Ummah Terus Dizalimi, PMIUSM Seru Mahasiswa Prihatin

Meneliti rentetan peristiwa yang berlaku di Syria, kekejaman dan kezaliman berlaku dengan mudah. Umat Islam di seluruh pelosok dunia kebanyakannya seolah-olah berpeluk tubuh daripada bertindak. Kacamata utopia umat Islam melihat kemenangan sukar dan mustahil untuk didapati. Sedang kita yang berkata ini tidak sedar, bahawa kita perlu bertindak.

Ucapan Tahniah dan Syabas Kepada Bakal Mahasiswa yang Mendapat Tawaran ke USM Sidang 2012/2013

Wahai sahabat-sahabat baru yang bakal menempuh alam kampus beberapa bulan lagi, ingatlah bahawa alam kampus ini penuh cabaran dan dugaan. Bagi yang berjaya membawa diri dengan baik, alhamdulillah, teruskan usaha sehingga ke gerbang jaya. Jangan jadikan kebebasan di alam kampus satu tiket untuk anda bersosial lantas melupakan matlamat untuk menuntut ilmu.

Peristiwa Nuzul Quran

17 RAMADHAN- merupakan suatu tarikh penting bagi kita sebagai umat islam kerana pada tarikh inilah berlakunya peristiwa Nuzul Quran.Peristiwa ini sentiasa menjadi iktibar kepada kita kerana dengan peristiwa inilah zaman Jahiliyyah disinari dengan cahaya , kesesatan diganti dengan kebenaran dan umat yang bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah yang Maha Esa.

Kenyataan Rasmi PMIUSM Berkenaan Hedonisme dalam Himpunan Jutaan Belia 2012

Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur tetapi haruslah mengikut batas-batas syariat yang telah ditetapkan. Amalan percampuran lelaki dan perempuan sambil menampilkan artis yang jelas sekali tidak menutup aurat malah melalaikan jiwa muda remaja adalah bercanggah sama sekali dalam syariat Islam.

Organisasi Pimpinan PMIUSM Sidang 2012/2013

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.” : Ali Imran, 104

Monday, November 9

Pengajaran di Sebalik Kejadian

Oleh,
Hisyamuddin Bin Kamarudin
Pengerusi,
Biro Perhubungan Dan Penerangan Kampus
Persatuan Mahasiswa Islam USM



Kes penahanan bekas Mufti Negeri Perlis dan juga Pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (Dr. MAZA) masih hangat diperkatakan, walaupun telah hampir seminggu berlalu. Penulis mengambil sikap memerhati terlebih dahulu perkembangan ‘isu hangat’ yang selalunya hanya berlaku kepada aktivis politik yang berlabel ‘pembangkang’ ini sebelum memberi komen secara peribadi.

Dalam kes terdahulu, Dr. MAZA telah ditahan oleh sekumpulan anggota Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta anggota polis ketika sedang menyampaikan kuliah agama di sebuah rumah milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.
Penahanan tersebut melibatkan hampir 30 orang penguatkuasa JAIS serta pihak polis yang bertindak mengelilingi rumah tersebut sebelum melakukan penahanan. Alasan penahanan ialah Dr MAZA telah menyampaikan kuliah di negeri Selangor tanpa tauliah daripada JAIS, walaupun pada asalnya ada dikaitkan dengan tuduhan menyampaikan ajaran ‘Wahabi’.

Isu penahanan Dr.MAZA oleh pihak JAIS pernah penulis dan beberapa orang sahabat bincangkan. Kami sepakat mengatakan bahawa tindakan JAIS itu adalah tidak tepat caranya disebabkan beberapa faktor yang telahpun dijelaskan dalam blog-blog lain.

Berkenaan isu ini, ramai pihak yang telah memberi pandangan masing-masing. Ada yang bersifat positif, ada juga yang bersifat provokatif.


Penulis tidak berhajat untuk menyebelahi mana-mana pihak. Tidak adil untuk kita mengadili sesiapa sahaja tanpa kita kenal dengan individu tersebut. Awal-awal penulis menjejakkan kaki ke Universiti Sains Malaysia (USM) dahulu, ada beberapa ‘cerita’ yang penulis dengar tentang Dr. MAZA daripada senior dan sahabat yang mengenali beliau. Ketika itu beliau masih belum dilantik menjadi Mufti Perlis. Ada yang memuji beliau, terutamanya tentang cara beliau mengendalikan kuliah dan tutorial, termasuk ‘kemurahan’ beliau semasa menjalankan kuiz dan ujian. Terdapat juga senior yang menyindir sikap beliau, lantaran berpengalaman berhadapan dengan beliau dalam keadaan yang kurang menyenangkan. Itu pandangan orang lain terhadap beliau.

Secara peribadi, penulis pernah beberapa kali bertemu dan berurusan dengan Dr.MAZA secara langsung mahupun melalui telefon, hanya untuk bertanyakan masalah-masalah berkaitan agama yang memerlukan penjelasan segera. Sepanjang menjalankan urusan dengan beliau, tiada apa-apa masalah yang timbul walaupun cara beliau kekadang tidak seperti yang kita harapkan. Tetapi hal tersebut bukanlah sesuatu perkara yang besar.

Bukan isu ‘sikap beliau’ yang ingin penulis bangkitkan, tetapi sikap kita semua sebagai mahasiswa islam. Penulis yakin, isu ini timbul disebabkan ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan Dr.MAZA disebabkan faktor-faktor tertentu, sama ada ‘isi kandungan’ yang dibawa ataupun cara pembawakan yang digunakan. Penulis yakin, para pembaca mengetahui tentang perkara ini. Bukan niat penulis untuk membesar-besarkan isu ini.

Menongkah arus. Mungkin ianya sesuai digunakan untuk menggambarkan perkara ini. Gerakan pembaharuan yang dibawa kekadang kurang disenangi oleh segelintir pihak, lantas dengan mudah memberi label tertentu kepada golongan tersebut. Daripada pemerhatian penulis yang juga mengikuti ‘gelombang tajdid’ ini daripada ‘belakang’, perkara yang dibangkitkan semuanya didatangkan dengan dalil, malah dalil dan hujah yang sohih. Namun, perkara yang dibawa ini pula kekadang ‘bertentangan’ dengan amalan yang telah kita lakukan sekian lama.

Jika kita tidak mampu berlapang dada, pasti ada yang cepat melatah, sama ada pihak yang mengikuti arus ini ataupun pihak yang ‘terkena’ percikannya.
Agama itu ditegakkan di atas hujah.

Kepada yang mengikuti secara langsung arus ini, jangan sesekali merasakan hanya anda yang benar sebenar-benarnya, sehingga merasa layak untuk menghukum salah pada amalan orang lain.

Dan mereka yang terkena percikan dan tempias pula, adakah anda sudah mengetahui serta ambil tahu, apakah hujah anda untuk berpegang dan mengamalkan sesuatu amalan? Adakah anda amalkan kerana mak ayah anda juga melakukannya, ataupun anda melihat ustaz-ustaz anda mengamalkannya? Sebagai seorang mahasiswa islam yang berada di menara ilmu, tidak layak untuk anda meletakkan diri dalam kelompok ‘orang awam’ yang dibenarkan oleh sesetengah ulama’ untuk ‘bertaqlid’.

Anda berada dalam medan ilmu. Setiap amalan dalam agama itu bermula dengan ilmu. Ilmu itu pula mempunyai rujukan serta hujah untuk diamalkan. Ambil peluang semasa berada di medan ilmu ini untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya. Ramai ilmuan di kampus untuk dijadikan rujukan.

Sekali lagi penulis tegaskan, bukan niat penulis untuk membesarkan isu ini atau hendak mencari musuh. Isu seperti ini sebenarnya melibatkan sikap kita dalam menerima sesuatu perkara yang bersifat ‘baru’.

Ada yang begitu ‘excited’ apabila berjumpa sesuatu yang baru, malah dapat bersama-sama arus yang membawa gelombang perubahan itu. Lebih-lebih lagi kerana ianya bersifat Saya sahih sebab rujukan saya sahih!.

Ada pula yang terus menolak, malah membenci golongan yang membawa dan mengikuti arus tersebut dengan alasan cara yang digunakan tidak berhikmah, cuba membawa fahaman yang hendak memecahbelahkan ummah, ataupun terus menerus mengatakan ‘apa salahnya melakukan perkara ini’ tanpa terlebih dahulu tahu dari mana asalnya amalan yang dilakukannya itu.

Mahasiswa islam perlu bersifat terbuka dan berlapang dada. Perkara baru yang datang diteliti dan perkara lama yang diamalkan dihayati. Sesuatu perkara yang dibangkitkan, pasti ada asasnya. Pohon takkan bergoyang jika tidak ditiup angin ataupun digoncang.
Penting untuk kita mengambil tahu semuanya supaya kita dapat membezakan perkara mana yang hanya melibatkan perbezaan pendapat ulama’ dan perkara mana yang benar-benar bertentangan dengan syara’.

Penulis akui, ada beberapa perkara yang diamalkan oleh masyarakat kita pada hari ini sangat bertentangan dengan kehendak agama. Alhamdulillah, penulis dapat mengetahuinya disebabkan perkembangan arus ini.

Namun, ada juga perkara-perkara yang dibangkitkan hanya bersifat perbezaan pendapat ulama’ disebabkan faktor-faktor seperti berbeza pemahaman tentang teks dalil serta berbeza pula cara penafsiran. Malah ada juga disebabkan berbezanya keadaan waktu dan tempat seperti dalam keadaan peperangan, dikelilingi oleh orang-orang yang berdusta dan sebagainya.

Ulama’ silam bersikap sangat terbuka walaupun keilmuan mereka mustahil dapat kita tandingi. Hal ini kerana mereka mempunyai sifat ‘alim dan hakim. Cuba anda baca bagaimana sikap para ilmuan silam apabila berhadapan dengan perbezaan pendapat di kalangan mereka. Kita sepatutnya cuba mencontohi mereka dalam kita menuntut ilmu berkaitan agama. Imam As-Syafie juga tidak mengatakan hanya pendapatnya sahaja yang terbaik. Katanya setiap hadith yang sohih dan pendapat yang lebih baik, itulah mazhabnya. Beliau tidak FANATIK.

“Jangan terus menolak, dan jangan terus menerima. Dengar dulu hujahnya”. Itu nasihat penulis kepada sahabat-sahabat penulis ketika kami berada di dalam kuliah ‘Pengurusan makanan halal’ yang diambil pada semester ini. Pensyarah membawakan sesuatu yang ‘bertentangan’ dengan pegangan ‘mazhab syafie’ dan JAKIM tentang perkara yang melibatkan binatang paling kontroversi bagi umat islam di Malaysia, iaitu BABI.

Ada yang mengatakan pensyarah itu sesat dan tidak betul, hanya kerana beliau membentangkan pendapat ulama’ lain yang bertentangan dengan apa yang kita pegang selama ini. Penulis yang pernah mengetahui perkara-perkara ‘baru’ yang dibawa oleh pensyarah itu mampu berlapang dada dan mampu melapangkan dada-dada mereka yang semakin menyempit.

Lihat! Hanya disebabkan kurang ilmu, dengan mudah seorang pensyarah dilabel. Sebab itu, pentingnya untuk kita mengetahui perkara-perkara yang melibatkan agama ini dengan luas. Jika kita mempunyai hujah yang sahih untuk mengamalkannya, SILAKAN. Jangan kita hanya ambil tahu daripada satu pihak, lalu kita salahkan pihak yang tidak sependapat dengan kita.

Agama itu bukan sekadar benar dari segi cara mengamalkannya, tetapi amalan-amalan itu mampu memberi kesan kepada hati nurani. Tiada guna jika kita merasakan hanya cara amalan kita yang betul, lalu memandang amalan orang lain salah dan tidak sunnah, tetapi pada masa yang sama kita langsung tidak dapat menghayati amalan tersebut.

Contoh mudah ialah solat. Kita lebih pentingkan kedudukan tangan sewaktu berdiri, atau hendak gerak-gerakkan jari ketika tahiyat akhir, lantas memandang jamaah di sebelah sebagai ‘amalan yang salah’, lalu kita terlupa bahawa kita sedang menghadap Allah. Ibadah kita hendak ditunjukkan kepada Allah, bukan kepada orang sebelah. Lalu, sempurna dan ‘sunnah’ lah kita di hadapan manusia, tetapi tiada makna ibadah itu di sisi Yang Maha Esa. (penulis bangkitkan hal ini kerana ia memang berlaku.)

Jadi sahabat-sahabat sekalian, berlapang dadalah dalam menerima perubahan. Penulis tidak menyebelahi atau menyalahkan mana-mana pihak. Tidak pula penulis mengatakan pandangan penulis adalah yang paling benar. Jika ada yang masih tidak berpuas hati, terpulanglah. Benar! Kita semua harus berubah, bersama-sama dengan arus perubahan ini. Tetapi, jika arus ini tidak dikawal dengan sebaiknya, bimbang ia akan bertukar menjadi gelombang yang memusnahkan.

Cuba kita fikirkan...

Mengapa ada pihak yang cuba ‘membersihkan’ amalan yang sekian lama kita lakukan. Rasanya sudah sangat baik. Pasti ada salah di mana-mana. SEMAK KEMBALI.

Mengapa pula, apabila kita cuba membersihkan sisa-sisa jahiliah dalam masyarakat, ada yang tidak berpuas hati? Pasti ada juga cacat dan salah dalam pembawakan kita. SEMAK KEMBALI.

Jika kita merasakan cabaran dan tentangan ini telah membuktikan kita berada di pihak yang benar, kerana Rasulullah juga menerima tentangan yang sama, maka mereka yang membawa ajaran sesat juga ditentang hebat.

Memanglah kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak. Tetapi, kritikan dan teguran perlu dijadikan pengajaran, bukan untuk dibakul-sampahkan. Pihak yang hendak membawa islam ini sedikit, jangan kita pecahkannya. Pihak yang menentang islam pula ramai, jangan kita tambahkan lagi. Pihak yang tidak tahu langsung tentang islam, walaupun beragama islam juga sangat ramai. Jangan kita lupakan mereka.
Sekadar renungan bersama...Allahu’alam..

SEMOGA BERJAYA DALAM PEPERIKSAAN.!!!!

Sunday, November 1

Bencana Penarafan Universiti

Oleh Prof.Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak Naib Canselor USM TANGGAL 8 Oktober 2009, apabila keputusan penarafan THES-QS diumumkan, saya sedang berada di bandar Giessen, lebih kurang satu jam dari Frankfurt, untuk memenuhi undangan Persatuan Universiti-universiti Eropah (EUA) yang menjadi penaung utama semua universiti di benua tersebut. Undangan ini sempena persidangan bertajuk "Pengantarabangsaan melewati sempadan Eropah" dan saya diminta memberi pandangan dari sudut luar Eropah sebagai seorang antara dua pengucaptama - seorang lagi adalah rakan Rektor, Berlin Free University, salah satu universiti tertua dan ternama di Jerman, malah Eropah. Dewasa ini, e-mel bertalu-talu tiba mengesahkan "bencana" yang menimpa Malaysia. Jika Indonesia dengan gempa buminya, Filipina dengan banjir dan tanah runtuhnya, Samoa dengan tsunaminya dan Jepun banjirnya, bagi Malaysia pula menghadapai bencana gara-gara penarafan IPTAnya. Walaupun hanya beberapa buah IPTA sahaja yang terlibat, kesannya tidak kurang menggugat. Media gamat dengan liputan berita tersebut. Anehnya hanya yang tersenarai sahaja yang dipertikaikan, sedangkan puluhan yang lain yang tidak langsung tersenarai (termasuk IPTS yang saban diiklan sebagai paling 'global' di akhbar-akhbar) nampaknya terselamat daripada bencana tersebut. Seolah-olah membayangkan lebih baik tidak tersenarai sama sekali daripada tersenarai. Ini sahaja sudah cukup mengelirukan tentang apa cita rasa yang ingin diluahkan dalam hal ini? Kita belum lagi membincangkan tentang "cita rasa" penganjur THES-QS apabila beria-ia mendakwa penarafannya adalah tepat, bebas dan boleh dipercayai tanpa sebarang ragu-ragu lagi! Walaupun ada bukti sebaliknya! Apa pun kita mengangguk saja. Sebagai perbandingan suasana di Giessen sewaktu persidangan tersebut cukup aman, biar ratusan rektor universiti Eropah dan benua lain, bersama dengan pegawai tertinggi universiti serta pelajar bersesak-sesak di dewan seminar Justus Liebig Universitat Giessen - sebuah IPTA berusia lebih 400 tahun. Bandar Giessen merupakan bandar universiti dengan hampir 40 peratus penduduknya terdiri daripada warga universiti tersebut. Universitinya moden disulami tradisi ilmiah dan kesarjanaan yang kental. Universiti itu juga tidak kurang mempunyai pusat kecemerlangan tersendiri di bawah Inisiatif Kecemerlangan Jerman yang dicontohi Malaysia di bawah Inisiatif APEX. Jelas, Justus Liebig Universitat cukup yakin dengan pencapaian dan jati dirinya. Penarafan, lebih-lebih lagi oleh sebuah organisasi bertujuan komersial, tidak langsung dihiraukan. Mereka tidak juga apologetic - malah kalaupun ada pengajaran daripada aktiviti penarafan, ia dianggap tidak sesuai untuk dijadikan pengukur institusi pendidikan. Sebaliknya sesebuah universiti itu mempunyai keperibadiannya tersendiri; wawasan serta keunikannya - selaras dengan kefahaman "pendidikan" (bukan sahaja pelajaran atau kajian) yang memegang amanah ilmu dan kesarjanaan. Kepelbagaian adalah kekayaannya, dan lagi unik adunan kepelbagaian tersebut - lagi terbina keperibadian universiti berkenaan. Ia bukan kilang yang mengeluarkan barangan tidak bernyawa yang seragam dan diseragamkan supaya mudah dibanding-bandingkan untuk tujuan tertentu. Ia bukannya seperti peraduan ratu cantik yang menaraf pemenangnya berpandukan formula utama 36-24-36 sebagai yang "ideal" dan semuanya dinilai mengikut sukatan ini; kemudian diberi penarafan 1, 2, 3 dan sebagainya. Wajarkah dua insan dibandingkan berdasarkan aspek luarannya sahaja dan bukan sifat keinsanannya? Begitu juga hal dengan institusi bergelar "universiti" - lebih-lebih ukuran yang dikenakan lebih mirip kepada bahan perkilangan atau untuk peraduan ratu cantik, atau sebaliknya! Pokoknya asas dan pandangan dunia dan amanah sebuah universiti tulen tidak sama dengan pandangan dunia dan amanah sebuah organisasi bukan pendidikan. Namun inilah yang sering kali dicampuradukkan sehingga memusnahkan sama sekali maksud sesebuah universiti di mata ramai di samping mengusutkan lagi keadaan. Yang turut mengkagumkan adalah rektor-rektor universiti Eropah yang menghadiri persidangan itu amat jelas tentang tanggungjawab mereka dalam membangunkan sebuah universiti. Autonomi berulang-ulang kali disebut untuk menyatakan kelainan sebuah universiti dengan organisasi lain, terutama yang berbentuk komersial, dan wujud untuk mengaut keuntungan. Autonomi bagi mereka adalah benteng utama yang perlu dipertahankan dalam mengasuh dan mengangkat maruah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi. Disini mereka tidak berkompromi sama sekali dan enggan dijadi seolah-olah kerbau dicucuk hidung, diarak-arak atau diarah-arah ke hulu dan ke hilir seadanya saja. Saya mengandaikan yang persidangan tersebut akan gegak gempita membahaskan soal penarafan apabila dilihat dari perspektif pengantarabangsaan. Saya mengagakkan keputusan THES-QS dijadikan tanda aras mutlak, dan turut menimbulkan "bencana" di Giessen seperti mana di tanah air. Ternyata saya tersilap sama sekali. Selama dua hari berikutnya isu penarafan tidak sekalipun disebutkan baik oleh para penceramah mahupun peserta. Apabila cuba dicukil pendapat mereka, rata-rata maklum balasnya cukup dingin - kalau dalam bahasa Inggerisnya berbunyi "what about it?" (apa halnya?). Dan bila dikatakan keputusan THES-QS sudah diumum, kelihatan mereka amat sinis dan jelek sekali, bagaikan menegur: "Siapa mereka ini untuk menjadikan universiti kami bak kerbau cucuk hidung?" Umum tidak kisah langsung tentang isu tersebut kerana angka-angka penarafan bagi mereka tidak membawa erti apa-apa, kalaupun konsep penarafan boleh diterima. Malah seorang ada bertanya: "Bolehkah saya menaraf lima orang anak saya secara adil dan saksama? Apa lagi berbanding dengan anak orang lain?" Natijahnya, dalam penarafan kita mesti ikut telunjuk orang lain yang mengadun segala-galanya. Umpama ratu cantik, kita juga perlu memperagakan diri, baik berbikini sekalipun, berlenggang lengguk, tersenyum tersipu-sipu untuk menawan pengadil dengan harapan untuk menjadi ratu! Jika tidak agak sukar membayangkan apa-apa kejayaan. Apatah lagi turut diperhatikan dalam peraduan seumpama ini calon tuan rumah sering kali akan "menang" sesuatu kalaupun tidak hadiah pertama. Hal ini juga beransur lumrah dalam aktiviti penarafan di mana unsur-unsur penajaan dan sogokan (bagi sesetengah pihak dikatakan "rasuah") sudah mula menular. Maka pernah universiti disyor mengiklankan nama dan logonya di laman web penaja dengan bayaran sekian banyak supaya lebih "mesra pelanggan" dan "mudah diperkenalkan" dan melonjakkan kedudukan. Malangnya tidak kurang juga yang terjebak dengan "tawaran" tersebut, umpama si ratu cantik meniduri pengadil, dengan harapan agar menang jua. Tidak kiralah jika maruah turut tergadai. Banyak lagi yang boleh dipersoalkan berkaitan aspek etika dan keutuhan (sama ada cara langsung atau tidak), sekali gus membuka tembelang usaha penarafan khususnya yang berbentuk komersial. Cukup banyak telah ditulis tentang hal ini supaya jangan terperangkap sebagai Pak Turut saja! Maka di Giessen saya menghela nafas lega! Lebih daripada itu, saya bertambah yakin yang universiti sememang ada maruah dan nilai sendiri dalam kelangsungan menunaikan tanggungjawab serta amanah tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa pun, apa lagi yang berkepentingan cukup sempit dan anti cendekiawan! Ataupun mencari sanjungan pintas. Saya juga belajar yang maruah ini ada kaitannya dengan nilai keluhuran dan kejujuran berilmu dan bersarjana, sesuatu yang tak dapat ditolak ansur dalam apa hal sekalipun; jangan sebutlah memperjudikan etika! Akhir sekali saya sedar kita tidak perlu apologetic sekiranya jati diri ingin diperkasa. Rupa-rupanya universiti yang istimewa itu adalah universiti yang mengerti semua ini dan terus mempertahankan prinsip keilmuan biar "bencana" apa sekali yang mendatang. Bak kata orang tua-tua: Membujur lalu, melintang patah! Pantang maut, sebelum ajal. PROF. TAN SRI DZULKIFLI ABDUL RAZAK ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...