Monday, July 21

Atasi Kelesuan Mahasiswa

NURUL ‘IZZATI BINTI ZAMURI Exco Akademik, Kerjaya dan Masyarakat, Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia 07/08 PINDAAN AUKU JALAN PENYELESAIAN TERBAIK ATASI KEMELUT KELESUAN MAHASISWA Tatkala membelek akhbar UTUSAN, tertarik dengan tajuk berita ‘Pindaan AUKU galak pelajar terlibat dengan aktiviti membina’ begitu juga dengan akhbar BERITA HARIAN ‘AUKU dipinda galak pelajar lebih konstruktif’ bertarikh 30 Mei 2008 dan pasti tidak ketinggalan isu ini terpampang di dada akhbar-akhbar utama. Memetik kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak “Pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 mampu menggalakkan pembabitan pelajar dalam semua kegiatan yang membina dan konstruktif.” pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan di Putrajaya. Ya saya amat menyokong kenyataan tersebut dengan keadaan mahasiswa hari ini terlalu lesu dan terus lali dengan doktrin menghadap buku dan komputer sepanjang masa menyiapkan tugasan yang bertimbun-timbun. Masing-masing sepanjang pengajian sibuk mengejar segulung ijazah dengan mengharapnya tercatat keputusan yang cemerlang dan tertinggi. Tetapi sayang dengan kurangnya persiapan melengkapkan diri mahasiswa/i tersebut dengan “soft skills” yang akan menjadi pembantu utama untuk mendapatkan pekerjaan sekaligus meraih kejayaan yang luar biasa hebatnya di atas muka bumi ini menyebabkan graduan yang dilahirkan gagal menyerlah. Ini dibuktikan dengan kebanjiran puluhan ribu graduan universiti yang menganggur, dan semakin bertambah saban tahun. Saya yang hanya sekelumit kecil mahasiswa menyokong tindakan kerajaan yang mempertimbang untuk meminda AUKU dalam masa yang sama mengharapkan kebangkitan suara-suara anak muda yang bergelar mahasiswa/i untuk lebih progresif dalam isu-isu semasa. Jangan biarkan diri terus berada di dalam kepompong, kerana kita adalah generasi pewaris kepimpinan negara. Seluruh rakyat mengharapkan kita wahai anak muda!! Sedarlah... Seterusnya berkenaan isu PTPTN yang dikatakan berunsur riba’.Saya amat berharap Datuk Seri Najib Tun Razak menunaikan janjinya untuk membawa perkara ini ke Majlis Fatwa Kebangsaan untuk diputuskan statusnya bagi menguraikan kekusutan yang selama ini membelenggu fikiran mahasiswa/i seluruh Malaysia. Tidak ketinggalan jutaan terima kasih diucapkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi dibawah kepimpinan Dato’ Mohamed Khaled Nordin atas usaha untuk mengkaji semula caj perkhidmatan 3% PTPTN yang terlalu berat terpaksa ditanggung oleh mahasiswa/i yang mengambil PTPTN kerana tiada pilihan lain untuk menampung kos saraan hidup sepanjang pengajian di universiti. Mungkin juga jika dengan penghapusan caj perkhidmatan 3% akan timbulnya harapan untuk mengatasi masalah lewat pembayaran kembali wang pinjaman. Siapa tahu... Di sini saya mengharapkan agar PTPTN mempertimbang kembali tindakan menghalang memberi pinjaman kepada mahasiswa/i yang mendapat keputusan putara nilai gred (PNG) di bawah 2.0 bagi sesuatu semester, untuk terus menerima elaun bagi semester hadapannya sebagai tindakan yang tidak lagi releven kerana ia akan membebankan fikiran mahasiswa/i dengan ‘bagaimana untuk menyara hidup jika tiada duit’ ditambah lagi dengan fikiran yang sememangnya kusut dengan masalah akademik. Pernah saya melihat rakan-rakan yang mengalami masalah ini terpaksa mengikat perut, berjimat-cermat, kadang-kadang terpaksa makan maggi sahaja berhari-hari demi untuk meneruskan kelangsungan hidup. Situasi ini dilihat tidak membantu perkembangan mahasiswa/i sebaliknya perlu digantikan tindakan yang bersifat lebih berhikmah. Mungkin sekadar cadangan dengan potongan separuh dari jumlah sebenar pinjaman untuk sesuatu semester akan cukup mendidik golongan ini supaya tidak terus mengabaikan pelajaran. Tetapi, harus disedari bukan semua mahasiswa/i yang termasuk dalam golongan ini malas belajar dan hanya tahu berfoya-foya menghabiskan duit tetapi kadang-kadang rezeki kurang menyebelahi walaupun segunung keringat dicurahkan dalam peperiksaan. Jadi kelompok ini juga harus diberi peluang dan ruang. Di kesempatan ini, saya dengan seikhlas hati merakamkan jutaan terima kasih kepada anggota Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan yang sudi untuk membawa isu yang besar ini ke hadapan pihak bertanggungjawab. Insya-allah sama-sama kita membina jati diri mahasiswa ke arah yang lebih baik berbanding semalam dan akan terus maju ke depan seiring dengan penekanan pembangunan modal insan yang dinamik ke arah melengkapkan Falsafah Pendidikan Negara yang berhasrat melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,rohani, emosi dan jasmani bagi mengatasi kemelut kelesuan mahasiswa yang tiada penghujungnya. Hidup Mahasiswa!!!

0 Pandangan Sahabat:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...