Sunday, October 31

KONSEP ‘USAHA, TAWAKAL DAN REDHA’

31/10/2010
Ahad 1.04 pm
Nurhidayah Binti Mat Ali
Sains Kimia/1
KONSEP ‘USAHA, TAWAKAL DAN REDHA’
Kita tidak akan terlepas daripada menghadapi sebarang ujian di dalam kehidupan ini dan di dalam konteks kita sebagai pelajar, kita perlu berhadapan dengan peperiksaan dan dugaan hidup yang mendatang. Pelbagai bentuk persediaan peperiksaan yang kita pernah dengar dan baca. Namun tahukah anda, dengan hanya beramal dengan konsep ‘Usaha, Tawakal dan Redha’, kita sebenarnya telah pun mencakupi semua persediaan peperiksaan yang sepatutnya kita lakukan?
Malangnya, ramai di antara kita menyalahgunakan konsep ini. Ada yang terlebih dahulu redha sebelum peperiksaan bermula. Ada pula yang bertawakal dan redha tanpa melakukan sebarang usaha. Untuk menggunakan konsep ini dengan betul, kita perlulah terlebih dahulu memahami maksud dan penggunaannya. Hal ini penting kerana konsep ini melibatkan diri kita dengan Tuhan yang Maha Berkuasa iaitu Allah swt.
Pertama sekali kita perlulah berusaha sebelum peperiksaan bermula. Usaha yang perlu dilakukan merangkumi dari sudut persediaan hati, akal dan jasmani. Persediaan hati lebih banyak mempengaruhi persediaan akal dan jasmani.
Hati yang bersih memudahkan seseorang muslim mendapat petunjuk dari Allah lantas memudahkannya untuk menuntut ilmu yang suci. Antara caranya ialah dengan menjaga ibadah wajib seperti solat fardhu dan memperbanyakkan ibadah sunat seperti bersedekah. Banyakkan berzikir dan membaca Al-Quran. Dirikanlah solat sunat hajat sebelum peperiksaan bermula agar dimudahkan untuk menjawab peperiksaan.
Persediaan akal pula ialah dengan mengulangkaji pelajaran dan menjawab soalan-soalan peperiksaan tahun yang sebelumnya. Elakkan daripada belajar di saat-saat akhir kerana dikhuatiri tidak sempat untuk menghabiskan semua silibus.
Persediaan jasmani ialah dengan memastikan fizikal kita sihat. Pastikan mendapat tidur yang cukup serta makan makanan yang suci dan bersih, tidak syubhah serta seimbang. Bersukan untuk menghilangkan tekanan serta menjaga kesihatan diri.
Kedua ialah bertawakal. Tawakal ialah kita menyerahkan sepenuhnya urusan kita kepada Allah setelah kita berusaha dan berdoa kepada-Nya. Kita perlulah bertawakal kepada Allah selepas berusaha kerana ia berbalik kepada Qada’ dan Qadar, rukun iman kita yang keenam. Setiap apa yang berlaku telah pun ditentukan oleh Allah.
Hal ini penting supaya kita tidak berasa terlalu kecewa atau sedih sekiranya keputusan yang diperoleh kurang memberansangkan. Tawakal juga dapat mengelakkan kita daripada berasa terlalu gembira dan ria’ sehingga lupa untuk mengucapkan syukur kepada-Nya sekiranya keputusan kita baik. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada hamba-Nya yang melampaui batas.
Konsep terakhir ialah redha dengan apa jua keputusan yang kita perolehi. Redha ialah akur dan terima dengan hati yang lapang akan apa jua yang berlaku. Jika keputusan kita cemerlang, ucapkanlah syukur kehadrat-Nya kerana mengurniakan nikmat kejayaan kepada kita. Jika tidak, redhalah dengan ketentuan Allah yang telah ditetapkan ke atas kita.
Yakinlah dengan sepenuhnya pasti bahawa ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita. Paling penting ialah kita tidak berputus asa. Jadikan kegagalan sebagai pencetus kejayaan.
Amalkan konsep ‘Usaha, Tawakal dan Redha” sewaktu melakukan persediaan untuk menghadapi peperiksaan dan seelok-eloknya dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan. Semoga kita sentiasa dirahmati, diberkati dan dikurniakan kejayaan dalam kehidupan kita oleh Allah yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.
Allah swt bersabda yang bermaksud:
“…Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya, dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah mencukupkan (keperluan) Nya, sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki) Nya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu” (Surah At-Thalaq, 65: 2-3)
Selamat menempuhi imtihan & semoga berjaya!

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...