Friday, September 5

Wahai srikandiku! Uzur bukan penghalang ibadah

Assalamualaikum WBT. Saya menggodek-godek weblog ini lalu terjumpa satu posting saya tahun lalu yang saya dedikasikan khas kepada muslimah-muslimah tercinta di luar sana. Jalan ke syurga amat luas, keuzuran bukanlah penghalang mencari jalan ke syurga. Assalamualaikum WBT. Seorang saudari se Islam memberi komen di dalam blog ini. Katanya beruntunglah para lelaki yang dapat beribadah di sepanjang malam di bulan Ramadhan ini. Masakan tidak, si lelaki tidak mempunyai uzur yg mengharamkan mereka daripada beribadah, bersolat membaca al-Quran dan lain-lain. Sedang kan bagi si wanita, datang sahaja haidh, maka berehatlah mereka daripada beribadah. Dari satu segi ia menampakkan satu kecintaan untuk mendekatkan diri kepada Allah, akan tetapi dari satu segi ia seolah menunjukkan ada sedikit kerapuhan di dalam aqidah. Seolah-olah wujud keraguan kepada keadilan Allah. Dari mana puncanya? Aku melihat bahawa ini berlaku apabila skop ibadah disempitkan. Skop mendekatkan diri kepada Allah dibataskan kepada solat sahaja. Wahai saudari-saudari muslimahku, Cubalah kalian nilaikan berapa banyakkah ibadah-ibadah yang kalian boleh lakukan ketika haidh tetapi kalian masih tidak melakukannya. Bukaklah Hisnul Muslim, lihatlah doa-doa dan dzikir-dzikir yang Nabi Muhammad SAW amalkan, nilailah, cerminlah diri kita sudahkah kita amal semua dzikir-dzikir yang ada di dalamnya. Jika masih belum puas, periksalah pula kitab al-Adzkar oleh Imam an-Nawawi. Lihat berapa banyak zikir-zikir dan doa-doa yang kalian belum amalkan. Jadi tiada alasan untuk kalian wahai-wahai srikandi tercinta untuk berkata bahawa apabila haidh maka kami kurang beribadah berbanding lelaki. Wahai saudari-saudari seaqidahku, Dalam bab membaca dan menyentuh al-Quran. Ulama-ulama umat masih berbeza pendapat tentang pengharamannya. Seandainya saudari berpegang kepada pendapat mengharamkannya, masih banyak ibadah yang saudari boleh lakukan bahkan tak akan habis untuk saudari lakukan di satu malam. Wahai srikandiku, Apabila kalian uzur, bukan alasan untuk kalian menghabiskan masa menonton televisyen tatkala si suami sedang bersolat. Bukanlah ia menjadi alasan untuk saudari menghabiskan hari siang dan malammu dengan tidur dan membiarkan si suami bersolat malam sendirian. Bukan juga ia menjadi alasan untuk kalian membiarkan anak-anak terkapai-kapai mempelajari al-Quran sendirian. Wahai srikandiku, Cuba kalian kira, berapa minitkah bagi setiap solat yang kalian lakukan apabila kalian berada di dalam keadaan suci. Andai kata 5 minit. Kenapa tidak kalian gunakan 5 minit itu untuk membaca doa-doa dan zikir-zikir yang Rasulullah SAW amalkan. Jika kalian solat malam selama 1 jam di bulan Ramadhan ketika kalian suci. Kenapa tidak kalian gunakan sejam itu dikala kalian uzur untuk kalian membanyakkan istighfar, memohon keampunan daripada Tuhan. Biarkanlah air mata kalian keluar pada malam itu. Biarkan ia menjadi saksi ketundukan kalian kepada Allah yang Maha Pengampun. Wahai saudariku, Jika kalian tidak berpuasa, gunakanlah kelebihan kekuatan yang ada pada hari itu untuk membantu kawan-kawan kalian yang berpuasa. Saudari boleh sediakan hidangan berbuka untuk mereka dan membiarkan mereka berehat. Saudari juga boleh membantu mereka melakukan kerja-kerja rumah, dan mengurangkan kerja-kerja mereka. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku. Wahai saudariku, Jika saudari berpegang kepada ulama yang menyatakan haram wanita uzur memasuki masjid, masjid banyak ibadah yang boleh saudari lakukan dirumah. Jika saudari berpegang kepada pendapat membenarkan saudari yang uzur ke masjid, banyak juga yang saudari boleh lakukan di masjid walaupun tidak bersolat. Saudari boleh membantu menjaga kanak-kanak kecil yang sedang bermain tatkala ibu bapa mereka bersolat. Saudari boleh bacakan kepada mereka kisah-kisah nabi, saudari boleh mengajar mereka membaca Alif, Ba, Ta. Saudari boleh menenangkan mereka tatkala mereka menangis menanti si ibu yang sedang bersolat. Bukankah ini semua ibadah wahai srikandiku. Ya ukhti, Sungguh luas jalan ke syurga yang Allah bentangkan untuk saudari. Janganlah saudari sempitkan jalan yang luas itu. Mahukah saudari menempuh jalan mudah ke syurga? Bukankah jalan ke syurga dimudahkan untuk mereka yang menuntut ilmu. Saudari boleh gunakan masa yang biasa saudari lakukan untuk solat dengan membaca buku-buku agama. Saya nasihatkan saudari untuk memulakan dengan bahan bacaan asas agama. Saudari mulakanlah dengan membaca buku-buku berkaitan akidah. Pilihlah buku yang mudah. Saudari boleh membaca Kitab at-Tauhid karangan Shaikh Muhammad bin Abdul Wahab. Sangat ringkas buku ini dan mudah untuk saudari fahami. Saudari juga boleh membaca buku saudara Hafiz Firdaus Abdullah tentang contoh-contoh hal yang boleh merosakkan akidah. Selepas itu saudari hendaklah membaca buku tentang bersuci. Buku kecil Sifat Wudhu Rasulullah amatlah berguna buat saudari. Selepas itu bacalah buku Sifat Solat Nabi untuk saudari memperbaiki mutu solat saudari. Saudari juga tidak boleh melupakan hukum-hakam khas untuk gadis atau wanita seperti saudari. Bacalah buku-buku berkaitan hukum hakam haidh, istihadah dan lain-lain. Saudara boleh membaca buku karangan Shaikh Shalih al-Utsaimin berkaitan hal ini. Wahai saudariku, Saya kira jika mahu ditulis kesemua di sini akan hal-hal yang boleh dilakukan oleh wanita-wanita yang uzur, nescaya akan habislah dakwat pena, akan menjadi bermuka-muka tulisan ini. Dan saudari juga mungkin tidak akan mampu melaksanakan kesemuanya. Ya ukhti, Ingatlah Allah Maha Adil. Keuzuran pada wanita bukan penghalang mereka beribadah. Sematlah rasa cinta pada Tuhan, yakinlah pada keadilanNya, titiskanlah air mata memohon keampunanNya. Wallahu’alam. Sumber : http://the-authenthic.blogspot.com/2008/09/wahai-srikandiku-uzur-bukan-penghalang.html

1 Pandangan Sahabat:

e-leeyana said...

mungkin uzur bkn penghalang...tp penghalang sbnr tu adlh keraguan samada blh melakukan atau diharamkan...mungkin anda boleh kongsikan bersama ttg ini bg pendedahan yg lbh meluas lg...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...