Pengerusi,
Biro Perhubungan Dan Penerangan Kampus
Persatuan Mahasiswa Islam USM

**Artikel ini ditulis sebagai satu perkongsian idea untuk para dai’e memikirkan methodologi dan kaedah dakwah yang sesuai digunakan pada masa kini.
Survey atau ‘tinjauan pendapat’ merupakan satu method atau kaedah mengumpul maklumat secara kuantitatif tentang suatu perkara dalam sesebuah populasi. Survey selalunya dijalankan apabila terdapat perkara yang memerlukan pandangan dan maklumat daripada pihak-pihak tertentu dalam masyarakat. Kaedah yang biasa digunakan ialah dengan bertanyakan beberapa soalan sama ada dijawab secara bertulis oleh responden ataupun secara temuramah.
Bagaimana kaedah survey boleh dimanfaatkan dalam aktiviti dakwah lapangan?
1) Orang yang melakukan survey boleh membawa bahan rujukan.
Masalah yang dihadapai oleh para dai’e terutamanya yang baru terlibat dalam bidang dakwah ialah masalah komunikasi. Kemahiran komunikasi yang bermasalah akan menyebabkan perkara yang hendak disampaikan tidak dapat diterima dengan baik. Kemungkinan berlaku para da’ei ‘kehilangan idea’ ketika sedang berinteraksi dengan mad’u. Perkara sebegini menyebabkan ramai da’ie yang lepas tangan dan menarik diri daripada terlibat dalam aktiviti dakwah lapangan.
Hal ini dapat diatasi dengan menggunakan kaedah survey kerana ketika melakukan survey, kita boleh membawa bahan-bahan rujukan seperti pamplet yang terdapat artikel-artikel berkaitan dengan ‘tajuk’ survey. Adalah suatu yang mungkin kelihatan janggal apabila para da’ie menyelak lembaran artikel mencari maklumat sekiranya kaedah menegur secara langsung digunakan kerana ia secara tidak langsung menunjukkan ‘kelemahan’ seorang da;ie yang mungkin akan menyebabkan si mad’u hilang keyakinan.
2) dakwah berlaku secara tidak langsung.
Jika ditanya secara rambang, berapa ramai yang berani untuk pergi berhadapan menegur suatu kesalahan yang berlaku di depan mata? Kemungkinan hanya beberapa kerat daripada keseluruhan ahli persatuan. Langkah pertama pastinya terasa amat berat. Akhirnya terpaksa berpuas hati sekadar ‘menegur dengan hati’.
Kaedah survey insyaallah mampu membantu kerana para da’ie telah disediakan satu ‘sistem’ dalam berinteraksi. Dengan niat (yang diolah, bukan diubah) untuk menjalankan survey dan berbekalkan soalan-soalan yang perlu ditanya, ditambah lagi dengan ‘skema-skema’ jawapan yang telah tersiap sedia, sekurang-kurangnya dapat menambah keyakinan para da’ie memulakan langkah pertama. Kaedah yang digunakan pula bukan menegur secara langsung, tetapi setiap teguran dan nasihat terkandung dalam soalan-soalan atau huraian kepada soalan-soalan yang dikemukakan.
3) Mengatasi masalah yang spesifik.
Kaedah survey biasanya dilakukan untuk mendapatkan maklumat tentang suatu perkara yang spesifik. Dalam aktiviti dakwah, survey boleh digunakan untuk membantu menyelesaikan masalah yang spesifik.
Contoh mudah ; survey kali ini dijalankan untuk mengatasi masalah aurat di kalangan mahasiswa/i. Sasarannya sudah pasti mahasiswa/i. Soalan-soalan yang dikemukakan pula tidak lari daripada membincangkan persoalan yang berkaitan dengan aurat. Jadi, para da’ie mampu disiapkan dan dilengkapkan dengan ilmu-ilmu tentang aurat sebelum turun ke lapangan bertemu mad’u melalui aktiviti penerangan dan bengkel. Hal ini penting supaya para da’ie tidak menjadi kaku apabila tidak dapat menjawab persoalan ‘luar tajuk perbincangan’ jika disoal oleh mad’u. Sekurang-kurangnya, para da’ie boleh mengelak dengan mengatakan bahawa survey ini hanya menumpukan persoalan aurat. Tetapi adalah lebih baik dan sepatutnya seorang da’ie itu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu terutamanya yang berkaitan dengan masalah-masalah fiqh dan hukum hakam.
4) survey lebih daripada sekadar menegur.
Dalam berdakwah, para da’ie seharusnya memikirkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada ‘menegur untuk melepaskan tanggungjawab’. Sekadar menegur, mungkin yang ditegur tidak mendapat apa-apa kesan ataupun yang menegur sekadar mampu berpuas hati kerana terlepas bebanan. Akar permasalahan seharusnya diteroka supaya langkah yang lebih drastik atau sesuai dapat diambil hasil daripada gerak kerja yang dijalankan.
3 perkara penting yang perlu diperoleh daripada aktiviti dakwah ialah
i) menegur kesalahan yang dilakukan.
contoh: “perkara yang awak lakukan ini adalah salah.”
ii) mengetahui punca berlakunya sesuatu masalah.
Contoh: “apakah sebab anda melakukan perkara ini?
Adakah kerana tidak tahu atau tidak mahu?
iii) memberikan maklumat yang sebenar
contoh: “agama kita mengajar supaya kita melakukan perkara seperti ini.”
**semua perkara di atas disampaikan secara tidak langsung dalam soalan. Contoh yang diberi hanya untuk memahamkan situasi.
Kaedah menegur secara langsung jarang menyentuh perkara kedua iaitu mencari punca permasalahan. Hal ini mungkin kerana para da’ie malu bertanya ataupun ‘tidak mahu menjaga tepi kain’ mad’u atau mungkin kerana sebab-sebab lain. Melalui survey, subjek kedua ini boleh dimasukkan sekali di dalam senarai soalan-soalan survey yang perlu dijawab oleh mad’u. Secara tidak langsung, sifat malu untuk mengambil tahu itu dapat diatasi atas dasar ingin melakukan survey.
Hasil survey pula dapat dikumpul dengan lebih sistematik kerana setiap butiran perbincangan antara da’ie dan mad’u dicatat. Maklumat yang diperoleh boleh digunakan untuk menghasilkan satu statistik bergraf yang mudah difahami. Malah, hasil itu juga mampu digunakan untuk tindakan selanjutnya seperti digunakan dalam memorandum untuk menuntut supaya pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan yang lebih tegas dan sebagainya.
5) menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan.
Hujah yang paling kuat dalam hal agama adalah menggunakan dalil-dalil daripada al-quran dan hadis beserta huraiannya yang muktabar. Tidak semua para da’ie mampu untuk menghafal dalil-dalil naqli yang dipetik daripada Al-quran dan hadis untuk diberitahu kepada mad’u bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan. Hal ini merupakan subjek ketiga dalam perkara yang dibangkitkan diatas iaitu ‘memberi maklumat yang sebenar.”
Setelah selesai proses survey yang hanya membangkitkan persoalan-persoalan, para da’ie perlu ‘menutup majlis’ dengan memberitahu perkara sebenar berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam survey yang dijalankan. Jika survey berkaitan dengan aurat, para da’ie perlu menggulung perbincangan dengan memberitahu tuntutan-tuntutan sebenar dalam agama terhadap persoalan aurat termasuk cara pemakaian yang dikehendaki oleh agama, hukum menutup aurat dan lain-lain perkara yang berkaitan.
Hal ini boleh dilakukan dengan membekalkan kepada responden ‘saguhati’ berupa pamplet yang mengandungi perkara-perkara tersebut disamping bahan-bahan bacaan ilmiah yang lain. Hal ini amat membantu terutamanya kepada para da’ie yang masih lemah dalam berkomunikasi secara langsung ataupun tiada keyakinan diri untuk menyampaikannya secara lisan.
6) medan latihan kepada para da’ie
Latihan amat penting untuk melahirkan seorang da’ie yang mampu berhadapan dengan cabaran. Survey dapat melatih kemahiran berinteraksi dan komunikasi seorang da’ie, iaitu satu komponen yang penting dalam dakwah. Komunikasi dalam survey kebiasaannya berbentuk formal. Proses ini sekurang-kurangnya dapat menjadi latihan untuk menghadapi ujian lisan di dalam kuliah ataupun temuduga apabila hendak meminta kerja. Lihat dari sudut yang positif. Banyak kesan baik yang dapat diperoleh hasil daripada tarbiyyah untuk melahirkan seorang da’ie. Perkara yang penting ialah kemahuan. Jika sudah tahu, tetapi masih tidak mahu, tiada siapa yang dapat mengubah pendirian anda.
Langkah pertama memang sukar. Penulis juga hanya menjadi ‘pendengar dan pemerhati’ dalam sesi dakwah lapangan kali pertama. Tetapi lama kelamaan ia mampu membina keyakinan diri untuk berhadapan dengan mad’u yang hanyalah seorang manusia seperti kita.
7) mendapat kenalan yang baru.
Di samping menjalankan tanggungjawab, gunakan kesempatan tersebut untuk mendapatkan lebih ramai kenalan. Seorang da’ie perlu bersifat ramah terhadap mad’unya. Apabila selesai tugasan, sekurang-kurangnya tanyakan nama dan hal-hal yang berkaitan. Lakukan selepas selesai tugasan kerana aktiviti survey tidak melibatkan maklumat peribadi responden.
Akhir sekali, doakan para responden supaya Allah bukakan pintu hati mereka untuk melakukan perubahan. Kita hanya mampu berusaha, Allah jua yang berkuasa memberi petunjuk dan hidayah kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
“Sesungguhnya kamu (hai Muhammad) tidak akan dapat memberi hidayah (petunjuk) kepada orang yang kamu cintai, tetapi Allah lah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.” (QS. Al-Qasas: 56)
Benar, aktiviti dakwah seperti ini menjadi tanggungjawab fardhi (individu) untuk melakukannya. Tetapi, jika kekuatan itu dapat ditemui dalam jamaah, tiada salah untuk merangka satu ‘program’ untuk melaksanakannya. Paling penting, kita perlu sama-sama bertindak supaya kejadian seperti INI tidak lagi berlaku…
………………………………………………………………………………………………
P/s: Diharap supaya para pembaca dapat melontarkan idea-idea yang bernas untuk melaksanakan agenda dakwah di bumi Minden ini. Kami akui banyak perkara masih belum dilakukan termasuk kaedah diatas. Insyaallah setiap idea akan cuba dilaksanakan. Jika bukan PMIUSM yang lakukan, banyak lagi wasilah dan platform lain yang boleh digunakan.
Allahu’alam.












