna tenaga penuh, kos sara hidup yang rendah dan sebagainya) dan pengaliran harta secara teratur dan berkesan akan tercapai. Kejayaan tersebut membolehkan negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan. Di samping itu kerajaan akan dapat meningkat jumlah tabungan dan pelaburan dalam ekonomi. Ia juga akan meningkat paras keseluruhan kepenggunaan negara hasil daripada kemantapan prestasi ekonomi yang disertai dengan keadilan dalam pengagihan kekayaan dan pendapatan.
Dasar fiskal Islam juga menggalakkan pengeluaran untuk keperluan asasi rakyat. Jika model ekonomi baru ingin dilaksanakan, pasti nilai Islam perlu ditambahkan iaitu menjadikan negara sebagai takungan rahmat dan kemakmuran kepada rakyat melalui pengeluaran yang optima.
Sesungguhnya setiap umat mendapat fitnah dan fitnah umat itu adalah harta. ( hadis Riwayat Tarmizi)
Lantaran itu harta perlu diurus dengan baik kerana ia adalah arahan agama islam.
Dalam Islam, faktor peningkatan pengeluaran tidak hanya berdasarkan pada proses perubahan dalam negara yang didesak oleh banyak kekuatan berasaskan kewangan / monetization, tenaga kerja yang murah, tanah dan modal yang mencukupi, tetapi juga disebabkan kehendak syariat.
Dalam ekonomi Islam, globalisasi merupakan antara amalan Islam. Rasulullah telah menjadi pedagang antarabangsa sejak usia remaja walaupun pada skala yang kecil. Ketika berusia belasan tahun, dia telah berdagang ke Syam , Yaman, dan beberapa negara di kawasan Teluk sekarang. Sejak awal kekuasaannya, umat Islam menjalin hubungan bisnes dengan China, India, Persi, dan Rom. Bahkan hanya dua abad kemudian (abad kelapan), para pedagang Islam telah mencapai Eropah Utara.
Di zaman Nabi Muhammad jarang sekali terjadi kemelesetan. Zaman khalifah yang empat juga begitu. Pernah sekali Nabi mengalami defisit, iaitu sebelum Perang Hunain, namun segera dibayar setelah perang.
Apabila bercakap soal model ekonomi baru berteraskan Islam, maka perbankan Islam juga merupakan asas utama pencairan ekonomi Islam. Malaysia kini menjadi ladang subur kepada sistem perbankan dan ekonomi islam. Bilangan institusi kewangan Islam meningkat kepada 54 unit pada tahun 2008 berbanding sebanyak 47 unit pada tahun 2007. Takaful juga mencatat untung sebanyak RM 2.834 billion pada tahun 2008 berbanding RM 2.37 billion sebelumnya.
Jika dahulu, kewangan cara Islam dikatakan tidak mendatangkan keuntungan sehingga menjadi paranoid kepada kapitalis dalam dan luar negara, kini bank-bank Islam mencatatkan keuntungan tinggi misalnya untung sebelum cukai sebanyak RM 19.17 billion pada 2008 berbanding RM 17.701 billion pada tahun 2007.
Menurut Prof. Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid ( Al Islam januari 2010), suatu ketika nanti perbankan dan sistem perekonomian konvensional akan digantikan dengan perbankan dan perekonomian Islam walaupun secara peralihan yang amat perlahan. Malaysia kini berjaya menerima sokongan kaum Cina yang kini lebih yakin dengan perbankan Islam.
Jika Sarkozy Presiden Perancis ingin merintis jalan tengah dalam mencipta model baru ekonomi, hakikatnya kini Perancis juga yang terkenal dengan negara sekular itu ingin menjadikan Paris sebagai pusat ekonomi islam utama di Eropah. Singapura yang cukup signifikan dengan gaya kapitalisme AS juga telah melancarkan Dana Dagangan Elektronik Islam. Jepun antara negara yang lewat menerima pendakwah islam, kini menawarkan perbankan Islam di bank-bank kerajaan.
Di antara isi penting model ekonomi berteraskan Islam adalah meliputi hal penyediaan bekalan dan belanjawan awal sebelum mendepani sebarang krisis. Sebarang perlaburan atau percubaan ekonomi yang mengandungi keraguan ‘gharar’ adalah dilarang oleh Islam sepertimana cadangan Sarkozy. Hal ini juga adalah sunnah Nabi Yusuf AS semasa menjadi menteri kewangan Mesir. Penjimatan dan penyediaan bekalan awal ini berbeza dengan kepercayaan Obama bahawa langkah berjimat akan mengendalakan ransangan fiskal negara.
Penjimatan dalam ekonomi dunia hari ini sememangnya tidak boleh terlalu mendadak jika sesebuah kerajaan ingin melihat ransangan fiskal tidak tergendala. Perusahaan seperti perhotelan dan perlancongan sememangnya memerlukan keuntungan berterusan untuk meneruskan kitaran fiskal yang baik iaitu untung bertukar menjadi cukai negara. Jika penjimatan dilakukan mendadak misalnya sektor kerajaan mengurangkan urusniaga dengan sektor perhotelan tersebut, maka perhotelanan dan perlancongan tadi akan terbantut malah mungkin gulung tikar. Di sinilah kepintaran pemimpin menangani ransangan yang sesuai. Langkah terbaik adalah menurut panduan Islam iaitu cegah sebelum terlewat. Penjimatan menurut Islam ialah sikap berhati-hati dan berpada-pada meningkatkan produktiviti, perusahaan atau kuantiti perkhidmatan semasa ekonomi sedang baik kerana kemandiriannya perlu diteruskan jika ekonomi meleset. Program dan projek mega yang terlalu tidak terkawal akan menyusahkan negara untuk meransang perjalannya semasa krisis ekonomi berlaku.
Menurut M. Umer Chapra Penasihat Kajian di Islamic Research and Training Institute of the Islamic Development Bank Jeddah pernah menyatakan, disebabkan korupsi dan rasuah, ekonomi Islam tidak akan menampilkan sebarang model yang berguna. Malah ia kontra dengan ajaran Islam yang menentang korupsi. Ketirisan wang akibat rasuah sepanjang usaha membaik pulih ekonomi hanya memusnahkan sesebuah model ekonomi tersebut.
Ransangan untuk kemampanan fiskal adalah perlu jika Model ekonomi Islam diperkenalkan. Apa yang telah diamalkan oleh semua negara boleh sahaja diteruskan tanpa halangan. Cuma, semangat keadilan dan nilai amanah Islam ( al a’dlu wal ihsan) perlu disuntik dalam agihan peruntukan serta agihan ransangan. Jika tiada nilai amanah dan kejujuran menurut Islam, maka ransangan yang diharapkan hanya akan menambah kekayaan golongan konglomerat kapitalis tertentu sahaja dan kelancaran dasar fiskal tidak akan terjadi.
Jika benar dunia ingin keluar dari dunia ekonomi berpandukan KDNK, umat Islam boleh mengambil peluang mencipta model ekonomi yang berasaskan KPI kejayaan domestik dan nilai manfaat ekonomi sesebuah negara. Ekonomi sesebuah negara dianggap berguna oleh Islam jika ia berjaya meningkatkan Indeks Pembangunan Insan, Statistik graduan kelas pertama, kadar literasi penduduk dan kadar pendidikan tinggi negara serta KPI aplikasi sains dan teknologi yang dikaji ke bentuk penggunaan sebenar. Jika kadar-kadar ini meningkat akibat kekuatan ekonomi negara, maka ekonominya sememangnya bermanfaat. Teori sains dan teknologi yang termaktub dalam tesis serta kajian gran-gran universiti perlu dijelmakan dalam bentuk aplikasi teknologi barulah boleh digelar perlaburan yang berguna untuk negara. Nilai manfaat ekonomi yang hanya muncul selepas produk ekonomi dihasilkan hanya mampu divalidasikan selepas kejayaan ketamadunan negara terjelma.
Jelas umat Islam dan pemimpin negara Islam berupaya mencipta model ekonomi yang mandiri menandingi model lapuk tinggalan AS dan barat.