Ummah Terus Dizalimi, PMIUSM Seru Mahasiswa Prihatin

Meneliti rentetan peristiwa yang berlaku di Syria, kekejaman dan kezaliman berlaku dengan mudah. Umat Islam di seluruh pelosok dunia kebanyakannya seolah-olah berpeluk tubuh daripada bertindak. Kacamata utopia umat Islam melihat kemenangan sukar dan mustahil untuk didapati. Sedang kita yang berkata ini tidak sedar, bahawa kita perlu bertindak.

Ucapan Tahniah dan Syabas Kepada Bakal Mahasiswa yang Mendapat Tawaran ke USM Sidang 2012/2013

Wahai sahabat-sahabat baru yang bakal menempuh alam kampus beberapa bulan lagi, ingatlah bahawa alam kampus ini penuh cabaran dan dugaan. Bagi yang berjaya membawa diri dengan baik, alhamdulillah, teruskan usaha sehingga ke gerbang jaya. Jangan jadikan kebebasan di alam kampus satu tiket untuk anda bersosial lantas melupakan matlamat untuk menuntut ilmu.

Peristiwa Nuzul Quran

17 RAMADHAN- merupakan suatu tarikh penting bagi kita sebagai umat islam kerana pada tarikh inilah berlakunya peristiwa Nuzul Quran.Peristiwa ini sentiasa menjadi iktibar kepada kita kerana dengan peristiwa inilah zaman Jahiliyyah disinari dengan cahaya , kesesatan diganti dengan kebenaran dan umat yang bertuhankan hawa nafsu berubah bertuhankan Allah yang Maha Esa.

Kenyataan Rasmi PMIUSM Berkenaan Hedonisme dalam Himpunan Jutaan Belia 2012

Islam tidak melarang ummatnya untuk berhibur tetapi haruslah mengikut batas-batas syariat yang telah ditetapkan. Amalan percampuran lelaki dan perempuan sambil menampilkan artis yang jelas sekali tidak menutup aurat malah melalaikan jiwa muda remaja adalah bercanggah sama sekali dalam syariat Islam.

Organisasi Pimpinan PMIUSM Sidang 2012/2013

"Dan hendaklah ada di kalangan kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada makruf dan mencegah dari yang mungkar, merekalah orang-orang beriman.” : Ali Imran, 104

Wednesday, December 31

Wahai Kaum Muslimin!!!

Rejim Zionis Israel sekali lagi membuat serangan terbaru secara besar-besaran ke atas Gaza dalam kempen ketenteraan baru-baru ini. Menurut sumber yang terkini, diberitakan seramai 318 orang terkorban dan mencederakan 1,400 lagi. Apa yang menjadi persoalan sekarang, ke mana hilangnya suara-suara di bawah ini? Dimana peranan OIC dalam usaha untuk mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan Rejim Zionis israel yang bertaraf binatang ini? Adakah peranan OIC hanya pada “kulit” sahaja. Dimana suara kerajaan Malaysia yang majoritinya pemimpin yang beragama Islam dalam usaha untuk membuat kutukan kepada kekejaman Rejim Zionis Israel. Adakah ini perkara yang diajar oleh Islam Hadhari? Berdiam diri di waktu umat Islam lain dalam kesusahan. Dimana sensitiviti kita sebagai umat Islam? Adakah kita masih lagi tidur dibuai mimpi hiburan yang tidak berkesudahan? Adakah kita masih lagi beria-ria untuk mempertahankan program-program yang terang-terang meruntuhkan akhlak dan jati diri sebagai seorang Islam? Wahai sahabat-sahabatku, di mana kamu di waktu saudara seIslam kita sedang menderita? Sedang sibuk berhiburkah? Sedang “sibuk” tidurkah? Atau sedang membuat perkara - perkara lain yang sia-sia? Tonjolkan perasaan benci kamu kepada Rejim Zionis Israel dan kasih sayang kamu kepada rakyat Palestin sekarang!!! Itupun jika kamu sayang akan Islam… Ya Allah, kurniakanlah kepada saudara-saudaraku yang sedang berjuang menentang Rejim Zionis Israel keimanan yang teguh lagi utuh kepadaMu. Campakkanlah rasa kegerunan ke atas musuh agamaMu kepada orang Islam dan buangkanlah rasa cinta dunia dan takut mati dari hati-hati kami. Ameen… Justeru Persatuan Mahasiswa Islam USM menyeru mahasiswa-mahasiswi : 1) Digalakkan semua mahasiswa-mahasiswi mengikuti perkembangan yang berlaku di Gaza melalui televisyen(berita), suratkhabar harian, web-web berita menerusi internet dan apa jua perantaraan yang boleh dicapai bagi mengikuti perkembangan ini dari semasa ke semasa. 2) Digalakkan semua mahasiswa-mahasiswi mengadakan solat hajat serta membaca doa qunut nazilah(sama ada secara berjemaah atau bersendirian) secara berterusan dari hari ke hari. Wallahu a’lam…

Tuesday, December 30

Hari Kedua Serangan Israel

Hari kedua serangan Israel ke Gaza kononnya dengan alasan untuk menjatuhkan HAMAS. Jumlah penduduk Palestin yang terbunuh telah meningkat ke angka 282, 700 lagi cedera, 180 darinya mengalami kecederaan yang kritikal. Di Negara-negara Arab, rata-rata penduduk Arab juga termasuk Eropah mengambil pendekatan mengadakan demonstrasi di jalan-jalan bagi membantah, mengecam, dan mengutuk serangan Israel ke Gaza. Menurut sumber, 30 tempat di Gaza menjadi sasaran serangan udara Israel, terbaru kemungkinan akan berlaku serangan darat. Gaza bakal seperti Iraq, Afghanistan? 12.08 tengahari (waktu Mesir) [MAP] 6500 tentera Israel mengambil langkah berjaga-jaga sementara beberapa tempat di Gaza terus dibom Israel. Menurut sumber, pejuang Palestin turut melancarkan serangan roket yang dilaporkan telah jatuh ke Askalan, Ushdud dan Sderot, Israel. Saat ini, beberapa penduduk Arab di beberapa Negara-negara turun dijalanan bagi membantah serangan Israel ini. 12.49 petang (waktu Mesir) [MAP] Ehud Barak, Menteri Pertahanan Israel bertegas akan meluaskan lagi serangan ke Gaza bagi menjatuhkan HAMAS. 28/12/08., srael membenarkan 30 trak yang membawa bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza melalui sempadan(perlintasan) Karem Abu Salim. [MAP] Kapal Terbang Qatar yang membawa bantuan kemanusiaan telah sampai di Lapangan Terbang 'Arish semalam. Bagaimanapun, sehingga saat ini bantuan-bantuan tersebut belum lagi mendapat keizinan dari Mesir untuk dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan Rafah Mesir-Gaza. Jumlah penduduk Palestin yang terkorban meningkat ke angka 284 orang. 2.10 petang (waktu Mesir) [MAP] Serangan terbaru di Beit Hanoun, Gaza. Helikopter Israel sedang melancarkan beberapa serangan ke atas beberapa buah tempat. Menurut sumber, serangan Israel itu ke arah pihak Kataib Izzuddin Al-Qassam merupakan sayap tentera HAMAS yang dilabelkan pengganas oleh Israel. Siaran langsung dari Gaza masa ini. 2.24 petang (waktu Mesir) [MAP] Kenyataan Menteri Luar Mesir, Aboul Gheit yang mengatakan HAMAS tidak membenarkan penduduk Palestin yang mengalami kecederaan amelintasi sempadan Rafah untuk mendapatkan rawatan di Rafah Mesir. Bagaimanapun, HAMAS menafikan kenyataan Aboul Gheit itu. Maklumat lanjut boleh layari: minipavilion.blogspot.com

Palestine : Kenapa bergelap 5 minit?

Sebaik suiz lampu ditekan .. terasa indahnya dunia malam ini, namun bagaimanakah keadaan mereka di Semenanjung Gaza masa ini. Terima kasih kepada semua yang menjayakan antara usaha kempen 'simpati dan sehati terhadap Gaza' walaupun dengan hanya bergelap selama 5 minit. 5 minit bukanlah jangka masa panjang yang membantutkan kehidupan kita malam ini, apatah lagi pagi esok dan seterusnya. Hanya ketika ini sahaja..kegelapan selesai. Lain pula keadaan saudara seagama kita di Semenanjung Gaza yang kini hidup dalam kegelapan yang telah memasuki hari ke-28. Kenapa tarikh dan waktu ini kita bergelap? Mini-Pavilion, "From Palestine With Love"(MAP) memilih tarikh dan waktu sebegini adalah mengingatkan saat-saat Israel menyerang beberapa tempat di Semenanjung Gaza dengan kereta kebal dibantu jet perang pada 4 November lalu(Selasa) yang mengakibatkan 6 Palestin terbunuh, 4 darinya adalah pejuang dari Kataib Izzuddin Al-Qassam(sayap tentera HAMAS) dan beberapa lagi parah dalam serangan tersebut. Pastinya serangan Israel disifatkan 'melanggar gencatan senjata' yang telah disepakati antara HAMAS-Israel pada 19 Jun yang lalu. Sebaik sahaja kumpulan-kumpulan pejuang Palestin membalas serangan Israel, maka bermulalah kegelapan di Gaza. Syarat-syarat persepakatan senjata, antaranya kedua belah pihak tidak boleh menyerang antara satu sama lain, Israel perlu membekalkan bahan bakar, makanan dan seumpamanya ke Gaza serta pembukaan sempadan(perlintasan) Gaza-Israel bagi penduduk Palestin di Gaza, tiada lagi makna untuk mereka. Kehidupan mereka kembali lumpuh. Hospital, kilang-kilang roti, kilang pengisar tepung dan apa jua yang memerlukan elektrik untuk beroperasi terpaksa dihentikan operasi kerana tiada lagi bekalan elektrik. Jika ada pun ,hanya dalam kuantiti yang terlalu sedikit tidak mampu untuk menampung keperluan 1.5 juta penduduk Gaza secara keseluruhan. Bukan bekalan elektrik sahaja terputus, malah bekalan air juga sedemikian. Untuk apa kita bergelap walaupun hanya selama 5 minit? Kempen 'bergelap' selama 5 minit ini bukanlah kita yang memulakannya tetapi sebelum ini masyarakat arab yang prihatin terhadap nasib Palestin telah mengadakan kempen sebegini dalam jangka masa yang lebih lama dari kita. Antara penduduk Negara arab yang mengadakan kempen 'bergelap' adalah Jordan, Syria dan Lubnan. Dalam minggu ini, terlalu banyak diadakan kempen-kempen simpati terhadap Palestin dan tunjuk perasaan 'muzaharat' dari masyarakat arab dan antarabangsa. Semua ini bertujuan menunjukkan simpati terhadap penduduk Gaza malah sebagai bantahan sekatan ke atas penduduk Gaza yang berlanjutan hingga saat ini. Maka, tindakan kita bergelap ini juga adalah sebagai menjalankan kempen 'simpati dan sehati terhadap Gaza' dan juga sebagai membantah kezaliman sekatanIsrael yang dikenakan ke atas penduduk Palestin di Gaza namun secara umumnya adalah untuk penduduk Palestin sama ada di Semenanjung Gaza mahupun di Tebing Barat. Sekurang-kurangnya kita juga merasai dan menghayati keadaan yang mereka hadapi. Terima kasih semua MAP mengucapkan terima kasih kepada semua mahasiswa-mahasiswi sama ada Malaysia, mahupun Singapura dan Indonesia serta sesiapa sahaja yang turut mengikuti kempen ini. Semoga usaha yang kecil sebegini menjadi penambah bekalan amalan di akhirat kelak. Lagi bermakna seandainya usaha sebegini berterusan dari hari ke hari, tahun ke tahun dan seterusnya kerana semuanya belum selesai.-minipavillion.blogspot.com

Lebih 300 terkorban di Gaza akibat sekatan Israel

"Bagaimana keadaan Gaza sekarang Abd Rahman?" "Ya akhi .. keadaan Gaza sungguh teruk," jelas sahabat saya itu. Tiga hari lepas, wakil komuniti MAP sempat bertanya khabar kepada salah seorang pelajar Palestin yang menuntut di Universiti Kaherah. Respon perkhabaran tersebut ternyata amat menyedihkan khasnya terhadap penduduk Palestin Gaza yang berhadapan dengan sekatan Israel. Sekatan tersebut mengakibatkan Semenanjung Gaza kembali gelap malah bekalan air turut terputus. Bekalan makanan dan ubat-ubatan juga berkurangan dari hari ke hari. Gaza kembali gelap setelah Israel menutup sempadan(perlintasan) menyebabkan bahan bakar dan seumpamanya yang dijadualkan akan dibawa masuk ke Gaza tertangguh. Alasan Israel kerana pejuang-pejuang Palestin menyerang Israel dengan serangan roket. Berikut adalah catatan 'bencana kemanusiaan' yang dihadapi penduduk Gaza: 29/12/07: Muhammad Salih 55 meninggal dunia kerana tidak dibenarkan membuat rawatan di luar Gaza. Dilaporkan, sempadan Gaza-Israel ditutup oleh Israel. 9/1/08: Tunjuk perasaan masyarakat arab di negara-negara jiran dan berhampiran Palestin kerana membantah lawatan Bush ke Timur Tengah. Lawatan Bush disifatkan merangsang keganasan Israel terhadap penduduk Palestin. 20/1/2008: Penjana utama yang membekalkan elektrik di Gaza telah dihentikan operasi kerana sekatan Israel. Bagaimana tidak, pihak UNRWA yang berada di Gaza juga memohon kepada pihak luar agar membantu mereka supaya bantuan makanan dan ubat-ubatan dapat diberikan kepada penduduk Palestin Gaza. 20/1/08: Jalan-jalan di negara Jordan, Lubnan, Sudan, Maghribi dan lain-lainnya memperlihatkan sensitiviti rakyat-rakyat yang turun di jalanan mengadakan tunjuk perasaan membantah kawalan dan kepungan Israel (sekatan Israel) terhadap Gaza. 22/1/08 (sempadan Rafah): Para penunjuk perasaan yang terdiri dari kalangan penduduk Palestin berjaya merempuh sempadan Rafah. Sebaik sahaja pintu sempadan yang dirempuh terbuka, beberapa pesakit yang memerlukan rawatan segera diusung melepasi sempadan Mesir. Siaran langsung Al-Jazeerah (22/01/08) :Di sempadan Rafah (Gaza-Mesir) dan Erez (Beit Hanoun-Israel) menunjukkan betapa krisis kemanusiaan memberi kesengsaraan terhadap penduduk Gaza. 23/1/08: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengakhiri perjumpaan tergempar membincangkan keadaan Gaza tanpa ada kesepakatan. 24/4/08: Perunding Eropah menggesa Israel membekalkan semula bahan bakar ke Semenanjung Gaza. 11/5/08: Bekalan elektrik di Gaza terputus setelah stesen janakuasa elektrik utamanya dihentikan operasinya ekoran kehabisan bekalan bahan bakar. 30/5/08: Penduduk Palestin di Gaza mengadakan tunjuk perasaan secara aman di sempadan Sufa(Gaza-Israel). Tujuan tunjuk perasaan itu adalah menuntut dibebaskan kawalan dan kepungan(siege) ke atas Gaza. Tentera Israel juga bertindak melepaskan tembakan yang mengakibatkan beberapa penunjuk perasaan parah. 19/6/08: Gencatan senjata antara HAMAS dan Israel. Antara syarat persepakatan tersebut adalah: 1) Kedua belah tidak boleh serang antara satu sama lain selama 6 bulan. 2) Israel perlu bekalkan Gaza dengan bahan bakar dan beberapa keperluan penduduk Gaza. Juga, pihak Israel mesti membuka pintu sempadan(perlintasan) Israel-Gaza. Ogos/2008, dua buah buah kapal aktivis keamanan dunia sampai ke pelabuhan Gaza. Keadaan agak tegang beberapa selepas persepakatan tersebut. 19/10/08:Rentetan sekatan Gaza yang dikenakan Israel terhadap penduduk Palestin di Semenanjung Gaza telah menyebabkan 80% daripada jumlah penduduk berada di bawah paras kemiskinan. Penduduk Israel menghalang trak-trak pengangkut yang membawa kargo barangan ke Semenanjung Gaza melalui sempadan(perlintasan) Kerem Shalom, timur Gaza. 4/11/08 :Israel menyerang beberapa kawasan di Gaza. Serangan Israel disifatkan melanggar persepakatan "gencatan senjata" menyebabkan 6 orang penduduk Gaza terbunuh dan beberapa lagi cedera. 5/11/08 :Pejuang-pejuang Palestin membalas serangan Israel yang mengakibatkan Israel terus menutup sempadan dan menghentikan bekalan bahan bakar dan seumpamanya ke Semenanjung Gaza. Penduduk Gaza hidup dalam kegelapan, malah bekalan air turut disekat. 20/11/08 : Kanak-kanak palestin mengadakan tunjuk perasaan yang bertujuan menyeru masyarakat antarabangsa dan penduduk dunia membebaskan Gaza dari sekatan Israel. Tunjuk perasaan tersebut adalah sempena hari kanak-kanak sedunia. 22/11/08 :Wakil UNRWA melalui berita al-jazeerah memohon mana-mana bantuan bagi menyelamatkan Gaza dari sekatan ini. PBB juga mendesak Israel mengakhiri tempoh penutupan pintu sempadan Israel-Gaza. Kesengsaraan penduduk Palestin Gaza mendapat simpati dari dua buah kem pelarian Palestin di Kem Pelarian al-Wehdat, Jordan dan Kem Pelarian Yarmouk, Syria yang mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran. 24/11/08 :Jordan menghantar 16 trak pengangkut ke Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan. 26/11/08: Pertemuan tergempar menteri-menteri luar arab di Kaherah. Antara fokus perbincangan adalah 'sekatan Gaza'. 28/11/08: Israel membenarkan bekalan makanan, bahan bakar dan seumpamanya dibawa masuk ke Gaza rabu lalu tetapi terlalu sedikit dan tidak mengubah keadaan mengikut sumber Palestin. Sehingga kini, 256 (terkini 260 nyawa) penduduk Palestin meninggal dunia akibat sekatan. Jumlah ini tidak termasuk mangsa serangan dan pengeboman Israel. Justeru, dengan paparan yang kami bawakan ini adalah untuk menyeru semua mahasiswa-mahasiswi dan sesiapa sahaja untuk merasai apa yang mereka lalui saat ini walaupun hanya untuk beberapa minit dan seringan-ringan usaha. Sumber: http://minipavilion.blogspot.com

Monday, December 22

Nafar ke Medan Juang

Sumber ABU SAIF @ www.saifulislam.com 56000 Kuala Lumpur “Ini bicara Allah kepada kamu. Rasakan yang Allah sedang bercakap secara khusus kepada kamu,” kata Ustaz Harun kepada kami. Angin desa di Kubang Lembek tengah hari itu damai sekali. Tidak terasa terik mentari membakar siang. Saya dan beberapa rakan tekun mendengar. “Ayat ini adalah mahkota penuntut ilmu di jalan Allah. Ke mana sahaja kamu pergi, junjunglah ayat ini,” pesan Ustaz Harun lagi, melangsaikan pertemuan kami tengah hari itu. Sudah menjadi suatu kemestian, saya dan rakan-rakan selalu mencari ruang dan peluang untuk bertemu dengan alim ulama’. Pada usia akhir belasan tahun, kami sedang mengorak langkah untuk jejak ilmuwan. Nasihat dan mutiara kata para ulama’ yang berjiwa mursyid itu menjadi dambaan kami, buat bekalan kembara diri… yang panjang itu nanti. Ustaz Harun mensyarahkan kepada kami kalam Allah yang terungkap pada surah al-Taubah ayat 122: “Dan tidaklah wajar untuk orang-orang yang beriman itu keluar semuanya (pergi berperang). Justeru, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam perihal al-deen, dan supaya mereka dapat memberikan inzar peringatan buat kaum mereka (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; Mudah-mudahan kaum itu dapat berjaga-jaga (dari terjebak kepada larangan Allah SWT)” [al-Taubah 9: 122] DI CELAH KEGENTINGAN TABUK Musim panas dan pohon tamar berbuah ranum. Tuaian harus disegerakan untuk manfaat bekalan keperluan hidup setahun mendatang. Dalam suasana itulah Allah SWT menguji kaum mu’minin untuk turun berjuang. Jangan terkecuali walaupun seorang. Namun segalanya terhasil dengan hikmah yang besar. Sekumpulan sahabat tercicir dengan alasan dan situasi masing-masing. Mereka ditegur dan diperbetulkan oleh Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan cara yang amat menusuk kalbu. Pengajaran kekal yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Peringatan itu menjadikan para sahabat begitu peka dan responsif terhadap perintah jihad. Hingga tiada langsung yang berlengah. Tatkala ada sub misi (sariyyah, bukan ghazwah) yang dilancarkan oleh Baginda allallaahu ‘alayhi wa sallam, kesemua sahabat menyertainya hingga baginda ditinggalkan sendirian di kota. Lalu turun ayat ini memberi peringatan, bahawa sebesar mana sekali pun suatu misi, adalah tidak wajar untuk kaum mu’minin itu keluar semua sekali memenuhi agenda yang satu. Dalam kewajipan melaksanakan jihad, kewajipan menuntut ilmu beriringan sedarjat. MENUNTUT ILMU ITU JUGA NAFAR Falaulaa nafara… Keluar menuntut ilmu, digelar Allah dengan kalimah nafara, iaitu kalimah yang lazimnya hanya terguna pada mengungkapkan soal keluar berjihad perang di jalan Allah. Pemilihan kalimah itu harus kita teladani, bahawa Allah SWT mahu kita melihat proses menuntut ilmu di jalan Allah sebagai suatu medan tempur. Justeru persiapan kaum yang keluar berperang, harus juga menjadi persiapan yang sama buat penuntut ilmu di jalan Allah. Peperangan Itu Susah Penuntut ilmu juga harus menyediakan fizikal, mental, emosional dan spiritual mereka terhadap hakikat ini, bahawa jalan yang dipilih adalah jalan yang penuh ujian dan kesusahan. Pertaruhannya adalah segala milikan diri, dari masa, tenaga dan harta, hinggalah kepada nyawa dan survival jiwa. “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan secebis perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” [al-Baqarah 2: 155] “Sudah diberi biasiswa takkanlah susah lagi?” terdetik di bibir rakan-rakan mengulas kehidupan yang bakal kami tempuh. Hakikatnya, soal kewangan yang sering menjadi fokus kerisauan, bukanlah cabaran terbesar belayar di perantauan. Mungkin dalam sederetan ujian yang mendatang, musibah besar yang sering mengorbankan seorang penuntut ilmu ialah sebuah KEBEBASAN. Bebas terbang ke sana sini, tiada lagi leteren dan hambatan kawalan yang menghantui. Segalanya bebas. Dan kebebasan itulah yang sering memutuskan tali pada sebuah layang-layang. Terbang tinggi tidak ke mana, hingga nanti jatuh ke tanah berlumpur hina. Peperangan Harus Terancang Tidak wajar sekumpulan wira terjun ke medan perang sebagai bidan terjun. Peperangan itu besar. Nilainya besar, harganya besar, pengorbanan untuknya juga besar. Jadi, langkah ke arahnya jangan mula bertapak hingga jelas di fikiran apa yang dimahukan. Begin with the End in Mind, adalah suatu tuntutan yang mesti diterokai oleh setiap penuntut ilmu di jalan Allah. Apa yang mahu dituntut, mengapa ia perlu dituntut, malah soalan semudah “kenapa mahu jadi ustaz“, mesti difikirkan masak-masak. Terikut-ikut sentiasa menjadi musibah bagi apa jua aspek kehidupan. Apa yang saya cari? Bakal terlepas peluang kenduri kendara kahwin adik beradik. Bakal tercampak sunyi di negeri orang. Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi. Bakal berpisah yang mungkin bertanda mati! Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini. Apakah yang saya cari? Soalan tentang hal ini saya fikirkan sehadam-hadamnya. Pengajian Islam bukan tiada di negeri sendiri. Mengapa saya mengambil keputusan untuk mengembara jauh? Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar raya di surat khabar Ramadhan demi Ramadhan? Apa yang saya cari? Sesungguhnya saya tidak pernah mengizinkan diri untuk menjadi biasa-biasa. Saya ciptaan Allah. Dia yang Maha Bijaksana lagi Sempurna. Mustahil Allah menciptakan saya biasa-biasa untuk saja-saja bagi tujuan yang ala kadar semata. Saya yakin saya makhluq Allah yang istimewa, dan kembara ke bumi Anbiya’ ini adalah untuk mencari keistimewaan itu. Menjadi pewaris Anbiya’ bukan retorik. Visi dan misinya saya genggam dalam pesanan Allah di dalam ayat ini. Peperangan Harus Ada Kemahiran Mustahil pergi berperang hanya dengan tawakkal yang kosong. Itu bohong. Mendustakan Sunnatullah yang diwajibkan Allah ke atas alam ini. Kata bijak pandai: “Kucar-kacir dalam kebenaran, mustahil ada upaya mengalahkan kebatilan yang sistematik” Niat yang baik adalah tuntutan Syariatullah, perancangan yang direalisasikan oleh kemahiran secara sistematik pula adalah Sunnatullah yang melengkapkannya. Justeru, keinginan untuk mewarisi perjuangan para Anbiya’, harus menyeluruh mencakupi seluruh kelebihan para Anbiya’. Siddiq pada hati, akal fikiran, perkataan dan perbuatan. Amanah menjadi integriti diri yang mengikat segalanya agar sentiasa berhubung dengan Dia. Tabligh dalam erti kata hidup untuk menyampaikan, memberi dan berkongsi kebaikan seluas alam. Fathanah, kebijaksanaan dan nilai kompetensi yang luas untuk digarap oleh insan yang optimum dalam perjuangan mereka. Cerdik tapi tak baik, jadi penipu. Baik tapi tak cerdik, jadi mangsa penipu. Pendakwah mesti cerdik. Kemahiran mesti tinggi. Di atas kesedaran itu, saya letakkan azam yang tinggi, bahawa agenda di bumi Anbiya’ nanti bukan hanya pada melangsaikan silibus di bilik kuliah. Kemahiran bahasa, kemahiran ICT, kemahiran berfikir, kemahiran berkomunikasi, dan segala ilmu kendiri, mesti digarap tanpa berlengah-lengah dan bersantai diri. Pewaris Anbiya’ mesti outstanding! Peperangan Harus Kenal Kawan dan Lawan Peperangan itu licik. Lawan disangka kawan. Kawan dijadikan lawan. Tipu daya di dalam sebuah pertempuran sering mengelirukan. Dalam tempoh masa yang terhad dan penuh kegentingan, seorang penuntut ilmu di jalan Allah harus peka sepeka mujahid fi sabilillah. Matanya harus cepat membaca suasana. Setiap manusia dan kehidupan yang melintas di depan mata harus cepat dikenal pasti, apakah itu kawan yang menawarkan kebaikan, atau lawan yang menjanjikan kebinasaan. Penuntut ilmu di jalan Allah mesti berhati-hati. Melihat segalanya dengan mata hati. Peperangan Menjanjikan Ghanimah “Anak cikgu sambung belajor di manaaa?” tanya jiran saya. Emak yang sedang menyapu daun kering di bawah pohon rambutan menoleh. “Dia sambung belajo ke Jordan. Bidang agama,” kata emak. Senyum seribu makna dilemparkannya. “Oh ye ke.. elok bebenor le tu, cikgu. Orang belajor agama ni, Allah Taala sumpah depa takkan mati lapor!” balas makcik tersebut. Bahasa orang kampung, tapi maknanya mendalam sekali. Saya tersenyum sendirian, tatkala mendengar Ustaz Harun menghuraikan ayat ini. Teringat kembali kepada dialog antara emak dengan jiran petang itu. Saya yang melangut di tangga rumah teruja mendengar sumpah Allah yang disebut makcik tersebut. Janjinya begitu, namun jalannya harus disuluh secara realistik. Segalanya tidak mudah, namun mati kelaparan tidak sekali-kali. Kemurahan Allah SWT mengurniakan bekalan hidup buat manusia yang mewakafkan dirinya di medan perjuangan ini. Dunia tidak menghukum lapar dan mati ke atas penuntut ilmu di jalan Allah. Rezekinya ada, di mana-mana. Tetapi rezeki itu halus garis pemisah di antara buruk dan baiknya. Rezeki yang datang melapangkan jalan untuk terus berjuang. Tetapi ada juga rezeki yang membutakan jiwa penuntut ilmu di jalan Allah, hingga tenggelam dalam KEPERLUAN mengatasi TUJUAN. Apa yang diperjuangkan bukan lagi sebuah TUJUAN, sebaliknya tenggelam dalam mengejar KEPERLUAN (yang tidak pernah cukup dan memuaskan). Saya akur dengan nasihat Ustaz Harun. Jiwa gementar memikirkan liku-liku perjalanan ini. AGENDA BESAR Sesungguhnya besar sekali makna yang terungkap di sebalik kalimah NAFARA yang difirmankan Allah SWT di dalam ayat ini. Menuntut ilmu di jalan Allah SWT benar-benar sebuah peperangan. Pengorbanan yang diperlukan besar, kerana harganya mahal. Harganya mahal kerana nilainya tinggi. Nilainya tinggi kerana ia AGENDA melahirkan ilmuwan pewaris Nabi. “… dan supaya mereka dapat memberikan inzar peringatan buat kaum mereka…” Tugas yang dipikulkan ke atas penuntut ilmu di jalan Allah bukan sekadar memberi Taalim, memberi tahu. Allah SWT memberitahu bahawa tugas penuntut ilmu di jalan Allah sama seperti tugas seorang Rasul iaitu menyampaikan sebuah INZAR (al-Muddatsir 74: 2). Inzar bukan sekadar memberitahu. Ia lebih dari itu. Inzar memberi pelajaran tentang kebaikan, juga memberi amaran terhadap keburukan. Inzar mengajak kepada yang maaruf, disertakan juga seruan mencegah dan meninggalkan mungkar. Inzar adalah sebuah mesej yang hidup, agar ummah sentiasa berjaga-jaga. BERMULANYA LANGKAH Pertemuan itu sungguh bermakna. Saya bagai dikurniakan ijazah oleh seorang sifu, untuk mengatur langkah menuju ke medan tempur yang penuh kebarangkalian. Segalanya terungkap dalam sebuah firman. Surah al-Taubah ayat 122 mahkota kurniaan. Dengan lafaz seeru ‘ala barakatillah, saya memeluk tanpa perpisahan bonda, keluarga dan taulan. Bersama air mata harapan dan azimat at-Taubah 122, saya terbang membelah awan biru, ke bumi Anbiya’ yang sedang menunggu. “…Di celah pohon zaitun yang rendang Bersemadi syuhada’ pahlawan Islam Menanti dan terus menanti hadirnya Barisan waris perjuangan…”

Sunday, December 21

Antara Dakwah dan Akademik (Kemas Kini)

oleh Ahmad Sufian Bin Shohor Alhamdulillah, tak lama lagi pelajar universiti akan memulakan semester baru. Bagi mereka yang terlibat dalam gerakan dakwah di kampus, mulalah pening kepala kerana banyak program akan dijalankan di semester dua nanti. Mungkin ada di kalangan kita pernah mendengar ayat ini: “Akademik nombor satu, dakwah bukan nombor dua.” Habis tu, dakwah nombor berapa? “Dakwah penting, akademik pun penting jugak.” Pening juga nak faham, yang mana satu yang nak di dahulukan? “Akademik pertama, dakwah utama.” Ahh, ni pun memeningkan kepala juga. Peningkan? Yang mana satu hendak diaulakan, dakwahkah atau akademik? Kesan dari ayat-ayat yang memeningkan ini Sepanjang pemerhatian yang dibuat, apa yang boleh saya simpulkan ramai dikalangan para pelajar yang terlibat dengan dakwah di kampus rata-ratanya mendapat keputusan yang kurang cemerlang termasuklah yang menulis artikel ini. Hehe. Tetapi mereka yang tidak terlibat dalam dakwah di kampus dan yang lebih memeranjatkan mereka yang bercouple mendapat keputusan yang cemerlang. Memang tidak dapat dinafikan, akibat dari situasi yang “terbalik” ini ramai dikalangan pelajar yang terlibat dengan dakwah semakin perlahan gerak kerjanya dan yang paling menakutkan ada dikalangan kita yang futur dalam dakwah. Mana tidaknya, kita tersepit dalam diantara harapan ibu bapa yang ingin melihat anak kesayangannya mendapat keputusan yang cemerlang dalam akedemik dan tanggungjawab dakwah yang menuntut harta dan keseluruhan yang ada pada diri seseorang. Pening berakhir… Syukurku kepadaMu ya Allah kerana benang yang kusut akhirnya dapat dileraikan berkat hidayah dariMu. Akhirnya saya menemui juga cara untuk menjadi seorang yang cemerlang dalam urusan duniawi dan lebih-lebih lagi urusan ukhrawi. Berkata seorang ustaz, “ apabila kita menceburkan diri dalam arena dakwah, maka kita akan cemerlang.” (lebih kurang macam ni la dialognya) Inilah jawapannya! Kerana apabila seseorang itu terlibat dalam arena dakwah, pasti dan pasti kita akan cemerlang kerana dakwah menuntut seseorang itu menjadi seorang Muslim yang sejati seperti yang ditunjuki oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kalau kita itu ingin mengetahui ciri-ciri Muslim sejati cukuplah kita lihat pada diri Rasulullah SAW. Terlalu luas skop Muslim yang sejati untuk dibincangkan. Cukuplah kita melihat pada diri baginda SAW sehinggakan Rasulullah SAW dikasihi kawan dan dihormati lawan. Rasulullah SAW dicintai sehingga mengalahkan semua jenis cinta yang bersifat sementara. Akhlaknya sangat terpuji sehinggakan ramai orang terpikat dengan Islam hanya dengan melihat kelakuannya sahaja. Rasulullah SAW sentiasa dijadikan sumber qudwah hasanah kepada para sahabatnya dan generasi sesudah itu. Akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran sehinggakan para sahabatnya pun menjadi seperti al-Quran yang bergerak. Generasi unik yang tiada sudah selepas itu hasil dari madrasah Rasulullah SAW. Yang terpenting ialah, baginda SAW cemerlang sebagai pendakwah di samping cemerlangnya Rasulullah SAW di pentas politik. Cemerlangnya baginda SAW dalam pergaulan bersama para sahabatnya seiring kecemerlangannya dalam pergaulan dengan orang yang bukan Islam. Cemerlangnya Rasulullah SAW sebagai imam selari dengan kecemerlangan baginda SAW sebagai seorang suami dan bapa. Harapan ana, cemerlangnya kita di arena dakwah, mudah-mudahan kita dengan cemerlangnya di arena akademik. Cemerlangnya kita di pentas dakwah kampus ini, ana berharap kita pun boleh cemerlang dalam pentas catur masa. Cuma apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah muhasabah kembali adakah diri kita ini menepati ciri-ciri seorang Muslim yang sejati seperti yang digariskan di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Walaupun kita tidak menepati semua ciri seorang Muslim yang sejati sekurang-kurangnya kita sedang berusaha untuk menjadi seperti itu. InsyaAllah, akademik, dakwah dan seluruh hidup kita di dunia dan di akhirat akan cemerlang. Cuma sekadar mencari Solusi kepada Masalah yang melanda. Wallahu a’lam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...